Skip to main content

Singapura

SG lulus rang undang-undang tubuhkan Majlis Veterinar

Singapura akan menubuhkan sebuah Majlis Veterinar bagi mengawal selia pekerjaan itu dan menaikkan standard industri tersebut di bawah rang undang-undang yang diluluskan di parlimen pada Rabu (8 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
SG lulus rang undang-undang tubuhkan Majlis Veterinar

Gambar fail doktor haiwan di Singapura.

SINGAPURA: Singapura akan menubuhkan sebuah Majlis Veterinar bagi mengawal selia pekerjaan itu dan menaikkan standard industri tersebut di bawah rang undang-undang yang diluluskan di parlimen pada Rabu (8 Apr).

Rang Undang-Undang Amalan Veterinar menyediakan asas undang-undang bagi majlis itu dan menangani sebarang jurang dalam perundangan sedia ada menerusi rangka kerja konsisten meliputi disiplin, pendidikan dan pendaftaran profesional, menurut Lembaga Taman Negara (NParks).

Berucap di parlimen, Encik Alvin Tan, Menteri Negara bagi Pembangunan Negara berkata jumlah doktor veterinar berlesen meningkat lebih lima kali ganda sepanjang dua dekad kepada hampir 700 setakat hujung tahun 2024, manakala rangkaian dan kecanggihan perkhidmatan berkembang seiring dengan peningkatan jangkaan orang ramai terhadap standard profesional.

"Secara khususnya, terdapat kenaikan dalam bilangan pakar doktor haiwan dan keluasan pengkhususan doktor haiwan yang terdapat di Singapura, menawarkan perkhidmatan pembedahan dan perubatan khusus," katanya.

MAJLIS DAN RANGKA KERJA BAHARU

Disasarkan untuk penubuhan pada separuh kedua tahun ini, Majlis Veterinar akan menguruskan pendaftaran, mengawal selia kelakuan profesional, menetapkan keperluan pendidikan dan menyiasat sebarang salah laku dan kecuaian.

Ia akan mempunyai gabungan ahli sektor swasta dan awam, termasuk sekurang-kurangnya dua orang awam bukan doktor haiwan bagi mewakili kepentingan awam.

Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), sebuah kelompok di bawah NParks, akan terus mengawal selia kesihatan dan kebajikan haiwan, termasuk pengurusan penyakit dan biodiversiti.

Doktor veterinar akan beralih ke sistem pendaftaran tiga peringkat: Penuh, terhad atau pakar.

Kebanyakan tergolong di bawah peringkat "penuh" yang biasanya tertakluk bagi mereka dengan kelayakan dalam perubatan veterinar yang diberikan oleh sebuah universiti yang ditetapkan.

Mereka yang berada dalam bidang khusus seperti doktor haiwan institut kajian atau zoo, akan tergolong dalam peringkat "terhad" manakala mereka dengan kelayakan lepasan ijazah diluluskan atau kemahiran khas, seperti doktor haiwan oftalmologi atau pakar patologi, tergolong dalam peringkat "pakar".

Doktor haiwan berlesen AVS sedia ada akan beralih kepada rangka kerja baharu mulai 2027 tanpa gangguan terhadap amalan mereka.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita