Skip to main content

Singapura

SG mahu guna AI dalam jagaan kesihatan, kos & akses antara pertimbangan utama sesetengah GP

Anggaran Waktu Membaca:
SG mahu guna AI dalam jagaan kesihatan, kos & akses antara pertimbangan utama sesetengah GP
Karyawan jagaan kesihatan menggunakan AI. (Gambar: iStock/hxyume)
Diterbitkan : 15 Jan 2026 07:31AM Dikemas Kini : 15 Jan 2026 07:32AM
  • Beberapa doktor GP di Singapura menggunakan AI untuk tugas pentadbiran dan klinikal, namun ramai masih ragu-ragu kerana kos dan akses yang terhad.
  • Kementerian Kesihatan melabur S$200 juta untuk AI di institusi awam, tetapi klinik swasta perlu menanggung kos sendiri atau memilih untuk tidak menggunakan teknologi tersebut.
  • Kebimbangan utama doktor termasuk keselamatan data pesakit, nilai sebenar AI dalam penjagaan kesihatan, dan kemungkinan kos dipindahkan kepada pesakit.
  • Pendapat doktor bercampur-campur tentang keperluan AI, dengan sesetengah melihatnya sebagai alat masa depan yang berguna, manakala yang lain menganggapnya hanya tambahan, bukan keperluan asas.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dr Song Majinyang menggunakan khidmat percubaan percuma ChatGPT untuk merangka emel, melakar prosedur operasi standard (SOP) dan menyediakan aturan kerja.

Namun, buat masa ini, beliau tidak bercadang untuk membayar peralatan klinikal kecerdasan buatan (AI) bagi membantu khidmat jagaan pesakit.

Sebabnya mudah: kos, akses, dan persoalan tentang nilai kaedah sedemikian.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pelaburan sebanyak S$200 juta pada Oktober 2024 untuk membawa AI ke institusi-institusi kesihatan awam dalam tempoh lima tahun. Namun, banyak klinik doktor swasta (GP) terpaksa membayar sendiri atau memilih untuk tidak menggunakannya.

Daripada lima doktor GP yang ditemu bual Mediacorp, dua daripada mereka aktif menggunakan AI untuk kerja klinikal, manakala yang lain hanya menggunakannya untuk tugas pentadbiran asas atau tidak menggunakannya langsung.

Bagi mereka yang menggunakan AI, kosnya terpaksa ditanggung sendiri.

"Jika ia tidak mudah diakses oleh GP, maka halangannya sangat tinggi," kata Dr Song, yang mengendalikan MyCare Medical Clinic di Chai Chee. "Klinik kami agak kecil, tiada galakan untuk mencubanya."

PERBELANJAAN KLINIK

Dr Joanne Koay dari Assure Family Clinic di Bukit Merah berkata kliniknya membelanjakan sehingga S$2,200 setahun untuk platform AI yang diluluskan oleh MOH.

Teknologi ini membantu dalam pemeriksaan kesihatan, penilaian kesejahteraan berasaskan genomik, dan pengesanan awal barah.

Dr Joshua Chua dari Cavenagh Medical Clinic di Bukit Timah pula melanggani empat platform AI dengan kos sekitar S$100 sebulan.

Beliau menggunakannya untuk menyimpan rekod lisan pesakit selepas proses konsultasi, menterjemah laporan perubatan asing dan menjana formula Excel bagi mengatur data pesakit untuk vaksinasi dan ujian makmal.

Walaupun klinik biasanya menanggung kos ini, Dr Koay akur bahawa sebahagian kos mungkin akhirnya akan dipindahkan kepada pesakit jika yuran menjadi terlalu tinggi.

Bagi klinik-klinik kecil, persoalannya adalah sama ada ia berbaloi untuk melabur dalam teknologi yang belum pasti dapat meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

Dr Roland Xu dari Procare GP Clinic di Ang Mo Kio berkata peralatan AI mungkin dapat membantu klinik-klinik yang mempunyai ramai pesakit, tetapi klinik "tunggal" seperti kliniknya masih boleh menguruskan dokumen tanpa bantuan AI.

Kos bukan satu-satunya penghalang. Dr Song menyatakan bahawa platform komersial seperti ChatGPT hanya memberikan jawapan umum untuk soalan perubatan, manakala model AI klinikal yang canggih pula terhad kepada program perintis atau sukar didapatkan.

Dr Song juga bimbang tentang kerahsiaan data. Beliau berkata doktor memerlukan jaminan bahawa data pesakit kekal selamat tanpa diperolehi oleh pihak luar.

Dr Chua pula berkata beliau "tidak akan sesekali" memasukkan data peribadi pesakit ke dalam platform tersebut bagi mengelakkan maklumat sulit bocor.

Bagi RadLink Group, mereka menyimpan data yang terhad bagi memastikan keselamatan maklumat pesakit sentiasa terpelihara semasa menggunakan AI untuk imbasan X-ray dan CT.

ADAKAH AI DIPERLUKAN OLEH DOKTOR?

Pendapat doktor bercampur-campur sama ada AI benar-benar membantu jagaan pesakit.

Dr Xu berpendapat AI lebih relevan untuk hospital yang mengendalikan kes-kes kompleks. Beliau mempersoalkan pulangan pelaburan jika pesakit sendiri tidak rasa perlu bertanya sama ada doktor menggunakan AI ataupun tidak.

Dr Song pula berkata bahawa kebanyakan klinik tempat beliau bekerja sebagai doktor ganti tidak menggunakan AI. Sesetengah doktor masih bergelut dengan sistem komputer sedia ada, apatah lagi AI.

Baginya, AI hanyalah "tambahan yang bagus, tetapi bukan satu keperluan".

Namun, pihak-pihak yang menyokong pula melihat AI sebagai alat berharga untuk masa depan, contohnya dalam saringan barah. AI boleh mengesan risiko awal walaupun imbasan nampak normal pada mata kasar manusia.

Dr Eng Chee Way menyokong penggunaan AI dan berpendapat doktor yang mengelaknya mungkin akan merugikan pesakit.

Bagaimanapun, beliau akur mengenai kelemahan AI seperti "halusinasi AI" (memberi maklumat salah). Beliau berpendapat manusia dan AI harus bekerjasama.

"Ia seperti menerbangkan kapal terbang, di mana anda ada sistem navigasi automatik dan juruterbang pada masa yang sama," kata Dr Eng. Itulah hasil yang paling optimum.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita