Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG lulus undang-undang catu kuasa dalam situasi kecemasan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penguasa Pasaran Daya Tenaga (EMA) akan dapat melaksanakan pencatuan kuasa sebagai "jalan terakhir" semasa krisis melanda, dengan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan penting.

Ini selepas satu Rang Undang-Undang untuk menyokong peralihan daya tenaga negara ini diluluskan pada Isnin (9 Sep).

Dana Tenaga Masa Hadapan, yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini, juga akan menjadi sebahagian daripada langkah untuk memacu peralihan Singapura ke arah tenaga bersih.

Empat usulan utama lain diperkenalkan dalam Rang Undang-Undang Langkah Peralihan Tenaga dan Pindaan Lain yang bertujuan untuk menjamin dan menstabilkan bekalan tenaga Singapura.

Undang-undang tersebut diluluskan selepas 10 Anggota Parlimen (AP) tampil untuk mendapat penjelasan mengenainya.

APAKAH IA

Undang-undang tersebut memperkenalkan cadangan yang berkaitan dengan perancangan dan pembangunan infrastruktur, mewujudkan mekanisme pasaran baharu dan melindungi keselamatan tenaga.

Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng menekankan bahawa pencatuan kuasa mungkin diperlukan untuk mengekalkan kestabilan sistem kuasa, sekiranya berlaku gangguan yang teruk dan berpanjangan terhadap kesemua import gas Singapura.

Isi rumah dan perniagaan akan diberi notis awal sebanyak mungkin manakala penduduk dijangka mempunyai akses kepada kuasa bagi keperluan harian mereka, sekalipun perkhidmatan seperti perubatan dan telekomunikasi diberi keutamaan.

Perniagaan tidak akan bertanggungjawab jika mereka tidak memenuhi kewajipan masing-masing apabila mematuhi arahan EMA mengenai catuan kuasa.

Langkah-langkah catuan akan ditarik balik sebaik sahaja keadaan bertambah baik.

"Catuan kuasa hanyalah jalan terakhir. Ia adalah sebahagian daripada persediaan Singapura untuk dunia yang semakin tidak menentu, dan saya harap kita tidak perlu melaksanakannya," jelas Dr Tan, yang menyatakan bahawa Britain juga telah memperkenalkan catuan kuasa sebagai sebahagian daripada strategi daya tahan tenaganya.

Selain catuan kuasa, undang-undang itu juga menubuhkan Dana Tenaga Masa Hadapan bagi pelaburan dalam projek tenaga bersih yang mungkin mempunyai kos pendahuluan yang tinggi, dan risiko komersil, teknologi dan geopolitik yang ketara.

Suntikan awal ialah S$5 bilion pada tahun kewangan 2024, dengan tokokan selanjutnya dilakukan pada tahun-tahun akan datang.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan