Skip to main content

Singapura

SG, Malaysia dan Indonesia sepakat pastikan Selat Melaka kekal terbuka: Vivian Balakrishnan

Singapura, Malaysia dan Indonesia mempunyai kepentingan strategik yang dikongsi bersama untuk memastikan Selat Melaka kekal terbuka.
 

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Malaysia dan Indonesia sepakat pastikan Selat Melaka kekal terbuka: Vivian Balakrishnan

Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan berucap di acara CNBC Converge Live pada 22 April 2026. (Gambar: CNBC)

Diterbitkan : 22 Apr 2026 08:13PM
SINGAPURA: Singapura, Malaysia dan Indonesia mempunyai kepentingan strategik yang dikongsi bersama untuk memastikan Selat Melaka kekal terbuka.

Demikian menurut Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan pada Rabu (22 Apr) sedang ketegangan di Timur Tengah memberi tekanan terhadap laluan maritim global.

Bercakap dalam temu bual di acara Converge Live anjuran CNBC, Dr Balakrishnan berkata sebagai negara pesisir Selat Melaka, ketiga-tiga negara mempunyai “mekanisme kerjasama” untuk tidak mengenakan tol dan mengekalkannya sedemikian.

“Kami tidak mengenakan tol. Kami semua adalah ekonomi yang bergantung kepada perdagangan. Kami semua tahu ia menjadi kepentingan kami untuk memastikan ia kekal terbuka,” kata Dr Balakrishnan.

“Intipatinya ialah ketiga-tiga negara mempunyai kepentingan strategik dan sehaluan dalam memastikan ia kekal terbuka. Ini bukan sesuatu yang boleh diambil ringan di banyak tempat lain.”

Kenyataan Dr Balakrishnan dibuat di tengah-tengah kebimbangan berhubung kemungkinan penutupan Selat Hormuz, di mana sekatan yang dilaksanakan mencetuskan kebimbangan tentang penggunaan laluan perdagangan sebagai senjata.

Beliau menegaskan pendekatan Asia Tenggara kekal berlandaskan undang-undang antarabangsa.

“Berhubung Amerika dan China, kami telah menyatakan kepada kedua-duanya bahawa kami beroperasi berasaskan UNCLOS,” kata Dr Balakrishnan, merujuk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut.

“Hak laluan transit dijamin untuk semua. Kami tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang percubaan untuk menutup atau menghalang atau mengenakan tol di kawasan kejiranan kami.”

Apabila ditanya oleh Steve Sedgwick dari CNBC sama ada Singapura akan memilih antara Amerika Syarikat dan China, Dr Balakrishnan menegaskan semula: “Kami tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang percubaan untuk menutup atau menghalang atau mengenakan tol terhadap trafik, trafik maritim dan penerbangan pada zaman ini.”

MEMILIH ANTARA AMERIKA SYARIKAT DENGAN CHINA

Dr Balakrishnan menegaskan pendirian Singapura buat sekian lama untuk tidak berpihak kepada Amerika Syarikat mahupun China, meskipun persaingan strategik antara kedua-dua kuasa itu semakin memuncak.

“Untuk memetik kata Encik Lee Kuan Yew, kami akan menolak untuk memilih. Cara kami menguruskan hal ehwal kami adalah dengan menilai apa yang menjadi kepentingan Singapura sebagai sebuah negara dalam jangka panjang,” kata beliau.

“Dan jika saya perlu berkata tidak kepada Washington atau Beijing atau sesiapa sahaja, kami tidak akan teragak-agak. Namun mereka juga akan tahu bahawa apabila kami berkata tidak, ia bukan atas desakan pihak lain; kami bertindak demi kepentingan nasional jangka panjang kami sendiri.

“Kami akan menjadi berguna, tetapi kami tidak akan dipergunakan.”

Berhubung sama ada akan tiba masanya di mana Amerika Syarikat atau China memberi tekanan lebih besar kepada negara-negara seperti Singapura, menteri itu menjawab: “Belum lagi, bagi kami.”

Beliau menambah bahawa apabila Singapura berinteraksi dengan Amerika Syarikat, beliau akan menegaskan bahawa Washington mempunyai pelaburan lebih besar di Asia Tenggara berbanding gabungan pelaburannya di India, China, Jepun dan Korea Selatan.

“Saya mengingatkan presiden bahawa anda memperoleh pulangan yang sangat baik daripada pelaburan anda di Singapura,” kata beliau dalam temu bual itu.

“Saya juga mengingatkan pentadbiran Amerika Syarikat bahawa anda mempunyai lebihan dagangan yang besar dengan kami, bagi barangan dan perkhidmatan. Jadi, adakah anda mempunyai kepentingan di sini? Saya sentiasa mengingatkan presiden, anda mempunyai kepentingan yang kukuh di rantau ini.”

Bagi China pula, Singapura merupakan antara sumber pelaburan asing terbesar negara itu.

“Jadi, adakah kami berada pada kedudukan yang sangat strategik untuk memanfaatkan perkembangan di Amerika dan China? Ya,” kata Dr Balakrishnan.

Beliau memberi amaran bahawa risiko terletak pada kemungkinan keretakan hubungan antara Amerika Syarikat dan China, yang boleh membawa kesan meluas melangkaui perang di Timur Tengah.

“Jika mereka berperang di Pasifik, apa yang anda saksikan sekarang di Selat Hormuz hanyalah satu gambaran awal,” kata Dr Balakrishnan.

“Jadi, persoalan terbesar ... bukan sekadar apa yang berlaku di Timur Tengah, tetapi apa yang berlaku di Pasifik.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita