Skip to main content

Singapura

SG luluskan vaksin COVID-19 Moderna dikemas kini; sasar subvarian baharu Omicron

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Vaksin COVID-19 keluaran Moderna yang dikemas kini menyasarkan subvarian-subvarian baharu Omicron dan ia sudah diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (13 Okt).

Vaksin Spikevax yang dikemas kini boleh diberikan kepada mereka yang berusia enam bulan dan ke atas.

Ia merupakan vaksin COVID-19 yang kedua dikemas kini dan mendapat kelulusan HSA selepas vaksin Comirnaty Pfizer-BioNTech yang dikemas kini diluluskan pada 12 Sep.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung minggu lalu berkata Singapura sedang mengalami gelombang baharu COVID-19, dengan lebih ramai orang dijangka jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital dalam masa beberapa minggu akan datang.
Menurut data terkini Kementerian Kesihatan (MOH), sebanyak 16,250 kes COVID-19 dilaporkan dalam tempoh seminggu bermula 1 Okt. Ini lebih tinggi berbanding 15,336 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Sebahagian besar daripada jumlah kes yang melonjak itu disebabkan oleh dua varian, EG.5 dan HK.3, dengan kedua-duanya berasal daripada varian XBB Omicron, dedah Encik Ong.

"Vaksin Spikevax yang dikemas kini berfungsi sama seperti vaksin asal," dedah HSA pada Jumaat.

Selaras dengan saranan-saranan antarabangsa, vaksin yang dikemas kini itu terdiri daripada satu komponen yang disasarkan terhadap varian XBB.1.5 Omicron.

Ini bermakna vaksin tersebut dapat terus memberikan perlindungan daripada jangkitan subvarian-subvarian semasa Omicron.

"Tiada perubahan lain pada mutu, keselamatan dan keberkesanan vaksin dan vaksin yang dikemas kini dijangka dapat mengekalkan keseimbangan antara risiko dengan manfaat vaksin monovalen Spikevax yang asal," tambah HSA.

Dalam menyemak vaksin yang dikemas kini, pihak berkuasa turut mempertimbangkan "data luas" daripada versi vaksin Spikevax sebelumnya serta data tambahan.

Data tambahan ini menunjukkan bahawa vaksin yang dikemas kini boleh "meningkatkan tindak balas imun terhadap subvarian Omicron yang masih berlegar-legar", termasuk XBB.1.5, EG.5 - atau Eris - dan BA.2.86 yang baharu dikesan.

Pengemaskinian berkala bagi vaksin COVID-19 yang diluluskan adalah perlu kerana virus itu kian berubah-ubah dengan kemunculan varian-varian baharu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita