Skip to main content

Singapura

SG, Malaysia meterai perjanjian bangun zon ekonomi khas di Johor, akses bebas pasport diteroka

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Malaysia meterai perjanjian bangun zon ekonomi khas di Johor, akses bebas pasport diteroka

(Dari kiri) Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada 11 Jan 2024. (Gambar: TODAY/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 11 Jan 2024 02:41PM
JOHOR BAHRU: Orang ramai yang melakukan perjalanan antara Singapura dengan Johor tidak lama lagi boleh melalui pemeriksaan bebas pasport di kedua-dua belah sempadan tersebut, serta proses digital bagi pelepasan kargo di pusat pemeriksaan darat.

Ini antara "inisiatif-inisiatif awal" yang sedang diteroka menjelang pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang baharu, yang bertujuan untuk meningkatkan ketersambungan ekonomi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia.

Satu Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai pada Khamis (11 Jan) antara kedua-dua negara untuk melakarkan rangka kerja bagi perjanjian yang mengikat secara sah mengenai SEZ.

MOU tersebut ditandatangani di Johor Bahru oleh Menteri Perdagangan Singapura Gan Kim Yong dan Menteri Ekonomi Malaysia Mohd Rafizi Ramli.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Anwar Ibrahim turut menyaksikan pemeteraian MOU itu.

Di bawah MOU tersebut, kedua-dua negara akan meneroka beberapa inisiatif, yang akan "dilaksanakan berkait SEZ". Ini termasuk pelepasan yang lebih cepat dalam kalangan para pelawat di pusat pemeriksaan darat, dan memudahkan kerjasama tenaga boleh diperbaharui antara Malaysia dengan Singapura, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura dan Kementerian Ekonomi Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, kementerian-kementerian tersebut menambah bahawa MOU itu, yang dimeterai dua bulan selepas Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia yang ke-10 pada Oktober lalu, "mengesahkan lagi hubungan yang terjalin sekian lama serta komitmen bersama oleh kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama ekonomi".

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk berusaha ke arah perjanjian penuh mengenai SEZ Johor-Singapura dan menyediakan perkembangannya di Retreat Pemimpin Malaysia-Singapura yang ke-11, yang akan diadakan di Malaysia tahun ini.

Kedua-dua negara pertama kali mengumumkan bahawa mereka akan menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji penubuhan SEZ di mesyuarat ke-16 Jawatankuasa Bersama Menteri Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia pada Julai 2023.

Tiga bulan kemudian, di Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia di Singapura, Encik Lee menyifatkan cadangan SEZ sebagai "projek yang besar dan mempunyai harapan yang cerah" yang, antara lain, harus membawa kepada perjalanan yang lebih lancar bagi orang ramai yang bekerja di kedua-dua belah Koswe, salah satu lintasan sempadan paling sibuk di dunia.

APA YANG BOLEH DIJANGKA DI BAWAH SEZ

Menurut kenyataan media tersebut, kedua-dua negara akan "meneroka untuk bekerjasama dalam beberapa inisiatif" yang akan menghala kepada usaha membangun SEZ.

Ini termasuk:
  •  Sebuah pusat sehenti bagi perniagaan atau perkhidmatan pelaburan di Johor
  • Melaksanakan sistem pelepasan kod QR bebas pasport di kedua-dua belah pihak
  • Proses digital bagi pelepasan kargo di pusat pemeriksaan darat
  • Menganjurkan bersama forum pelabur untuk mengumpulkan maklum balas daripada perniagaan mengenai SEZ Johor-Singapura
  • Memudahkan kerjasama tenaga boleh diperbaharui Malaysia-Singapura di zon
  • Menyusun latihan untuk menangani jurang bakat dan kemahiran untuk industri di SEZ
  • Membangunkan acara promosi bersama antara Johor dengan Singapura untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan di SEZ
"Inisiatif-inisiatif awal ini memaparkan semangat kerjasama antara kedua-dua negara dan kepentingan bersama dalam SEZ Johor-Singapura dalam memacu pertumbuhan ekonomi," jelas kementerian-kementerian itu.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita