Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG lulus undang-undang beri polis kuasa beku akaun bank mangsa penipuan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Jan 2025 07:26PM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 12:29AM
SINGAPURA: Parlimen meluluskan undang-undang baharu pada Selasa (7 Jan) yang akan memberi polis kuasa untuk mengarahkan bank menyekat urus niaga perbankan mangsa penipuan.

Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Penipuan diperkenalkan ketika insiden penipuan kekal sebagai "kebimbangan besar" di Singapura, kata Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling, membentangkan Rang Undang-undang tersebut untuk bacaan kali kedua.

"Rang undang-undang ini membolehkan polis bertindak tegas dan mengurangkan jurang dalam tindakan kita terhadap penipu."

APAKAH ITU RANG UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN DARIPADA PENIPUAN

Rang undang-undang tersebut membolehkan pegawai tertentu, termasuk polis dan Jabatan Ehwal Komersial (CAD), untuk mengeluarkan perintah sekatan kepada bank jika terdapat bukti munasabah bahawa pemilik akaun akan memindahkan wang kepada penipu.

Perintah sekatan itu akan menggantung perbuatan pemindahan wang, penggunaan ATM dan semua kemudahan kredit, meskipun individu itu masih boleh mengakses wang mereka bagi perbelanjaan seharian.

"Tujuannya untuk memberi polis lebih banyak masa untuk meyakinkan individu itu bahawa dia ditipu, termasuk mendapatkan bantuan anggota keluarganya," kata Cik Sun kepada Parlimen.

Beliau menambah bahawa perintah sekatan tersebut akan melibatkan tujuh Bank Penting Secara Sistematik Dalam Negeri (DSIB)
iaitu DBS, OCBC, UOB, Citibank, HSBC, Maybank dan Standard Chartered, yang menguruskan kebanyakan daripada akaun bank pelanggan di Singapura.

Perintah itu juga boleh dikeluarkan kepada bank bukan DSIB jika terdapat alasan untuk mempercayai bahawa mangsa akan memindahkan wang kepada penipu.

Cik Sun berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengambil langkah "berhati-hati untuk mencapai keseimbangan antara melindungi individu daripada bahaya tambahan dan tidak menyusahkan individu secara berlebihan".

Beberapa langkah perlindungan disediakan, seperti mengeluarkan perintah sekatan hanya "sebagai pilihan terakhir jika semua usaha lain untuk meyakinkan mangsa gagal".

Individu juga boleh merayu kepada Pesuruhjaya Polis terhadap perintah sekatan tersebut, di mana MHA akan memastikan prosesnya dilaksanakan dengan cepat, kata Cik Sun.

Rang undang-undang itu akan mengehadkan tempoh perintah sekatan kepada "maksimum 30 hari bermula hari ia dikeluarkan". Setiap perintah boleh dilanjutkan sehingga lima kali jika dianggap perlu oleh pegawai.

Selepas dilanjutkan sebanyak lima kali, perintah sekatan "perlu ditamatkan ... meskipun mangsa berisiko memindahkan lebih banyak wang kepada penipu", kata Cik Sun.

"MHA akan mengambil pendekatan praktikal. Kami tidak boleh membantu mangsa buat selamanya, dan kami juga tidak mempunyai sumber untuk melakukan demikian."

SEBAB IA PENTING

Petunjuk awal menunjukkan bahawa jumlah kes penipuan dan kerugian masing-masing meningkat kira-kira 10 peratus dan 40 peratus pada 2024, berbanding tahun sebelumnya.

Ia terumanya membimbangkan kerana masih terdapat "jumlah tinggi penipuan yang melibatkan pemindahan wang secara sukarela oleh mangsa kepada penipu", kata Cik Sun.

Penipuan sedemikian, termasuk melibatkan penipu menyamar sebagai pegawai pemerintah, penipuan pelaburan dan penipuan cinta internet, menyumbang kepada 86 peratus daripada semua laporan penipuan dan 94 peratus kerugian dari Januari hingga September tahun lalu.

HUJAH ANGGOTA PARLIMEN

Rang undang-undang itu diluluskan sebulat suara, namun Anggota Parlimen (AP) membangkitkan pelbagai kebimbangan.

Encik Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) berkata, meskipun Rang Undang-undang itu adalah langkah yang perlu dilakukan dan tepat pada masanya untuk menangani krisis penipuan, ia juga "sangat mengganggu" kerana " menghapuskan pilihan peribadi" dengan menyekat akses kepada akaun.

“Membekukan akaun seseorang buat sementara adalah langkah yang serius. Ia hanya perlu dibenarkan untuk keperluan melindungi individu yang terjejas,” katanya, sambil menambah bahawa bank perlu mengutamakan memberi latihan dan sumber untuk mengurangkan kesilapan dalam sekatan akaun.

Meskipun lebih banyak perlu dilakukan untuk melindungi pengguna, ada juga sebab untuk tidak sokong seprnuhnya Rang Undang-undang itu, kata Profesor Madya Jamus Lim (WP-Sengkang).

Sambil meminta lebih banyak fleksibiliti tentang bagaimana undang-undang itu dilaksanakan, Prof Madya Lim bertanya sama ada bank boleh memberi individu hak untuk melantik seseorang yang dipercayai, seperti rakan rapat atau saudara, kuasa penuh untuk membekukan transaksi sehingga 30 tahun hari, dan bukan polis.

Ini merupakan tambahan kepada ciri "kunci wang" sedia ada, yang membolehkan individu memilih pihak ketiga sebagai orang yang diberi kuasa dengan keupayaan untuk mengesahkan percubaan mengeluarkan wang yang betul, kata Prof Madya Lim.

AP Tanpa Kawasan Undi Hazel Poa
mencadangkan diadakan peruntukan bagi individu untuk memilih tidak ikut serta, tertakluk kepada perlindungan.

Mangsa penipuan juga perlu menjalani kaunseling oleh pekerja sosial dan diberi sokongan kesihatan mental. Pekerja sosial pula boleh membantu polis memutuskan sama ada perintah sekatan akan memberi manfaat kepada mangsa, tambahnya.

Cik Poa juga bertanya sama ada perintah sekatan akan dilanjutkan kepada akaun bersama, yang mungkin menyusahkan pemilik akaun yang tidak tertakluk kepada perintah tersebut.

Menjawap, Cik Sun menarik perhatian bahawa terdapat dua jenis akaun bersama, yang pertama adalah akaun-bersama di mana semua pemilik akaun perlu memberi arahan untuk sebarang transaksi perbankan; dan kedua adalah akaun di mana urus niaga boleh dilakukan tanpa kebenaran pemiliki akaun yang lain.

MHA "lebih berpihak untuk mengambil pendekatan mengurangkan risiko" dengan mengenakan perintah sekatan pada hanya akaun bersama membabitkan hanya salah seorang boleh membuat transaksi , namun dimaklumkan oleh bank bahawa operasinya "agak mencabar".

"Oleh itu kami memutuskan untuk mengenakan perintah sekatan ke atas kedua-dua jenis akaun bersama sebagai permulaan," kata Cik Sun.

Walaupun ia "tidak ideal", pihak berkuasa memutuskan untuk meneruskan langkah tersebut untuk "menyediakan mangsa dengan perlindungan yang diperlukan".

MHA akan bekerjasama dengan bank untuk meneroka penyelesaian teknikal "bagi memudahkan pengecualian tersebut" pada masa depan, tambahnya.

Cik Sun juga membalas cadangan bagi individu diberi pilihan untuk menarik diri. Beliau menegaskan bahawa perintah sekatan adalah tindakan "pilihan terakhir".

Perintah sekatan hanya akan dikeluarkan buat sementara waktu untuk maksimum 30 hari, dan dilanjutkan sehingga lima kali jika perlu, katanya.

Cik Ng Ling Ling (PAP-Ang Mo Kio) menarik perhatian risiko penipuan yang dilakukan di platform bukan perbankan dan bertanya sama ada perintah sekatan akan menyertakan syarikat pertukaran mata wang kripto dan pengiriman wang.

Cik Sun menjawab bahawa MHA akur risiko pada platform lain yang berfungsi sebagai "perantara dalam rantaian penipuan".

Ia akan terus bekerjasama dengan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk memantau keadaan dan "pertimbangkan untuk meluaskan skop perintah sekatan pada masa depan, jika perlu".

Cik Sun juga berkata polis menjangkakan akan mengeluarkan lima hingga 10 perintah sekatan setiap bulan, walaupun jumlah sebenar bergantung kepada kes yang dibawa ke perhatian polis dan penilaian setiap kes.

Encik Gerald Giam (WP-Aljunied) berkata jumlah itu bermakna kira-kira 60 hingga 120 perintah sekatan dikeluarkan setahun, yang dianggap "sedikit" berbanding 50,000 kes penipuan yang dilaporkan setiap tahun. Beliau bertanya sama ada ini bermakna Rang Undang-undang tersebut mempunyai kesan terhad dalam menangani penipuan.

Cik Sun mengulangi bahawa Rang Undang-undang itu sahaja "tidak akan dapat menangani jumlah penipuan dengan ketara" dan ia hanyalah satu daripada beberapa kaedah yang digunakan untuk menangani penipuan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan