Skip to main content

Singapura

SG, Malaysia runding benarkan teksi rentas sempadan turunkan penumpang di destinasi akhir

Rundingan dua hala sedang dijalankan bagi membolehkan teksi rentas sempadan Malaysia yang layak untuk menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di Singapura, dan bagi teksi Singapura yang layak untuk berbuat demikian di Johor Bahru, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Sun Xueling, pada Rabu (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Malaysia runding benarkan teksi rentas sempadan turunkan penumpang di destinasi akhir

Laluan ke koswe dari Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Rundingan dua hala sedang dijalankan bagi membolehkan teksi rentas sempadan Malaysia yang layak untuk menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di Singapura, dan bagi teksi Singapura yang layak untuk berbuat demikian di Johor Bahru, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Sun Xueling, pada Rabu (15 Okt).

“Kami sedar terdapat permintaan daripada para penumpang untuk perkhidmatan rentas sempadan dari satu tempat ke tempat lain (P2P) yang lebih mudah,” kata Cik Sun di parlimen.

“Ini akan memberi lebih banyak kemudahan kepada para penumpang dari kedua-dua negara.”

Cik Sun menjawab pertanyaan sama ada Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti usaha untuk memperluas perkhidmatan P2P antara Singapura dan Johor Bahru berikutan penubuhan Zon Ekonomi Johor-Singapura.

Buat masa ini, teksi rentas sempadan hanya dibenarkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang di satu lokasi yang ditetapkan - Larkin Sentral di Johor Bahru bagi teksi Singapura dan Terminal Ban San Street di Singapura bagi teksi Malaysia.

Teksi berdaftar Singapura dan Malaysia merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan rentas sempadan yang dilesenkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia.

Setiap negara diperuntukkan kuota sebanyak 200 teksi untuk perkhidmatan tersebut.

Menurut LTA pada Julai lalu, terdapat sekitar 300 pemandu teksi rentas sempadan berlesen di kedua-dua negara.

Cik Sun berkata bagi pengambilan penumpang, teksi asing hanya dibenarkan untuk mengambil penumpang di lokasi-lokasi tertentu bagi mengelak pencerobohan pasaran P2P tempatan.

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan risiko teksi asing bergerak tanpa penumpang dan melakukan perjalanan haram.

Namun, bagi memudahkan para penumpang, lebih banyak lokasi pengambilan akan dikenal pasti di Johor Bahru dan Singapura, kata Cik Sun.

Cik Sun berkata pihak berkuasa akan terus berunding dengan Persatuan Teksi Nasional (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) untuk mendapatkan saranan mereka.

Beliau turut berkata bahawa penggunaan sistem penjejak lokasi, termasuk ERP 2.0, dan langkah-langkah lain bagi mencegah perjalanan haram oleh teksi rentas sempadan dalam Singapura juga sedang dikaji.

Pada September, LTA menyatakan bahawa lebih 100 kenderaan berdaftar asing disiasat tahun ini kerana disyaki terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan penumpang rentas sempadan haram, dengan kebanyakan kenderaan masih ditahan sementara siasatan dan proses mahkamah dijalankan.

Beberapa kenderaan tersebut mungkin berdaftar atas nama syarikat pelancongan Malaysia, menurut LTA.

Cik Sun berkata sejak Julai tahun ini, LTA sudah menahan 107 kenderaan, dengan pemandunya didapati menawarkan perkhidmatan haram.

Mereka yang didapati menjalankan perkhidmatan kereta sewa haram boleh dikenakan denda sehingga S$3,000, penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Kenderaan mereka juga boleh dirampas.

Pesalah berulang akan berdepan hukuman lebih berat dengan kenderaan mereka berisiko dirampas.

“LTA akan meneruskan penguatkuasaan walaupun selepas penambahbaikan terhadap peraturan sedia ada dilaksanakan,” kata Cik Sun.

RUNDINGAN PERLUAS SKIM RENTAS SEMPADAN, TINDAKAN TERHADAP APLIKASI HARAM

Encik Ang Wei Neng (PAP -West Coast-Jurong West) bertanya sama ada terdapat rancangan untuk menambah kuota 200 teksi rentas sempadan.

Cik Sun berkata perkara yang dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan Singapura dan Malaysia termasuk peningkatan kuota teksi bagi setiap negara, pengenalan model teksi pelbagai guna bersaiz besar, serta penggunaan aplikasi khidmat kereta sewa untuk membuat tempahan.

Encik Ang, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pengendali teksi Strides Premier, turut bertanya sama ada terdapat rancangan untuk memperluaskan perkhidmatan rentas sempadan kepada kereta sewa privet.

Cik Sun berkata pelibatan kenderaan sewa privet perlu “dilaksanakan secara berhati-hati” berdasarkan perbincangan dengan NPHVA.

“Mereka sedar bahawa jika skim teksi rentas sempadan dibenarkan dengan terlalu meluas dan tanpa skim berasingan untuk kenderaan sewa privet, ia boleh menyebabkan keadaan di mana (kereta privet) menjalankan perkhidmatan P2P haram di Singapura,” kata Cik Sun.

Beliau menambah bahawa mana-mana kenderaan yang beroperasi di Singapura, khususnya yang berdaftar di luar negara, perlu mempunyai pelekat dan tanda khas supaya “jelas bahawa ia merupakan sebahagian daripada skim berlesen.”

Profesor Madya Jamus Lim (WP-Sengkang) pula bertanya sama ada MOT merancang untuk mengambil tindakan terhadap peningkatan perkhidmatan rentas sempadan haram yang disewa melalui kumpulan sembang online.

Cik Sun berkata MOT dan LTA sedang berusaha mendapatkan “kuasa undang-undang tambahan” bagi memastikan platform online mematuhi permintaan LTA untuk menurunkan iklan atau tawaran perkhidmatan P2P haram sekiranya platform berkenaan enggan memberi bekerjasama.

“Pada masa sama, LTA juga telah menjalankan operasi untuk menyusup masuk ke dalam kumpulan sembang ini dan mengambil tindakan terhadap penyedia perkhidmatan haram berkenaan,” tambah beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita