Skip to main content

Singapura

SG luluskan Rang Undang-Undang wajibkan kelulusan IMDA bagi pemerolehan media utama

Pemerolehan sebanyak 30 peratus atau lebih dalam entiti media utama akan memerlukan kelulusan dari Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Anggaran Waktu Membaca:
SG luluskan Rang Undang-Undang wajibkan kelulusan IMDA bagi pemerolehan media utama

Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital Tan Kiat How berucap di parlimen pada 7 Mei 2026.

SINGAPURA: Pemerolehan sebanyak 30 peratus atau lebih dalam entiti media utama akan memerlukan kelulusan dari Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Ini adalah antara perubahan di bawah satu Rang Undang-Undang yang diluluskan pada Rabu (6 Mei).

Pindaan terhadap Akta IMDA diluluskan di Parlimen supaya peraturan media selaras dengan sektor telekomunikasi.

Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital Tan Kiat How berkata pihak berkuasa "mengambil berat tentang siapa yang memiliki dan mengawal" entiti media utama.

Entiti-entiti ini termasuk syarikat-syarikat yang mencetak akhbar atau beroperasi di bawah lesen penyiaran.

"Ini adalah syarikat-syarikat yang membentuk sekitaran maklumat bagi rakyat kita, terutama sekali pada zaman AI dan salah maklumat," katanya.

Di bawah undang-undang baharu itu, perubahan dalam pemilikan atau kawalan yang membolehkan seseorang itu mengarah tindakan entiti sedemikian akan memerlukan kelulusan dari IMDA, termasuk kes-kes di mana satu pihak memeroleh 30 peratus atau lebih kepentingan dalam sebuah entiti media yang dikawal selia.

"Ambang 30 peratus dalam Rang Undang-Undang itu berfungsi sebagai penanda aras apabila seseorang itu dianggap sudah pun mempunyai kawalan terhadap keputusan dan operasi entiti tersebut," kata Encik Tan.

Dengan perubahan itu, kelulusan IMDA diperlukan jika entiti yang belum lagi dikawal selia memohon untuk memeroleh 30 peratus atau lebih pengendali TV berbayar seperti SingNet atau StarHub Cable Vision. Peraturan serupa sudah pun tertakluk bagi sektor telekomunikasi.

"Kami mengamalkan amalan ini untuk sektor media," kata Encik Tan.

KUASA BAGI MENGARAHKAN PEMISAHAN STRUKTUR

Pindaan itu juga memberikan IMDA lebih kuasa untuk bertindak lebih pantas terhadap tindakan pasaran yang berbahaya, walaupun tiada peraturan dilanggar secara rasmi.

"Mungkin berlaku kejadian di mana perbuatan para pemegang lesen boleh menyebabkan hasil yang memudaratkan pengguna atau menjejas persaingan pasaran secara adil, walaupun tidak berlaku sebarang pelanggaran Akta IMDA atau Kod (Persaingan Media dan Telekom)," kata Encik Tan.

Beliau menukil contoh daripada sektor telekomunikasi, di mana para penyedia khidmat secara tiba-tiba menukar harga atau terma langganan semasa tempoh penguncian kontrak - iaitu amalan yang dilarang oleh IMDA pada 2015 menerusi arahan kawal selia.

"IMDA tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian dalam sektor media," katanya. "Dengan pindaan ini, IMDA boleh mengambil tindakan pantas dan bersasar yang serupa bagi sektor media dengan mengeluarkan arahan."

Perubahan lain juga termasuk memberikan IMDA lebih kuasa untuk mendapatkan maklumat khusus bagi membantu dalam keputusan pengawalseliaan, seperti menilai perubahan pemilikan atau menentukan sama ada sesebuah khidmat media harus diperuntukkan sebagai sumber penting.

Kuasa untuk memerintahkan pemisahan struktur entiti media yang dikawal selia juga akan diberikan kepada menteri, dan bukannya IMDA.

"Kami maklum bahawa pemisahan struktur adalah campur tangan kawal selia yang ketara, dan adalah wajar bahawa keputusan berat ini diambil di peringkat menteri," kata Encik Tan.

Kuasa sedemikian hanya akan digunakan sebagai "ikhtiar terakhir" bagi menangani isu-isu persaingan, katanya, selepas langkah-langkah pengawalseliaan lain dianggap tidak berkesan dan di mana menteri berpuas hati tindakan itu dilaksanakan "demi kepentingan awam".

PERBAHASAN MENGENAI SKOP KUASA BAHARU

Keadaan di mana seseorang menteri boleh mengarahkan pengasingan struktur entiti media menimbulkan persoalan daripada beberapa anggota parlimen.

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) bertanya bagaimana ambang yang lebih tinggi dalam membuat keputusan kementerian akan dilaksanakan dan apakah pertimbangan bagi membimbing campur tangan sedemikian, memandangkan kepentingan langkah tersebut.

Encik Tan berkata pemisahan struktur "hanya akan dilaksanakan sebagai ikhtiar terakhir dan dalam kes-kes luar biasa", dengan had perundangan yang ketat.

Beliau menggariskan tiga keadaan yang harus dipenuhi sebelum arahan pemisahan boleh dikeluarkan.

Pertama adalah "keadaan pasaran yang layak" - sebagai contoh, di mana sebuah entiti media memiliki satu sumber yang sangat mahal untuk ditiru sehingga ia menghalang pesaing lain daripada menembusi pasaran, atau memegang kuasa pasaran yang ketara sehingga pesaing lain "tidak dapat menyediakan khidmat media secara realistik tanpa memerlukan akses kepada perkhidmatan mereka".

Kedua adalah semua langkah kawal selia yang lain oleh IMDA sudah pun digunakan atau tidak mencukupi.

Ketiga adalah menteri itu harus berpuas hati bahawa arahan itu dikeluarkan demi "kepentingan awam".
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita