Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG Lebih Sihat: 6 perkara anda perlu tahu tentang pelan perubahan jagaan kesihatan negara

Anggaran Waktu Membaca:
SG Lebih Sihat: 6 perkara anda perlu tahu tentang pelan perubahan jagaan kesihatan negara

Gambar Fail: iStock

Diterbitkan : 05 Oct 2022 08:22PM Dikemas Kini : 06 Oct 2022 03:08PM

SINGAPURA: Pemerintah sedang mengorak langkah untuk mengubah sistem jagaan kesihatan Singapura sedang Parlimen pada Rabu (5 Okt), melanjutkan perbahasan Kertas Putih yang menggariskan strategi dan tindakan-tindakan demi mencapai matlamat tersebut.

Strategi baru yang diberi nama SG Lebih Sihat atau 'Healthier SG' menitikberatkan jagaan kesihatan bagi mencegah penyakit dan bertujuan menggalak rakyat Singapura agar bertanggungjawab menjaga kesihatan sendiri, di mana mereka boleh berdaftar dengan seorang doktor yang akan menyokong keperluan kesihatan mereka sepanjang hayat.


Program SG Lebih Sihat dilakarkan di tengah-tengah cabaran penduduk menua dan kesan-kesan yang bertambah teruk akibat penyakit kronik.

Mereka yang mendaftarkan diri bagi SG Lebih Sihat boleh membuat janji temu dengan doktor dan akan dibiayai Pemerintah. SG Lebih Sihat adalah program secara sukarela.

Semasa perbahasan tentang SG Lebih Sihat sejak Selasa, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung membentangkan ciri-ciri utama dalam pelan perubahan jagaan kesihatan itu.

Berikut adalah enam perkara yang anda perlu ketahui:

1. SEORANG DOKTOR KELUARGA SAJA

Antara matlamat utama SG Lebih Sihat adalah agar setiap penduduk berjumpa dengan seorang doktor keluarga saja di bawah satu pelan kesihatan.

Di bawah setiap pelan, setiap penduduk memilih seorang doktor keluarga atau sebuah klinik. Para penduduk boleh melakarkan pelan kesihatan dengan doktor berkenaan, yang akan terus memantau kesihatan menerusi sesi-sesi lanjutan.

Ini akan menyediakan gambaran meluas tentang status kesihatan, keperluan perubatan dan juga matlamat-matlamat kesihatan, diikuti dengan pelan tindakan, seperti mengubah gaya hidup atau mengurus berat badan.

Seorang doktor menjalankan ujian darah terhadap pesakit. (Gambar hiasan: Loke Kok Fai)

Ia diharapkan dapat membantu doktor-doktor keluarga menjalin hubungan kukuh dengan para pesakit agar doktor-doktor itu dapat memainkan peranan lebih besar dalam mencegah penyakit.

Pendaftaran akan bermula pada separuh kedua 2023, bermula dengan para penduduk berusia 60 tahun dan ke atas sebelum ia diperluaskan secara bertahap-tahap kepada mereka yang berada dalam lingkungan usia 40 hingga 59 tahun.

Para penduduk dibenarkan bertukar doktor sekiranya mereka perlu berbuat demikian. Misalnya, jika mereka berpindah rumah atau menemui doktor yang lebih sesuai.

Bagi para penduduk yang mendaftarkan diri dengan seseorang doktor di bawah pelan SG Lebih Sihat, mereka masih dibenarkan berjumpa dengan doktor-doktor lain, termasuk doktor pakar yang merawat penyakit-penyakit kronik.

Pemerintah juga akan mengambil langkah-langkah untuk mengurus permintaan di klinik-klinik keluarga dan poliklinik. Ini bagi menangani keprihatin sesetengah penduduk bahawa mereka tidak akan diberikan perhatian secukupnya sekiranya doktor tetap mereka mendapat sambutan popular.

Ini termasuk bekerjasama dengan klinik-klinik untuk menentukan siapa pesakit-pesakit tetap dan menjalankan pendaftaran secara berperingkat agar klinik-klinik tidak berdepan dengan permintaan terlalu tinggi.

Encik Ong juga menggalak rakyat agar membuat pendaftaran awal agar dapat membuat pilihan klinik masing-masing.

2. PEMERIKSAAN KESIHATAN PERCUMA

Sebaik saja seorang penduduk mendaftarkan diri bagi SG Lebih Sihat, mereka boleh menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun secara percuma dengan doktor keluarga masing-masing, serta pemeriksaan saringan dan vaksinasi yang disyorkan.

Mereka yang mengalami faktor-faktor risiko tertentu mungkin disyorkan menjalani ujian lanjut.

Pemeriksaan rumit seperti kolonoskopi akan terus mendapat subsidi tinggi di hospital-hospital tetapi tidak akan disediakan secara percuma.

Imunisasi termasuk vaksin demam selesema dan pneumokokal bagi mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas atau menghidapi penyakit tertentu.

3. PENGGUNAAN MEDISAVE

Para penduduk yang menggunakan MediSave untuk membiayai kos rawatan penyakit kronik tidak lagi perlu membuat bayaran bersama sebanyak 15 peratus daripada bil rawatan secara tunai.

Sebaliknya mereka boleh membayar keseluruhan bil menerusi MediSave.

Memandangkan kebanyakan skim subsidi Pemerintah mewajibkan para penduduk membuat bayaran bersama untuk "berkongsi tanggjungawab", Encik Ong berkata subsidi tambahan itu adalah wajar kerana ia akan menyebabkan para penduduk membuat penyesuaian kepada kehidupan masing-masing dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

4. SUBSIDI TAMBAHAN

Satu lagi peringkat subsidi akan ditambah di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) bagi ubat-ubatan penyakit kronik dan had harga ubat-ubatan.

Ini bagi merapatkan jurang harga ubat-ubatan antara klinik keluarga dengan poliklinik agar para penduduk digalak untuk berjumpa dengan doktor keluarga pilihan mereka.

Kesemua pemegang kad CHAS rakyat Singapura yang mendaftarkan diri untuk SG Lebih Sihat, termasuk pemegang kad Generasi Perintis dan Generasi Merdeka akan dapat meraih manfaat daripada tambahan peringkat subsidi itu.

Encik Ong menarik perhatian jurang harga ubat-ubatan tidak akan dapat dirapatkan sepenuhnya memandangkan kaedah mengira subsidi di poliklinik dan di bawah CHAS adalah berbeza.

Namun, perbezaan harga ubat-ubatan di poliklinik dan klinik keluarga akan dikurangkan dengan ketara, kata Encik Ong.

5. LEBIH BANYAK KEGIATAN KESIHATAN

Rakan-rakan masyarakat seperti Persatuan Rakyat (PA) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) akan menganjurkan lebih banyak kegiatan kesihatan. Ia termasuk permainan bola, berjalan pantas dan kelas-kelas Zumba serta berkebun di kejiranan.

Prasarana awam seperti kemudahan sukan, taman-taman dan laluan penghubung taman juga akan dipertingkat untuk mendorong gaya hidup sihat.

6. MERAIH MATA GANJARAN DEMI GAYA HIDUP SIHAT

Untuk menggalak para penduduk mendakapi dan mengekalkan gaya hidup sihat, para penduduk akan dianugerahkan mata ganjaran atau 'health points' kerana menyertai kegiatan-kegiatan jasmani dan membeli makanan lebih sihat. Mata ganjaran yang dikumpul boleh ditebus di kedai-kedai yang menyertai program itu, termasuk pasar raya dan pusat-pusat beli-belah.

Aplikasi mudah alih Healthy 365, yang digunakan bagi Cabaran Langkah Kebangsaan (National Steps Challenge) dan 'Eat Drink Shop Healthy Challenge' juga akan dipertingkat untuk menyertakan ciri-ciri seperti memantau pengambilan kalori.

Ia juga disesuaikan agar dapat digandingkan dengan aplikasi-aplikasi kesihatan digital seperti Apple Health Kit, Fitbit dan Samsung Health, untuk memudahkan akses oleh orang awam.
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan