SG larang aktivis Malaysia masuk kerana terlibat dalam aktivisme politik, bantahan menyalahi undang-undang
Seorang aktivis Malaysia dilarang masuk ke Singapura kerana terlibat dalam aktivisme politik di negara ini, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (27 Mac), yang menyifatkan aktivis tersebut sebagai “pelawat yang tidak diingini”.
Fadiah Nadwa Fikri dikatakan pernah menggalakkan sebilangan belia di Singapura untuk mendakapi “pendekatan advokasi radikalnya”, menurut MHA sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp.
“Dia menggalakkan mereka untuk melangkaui tunjuk perasaan, untuk menggerakkan kumpulan pelajar dan pelbagai masyarakat di Singapura, serta melaksanakan tindakan yang mengganggu ketenteraman awam dan ganas bagi menyokong tujuan-tujuan tertentu,” menurut kementerian tersebut.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan warga asing yang terlibat dalam politik domestik kami, mahupun menggalak kaedah tunjuk perasaan sivil yang menyalahi undang-undang, ganas dan mengganggu (ketenteraman awam).”
Dalam catatannya di X pada Ahad, Fadiah, yang merangkul ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Januari, berkata beliau diekstradisi ke Malaysia dan dilarang daripada memasuki Singapura.
Dia menggambarkan kajian ilmiahnya sebagai meneliti sejarah intelektual dekolonisasi dan anti-imperialisme.
Fadiah turut berkata bahawa dia sudah meminta Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura supaya memberikan sebab bagi larangan kemasukannya, namun dimaklumkan bahawa pihak berkuasa “tidak dapat mendedahkannya”.
Notis penolakan kemasukan oleh ICA yang dikongsikannya secara online menyatakan Fadiah “tidak layak untuk diberikan pas di bawah dasar imigresen semasa”.
Dalam satu lagi catatan di Instagram, Fadiah berkata beliau ke Singapura pada 22 Mac atas undangan bekas penyelianya untuk menyampaikan syarahan berhubung tesis PhDnya.
Fadiah turut merancang untuk melawat rakan-rakan serta bekas penyelia dan keluarganya, selain mengambil sijil ijazah.
Menurut laman web universiti itu, Fadiah pernah menjadi seorang pelajar di jabatan Pengajian Asia Tenggara di NUS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.