SG lancar tender bagi 3 loji janakuasa; permintaan elektrik meningkat
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada Rabu (29 Apr) melancarkan tender untuk sehingga tiga loji janakuasa baharu bagi menyokong permintaan elektrik Singapura yang semakin meningkat.
(Gambar fail: Mediacorp)
Di bawah "permintaan bagi saranan" ini, sektor swasta akan membina, memiliki dan mengendalikan loji janakuasa sedia hidrogen baharu, yang terdiri daripada satu unit yang akan siap menjelang 2031 dan sehingga dua unit dijadual siap pada 2032.
Setiap unit akan menjadi loji janakuasa sedia hidrogen yang dijangka akan menyediakan sekurang-kurangnya 600 megawatt (MW) elektrik, menurut EMA.
Menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), 600MW sudah cukup untuk membekalkan tenaga kepada lebih 864,000 flat empat bilik selama setahun.
Singapura telah menyaksikan peningkatan permintaan elektrik yang stabil selama ini, dengan sebahagiannya didorong oleh sektor perindustrian dan digital yang mempunyai permintaan tinggi, seperti semikonduktor dan pusat data, tambah EMA.
Sektor-sektor ini dijangka mencatatkan pertumbuhan berterusan dalam masa beberapa dekad akan datang.
Berdasarkan unjuran terkini EMA, permintaan puncak sistem tenaga Singapura dijangka meningkat antara 2.4 peratus dengan 4.8 peratus setiap tahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menjelang 2031, permintaan puncak diramalkan mencecah antara 9.6 gigawatt (GW) hingga 11.4GW.
Pengumuman ini dibuat di tengah-tengah harga elektrik dan gas yang lebih tinggi yang tercetus akibat konflik Timur Tengah yang berterusan, yang akan meningkatkan tarif elektrik sebanyak purata 2 peratus pada suku kedua 2026.
Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Tan See Leng, berkata dalam catatan Facebook pada Mac lalu bahawa turbin penjana elektrik di Singapura mampu beroperasi menggunakan gas dan diesel, yang menyumbang kepada penampan tenaga negara.
Loji-loji sedia hidrogen baharu ini "kekal penting untuk menyediakan bekalan elektrik yang mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan, sedang Singapura meneruskan portfolio sumber tenaga yang lebih bersih untuk jangka masa panjang", kata EMA.
Singapura merancang untuk mempunyai sekurang-kurangnya sembilan loji janakuasa sedia hidrogen menjelang 2030.
“Dengan permintaan elektrik terus meningkat di Singapura, pelaburan yang tepat pada masanya bagi kapasiti penjanaan adalah penting untuk memastikan kita dapat membekalkan tenaga kepada rumah, syarikat perniagaan dan kehidupan seharian kita dengan andal,” kata Ketua Eksekutif EMA, Puah Kok Keong.
Unit penjanaan baharu, digandingkan dengan loji janakuasa sedia ada di Singapura, “akan menyokong tenaga beban asas yang stabil yang diperlukan untuk menyokong peralihan kita kepada masa depan tenaga yang lebih bersih”, tambahnya.
Pembida yang berminat perlu menggunakan tanah sedia ada mereka untuk unit-unit tersebut, menurut EMA, sambil menambah bahawa tiada plot tanah tambahan akan disediakan di luar tanah pajakan sedia ada pembida, kecuali untuk syarikat tenaga dengan plot bersebelahan yang dikenal pasti untuk pengembangan.
Bidaan untuk unit penjanaan pada 2031 akan ditutup pada 24 Jun, manakala bidaan untuk unit bagi 2032 akan ditutup pada 30 September.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.