Skip to main content

Singapura

SG lancarkan program kajian bernilai S$25 juta untuk ramal cuaca ekstrem

Anggaran Waktu Membaca:
 SG lancarkan program kajian bernilai S$25 juta untuk ramal cuaca ekstrem

Hujan lebat di Indonesia. (Gambar: IStock)

Diterbitkan : 04 Mar 2025 10:24PM Dikemas Kini : 04 Mar 2025 10:27PM
SINGAPURA: Singapura melancarkan satu program kajian bernilai S$25 juta untuk lebih memahami dan mempertingkatkan kebolehan untuk meramalkan kejadian cuaca ekstrem, termasuk termasuk ribut Sumatera dan fenomena berkaitan iklim yang lain.

Diumumkan oleh Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (4 Mac), Program Kajian Sains Cuaca itu bertujuan untuk memajukan keupayaan ramalan cuaca dalam persekitaran bandar tropika Singapura.

Inisiatif itu dibiayai di bawah pelan Kajian, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2025 dan terbuka kepada cadangan daripada institusi penyelidikan tempatan, dengan projek-projek dijangka akan diberikan pada separuh kedua tahun 2025.

RIE2025 meneruskan perancangan-perancangan yang dibuat pada tahun 2015 dan 2020 untuk menangani spektrum keperluan nasional yang lebih luas, meningkatkan keupayaan saintifik Singapura dan mengukuhkan sokongan untuk syarikat-syarikat serta menubuhkan platform guna pakai teknologi baru.

Pemerintah memperuntukkan S$25 bilion - atau kira-kira 1 peratus daripada GDP Singapura - untuk pelan RIE2025 bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Perubahan iklim menimbulkan cabaran besar bagi Singapura dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas, menurut MSE pada Selasa. Kajian perubahan iklim nasional ketiga yang dikeluarkan pada Januari tahun lalu meramalkan peningkatan suhu bagi Singapura, tempoh basah dan kering yang lebih melampau, dan kenaikan paras air laut menjelang akhir abad ini.

Pada September tahun lalu, ribut Sumatera membawa angin kencang dan hujan lebat ke Singapura, menumbangkan pokok, menyebabkan gangguan lalu lintas dan merosakkan harta benda. Ini mendorong pihak berkuasa mengeluarkan nasihat menggesa majikan untuk bersedia menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu dan mendadak.

"Singapura terletak di kawasan tropika di mana ramalan cuaca adalah sangat mencabar, disebabkan oleh kerumitan proses cuaca tempatan yang dominan seperti ribut petir dan interaksi skala halus dengan ciri-ciri tempatan seperti pantai dan landskap bandar," menurut MSE.

RAMALAN CUACA DIPANDU AI

Program kajian baharu ini akan mengukuhkan keupayaan sains cuaca Singapura dengan memanfaatkan kecerdasan buatan dan teknologi canggih lain.

Pusat Kajian Iklim Singapura, yang berada di bawah agensi meteorologi nasional, akan bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi dan organisasi kajian untuk meningkatkan model ramalan cuaca, dengan menggabungkan kemajuan saintifik terkini.

Satu fokus utama adalah penggunaan kecerdasan buatan untuk menyatukan data dari pelbagai sumber, mempertingkat ramalan untuk hujan lebat dan angin kencang. Para pengkaji juga akan membangunkan sistem ramalan cuaca lanjutan yang mengambil kira interaksi antara keadaan laut, darat dan atmosfera.

Peningkatan ini bertujuan meningkatkan keupayaan Singapura dalam meramalkan fenomena seperti ribut Sumatera, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MSE dan Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS).

Satu inisiatif utama di bawah program ini adalah melakukan analisis semula terperinci ke atas keadaan cuaca dalam beberapa dekad kebelakangan ini di Asia Tenggara - yang pertama seumpamanya di rantau ini. Data ini akan memberikan pandangan berharga tentang trend cuaca masa lalu dan meningkatkan teknik ramalan yang dipandu oleh kecerdasan buatan, tambah agensi-agensi tersebut.

KAJIAN PANTAI DI SENTOSA, BARAT DAYA SINGAPURA

Untuk menangani kenaikan paras air laut, kementerian mengumumkan rancangan untuk meningkatkan langkah-langkah perlindungan pantai, termasuk dua kajian khusus DI tapak baharu untuk Sentosa dan pesisir barat daya Singapura.

Kajian perubahan iklim nasional ketiga meramalkan bahawa paras laut purata di sekitar Singapura boleh meningkat sehingga 1.15 meter menjelang 2100 dan sehingga 2 meter menjelang 2150.

"Dengan kira-kira 30 peratus daripada tanah kita kurang daripada 5 meter di atas paras purata laut, Singapura terdedah kepada impak kenaikan paras laut," menurut MSE.

Beberapa lokasi seperti Taman East Coast sudah mengalami kejadian banjir pantai "sekali sekala" apabila air pasang bertepatan dengan hujan lebat, tambahnya.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan semasa ucapan Belanjawan pada 18 Februari bahawa lagi S$5 bilion akan diperuntukkan bagi Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir. Ini adalah tambahan kepada suntikan awal sebanyak S$5 bilion apabila dana itu pertama kali diumumkan pada 2020 untuk melindungi Singapura daripada kenaikan paras laut dan meningkatkan ketahanan terhadap banjir.

Dua kajian tapak baharu akan bermula menjelang 2026. Kajian Sentosa akan meliputi kira-kira 16km garis pantai dan mengambil kira peranan pulau itu sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE). Ia akan diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Sentosa dan disepadukan dengan perancangan pembangunan masa depannya.

Kajian pantai barat daya akan merangkumi kira-kira 116km dari Tuas ke Pasir Panjang, meliputi kawasan perindustrian dan pelabuhan seperti Pelabuhan Tuas dan Terminal Pasir Panjang, serta ruang rekreasi seperti West Coast Park. MSE menyatakan bahawa ia akan mengkaji cara untuk menyelaraskan langkah-langkah perlindungan pantai dengan perancangan pembangunan kawasan tersebut.

Sejak 2021, PUB dan agensi pemerintah lain sudahpun memulakan kajian khusus tapak untuk pantai timur bandar, pantai barat laut dan Jurong Island untuk menilai kerentanan pantai.

Butiran mengenai rancangan perlindungan pantai untuk Greater Southern Waterfront dan Changi - sebahagian daripada kajian pantai timur bandar - dijangka akan diumumkan pada separuh kedua tahun ini.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, pengarah Jabatan Perlindungan Pantai PUB Hazel Khoo berkata langkah-langkah perlindungan pantai akan dilaksanakan secara bertahap-tahap bermula dari 2030-an.

Pelaksanaan ini akan berlangsung selama beberapa dekad, bermula dengan langkah-langkah di pantai timur bandar, yang merangkumi "Long Island".

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata bahawa dana untuk langkah-langkah ini akan datang daripada Belanjawan tahunan, Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir, dan melalui pinjaman.

"Di mana patut, seperti untuk kos penambakan tanah, kita juga akan menggunakan rizab masa lalu," katanya kepada Parlimen pada Selasa.

"Kita akan terus mengkaji cara terbaik untuk membiayai langkah-langkah ini dengan cara yang mampan dari segi fiskal dan saksama merentasi generasi."

PERUNDANGAN PERLINDUNGAN PANTAI BAHARU

Untuk menyokong pelaksanaan perancangan perlindungan pantai, MSE dan PUB akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perlindungan Pantai pada separuh kedua tahun ini.

Undang-undang ini akan menggariskan tanggungjawab pihak berkepentingan, melindungi tanah untuk langkah-langkah perlindungan pantai dan menguatkuasakan pematuhan kepada piawaian perlindungan pantai.

PUB juga merancang untuk melancarkan kod-kod amalan untuk perlindungan pantai menjelang separuh pertama tahun 2026 untuk menyediakan satu set piawaian bagi industri mengenai reka bentuk, pembinaan dan operasi pelbagai struktur perlindungan pantai di Singapura - serupa dengan apa yang dimilikinya untuk saliran air permukaan.

Untuk melengkapkan ini, sebuah buku panduan pembangunan tahan banjir akan diciptakan, dengan kajian kes dan garis panduan untuk pemilik tanah meningkatkan ketahanan banjir harta mereka.

MSE juga akan melaksanakan secara berperingkat campur tangan prasarana untuk membina ketahanan Singapore terhadap kenaikan suhu, kata Cik Fu.

Salutan sejuk akan digunakan pada semua estet HDB sedia ada di seluruh Singapura menjelang 2030.

Kementerian sedang mengkaji keberkesanan salutan sejuk untuk jenis prasarana lain, seperti sekolah dan pusat penjaja, tambah Cik Fu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita