Skip to main content

Singapura

SG lancar rangkaian 'SG for Humanity' perkukuh usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza

Singapura melancarkan rangkaian baharu 'SG for Humanity' pada Khamis (5 Nov) bagi memperkukuh usaha bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas akibat krisis di Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
SG lancar rangkaian 'SG for Humanity' perkukuh usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza

Singapura melancarkan rangkaian baharu 'SG for Humanity' pada Khamis (5 Nov). Rangkaian itu menghimpunkan pemerintah, pertubuhan kemanusiaan dan masyarakat. Empat pertubuhan bukan pemerintah (NGO) terdiri daripada Humanity Matters, Mercy Relief, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Palang Merah Singapura (SRC).(Gambar: Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY))

Diterbitkan : 05 Nov 2026 01:41PM Dikemas Kini : 05 Nov 2026 04:53PM
Singapore launches ‘SG for Humanity’ network to strengthen humanitarian aid efforts in Gaza
  • Singapore launched the SG for Humanity network on Nov 5 in Geylang to strengthen aid for Gaza’s residents, with the Government coordinating cooperation among four humanitarian organisations.
  • Humanity Matters, Mercy Relief, RLAF and the Singapore Red Cross are pooling expertise in medicine, clean water, food and mobile clinics, while each continues its own programmes.
  • Since October 2023, Singapore has contributed more than S$25 million; the Government also provided S$1 million in start-up funding in 2025 to support donations and aid.
  • The network aims to ensure aid reaches families in need and create opportunities for volunteers and medical missions, despite challenges with access and security; Zaqy is expected to explore cooperation in Egypt.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Singapura melancarkan rangkaian baharu 'SG for Humanity' pada Khamis (5 Nov) bagi memperkukuh usaha bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas akibat krisis di Gaza.

Rangkaian itu menghimpunkan pemerintah, pertubuhan kemanusiaan dan masyarakat bagi meningkatkan kerjasama, memperkemas penghantaran bantuan serta menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat Singapura untuk menyumbang.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menyatakan bahawa empat pertubuhan menjadi rakan kerjasama awal rangkaian tersebut.

Ia terdiri daripada Humanity Matters, Mercy Relief, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Palang Merah Singapura (SRC).

Pelancaran itu disempurnakan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad, Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Zhulkarnain Abdul Rahim serta Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan Baey Yam Keng.

PERKUKUH PENGHANTARAN BANTUAN KEPADA PENDUDUK GAZA

Bercakap kepada media di ibu pejabat Humanity Matters di Geylang, Encik Zaqy berkata pelibatannya dalam empat misi kemanusiaan ke Gaza menyedarkannya bahawa lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk membantu penduduk yang terjejas.

Beliau berkata ramai rakyat Singapura bersedia menghulurkan bantuan, namun lebih banyak saluran diperlukan bagi membolehkan mereka menyumbang.

Rangkaian tersebut juga akan membuka peluang kepada rakyat Singapura untuk menyumbang masa dan kepakaran mereka, termasuk melalui kerja sukarela dan misi perubatan.

"Semangat ihsan dan keprihatinan rakyat Singapura dalam pertemuan saya dengan rakyat Singapura daripada pelbagai kaum dan agama. Ramai yang juga bertanya bagaimana mereka dapat membantu anda yang telah banyak menderma. 

"Ada juga doktor dan golongan profesional yang bertanya adakah mereka boleh turun padang untuk menyumbang kepakaran mereka. Jadi semangat untuk membantu sudah ada. Kita perlu membuka lebih banyak peluang untuk menterjemahkan lagi hasrat ini kepada tindakan," kogsi Encik Zaqy kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad (dua dari kanan), Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Zhulkarnain Abdul Rahim (tengah) dan Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan Baey Yam Keng (dua dari kiri) meninjau barangan bantuan di ibu pejabat Humanity Matters pada 5 November 2026. (Gambar: Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY))

GABUNG KEPAKARAN EMPAT PERTUBUHAN KEMANUSIAAN

Encik Zaqy juga berkata bahawa keempat-empat pertubuhan membawa kepakaran berbeza, termasuk dalam bidang rawatan perubatan, bekalan air bersih, bantuan makanan dan klinik bergerak.

"Setiap pertubuhan mempunyai pengalaman, kepakaran dan juga rangkaian kerjasama yang telah dibina bertahun-tahun. Melalui 'SG for Humanity', kita akan gemblengkan kekuatan ini dalam tiga bidang," kata Encik Zaqy. 

Tiga bidang utama yang akan diberi tumpuan menurut Encik Zaqy adalah untuk memperkukuh kerjasama antara pertubuhan kemanusiaan agar dapat saling melengkapi dan mencapai hasil lebih besar.

Kedua, memastikan bantuan bukan sekadar dikumpulkan, tetapi dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya menerusi kerjasama lebih erat dengan rakan kemanusiaan di luar negara.

Ketiga, membuka lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura untuk menyumbang bukan sahaja dari segi kewangan, malah melalui masa, tenaga dan kepakaran mereka.

Kerjasama itu membolehkan sumber serta keupayaan mereka digabungkan bagi meningkatkan keberkesanan bantuan.

Encik Zaqy berkata empat NGO dipilih sebagai rakan awal SG for Humanity kerana kesemuanya pernah bekerjasama dengan pihaknya dalam misi kemanusiaan sebelum ini dan mempunyai rangkaian serta inisiatif masing-masing di Gaza, Jordan, Palestin dan Mesir.

Bagaimanapun, menurutnya rangkaian itu berpotensi diperluaskan pada masa hadapan dengan melibatkan lebih ramai rakan kerjasama. 

"Memang kita ingin rakyat Singapura bersama, membawa pertubuhan Melayu/Islam, India Islam kita, membawa persatuan-persatuan di Singapura untuk bekerjasama, masjid-masjid juga dan anak-anak kita di luar negeri, di madrasah kita di Mesir dan Jordan dan juga rakyat Singapura yang sedang bekerja dan mungkin hidup di Timur Tengah. 

"Bagi saya, apa yang penting adalah kita dapat menggunakan inisiatif ini dengan baik dan kita dapat meluaskan lagi apa yang kita lakukan di Timur Tengah untuk rakyat Palestin dan Gaza," kongsi Encik Zaqy. 

Beliau berkata SAF tidak diketengahkan sebagai sebahagian daripada rangkaian 'SG for Humanity', namun ia tetap boleh memainkan peranan sekiranya diperlukan, dengan memanfaatkan rangkaian dan keupayaan sedia adanya di rantau tersebut, termasuk kemungkinan melaksanakan penghantaran bantuan melalui udara.

Pemerintah pula akan memainkan peranan penyelarasan, termasuk membantu pertubuhan bekerjasama dengan rakan antarabangsa yang diiktiraf serta memenuhi keperluan peraturan dan keselamatan di negara tempat mereka beroperasi.

"Cabaran bagi pihak NGO adalah untuk tahu selok-belok latar belakang undang-undang, perundangan ataupun rang undang-undang di tempat-tempat, negara-negara di mana mereka adakan aktiviti-aktiviti mereka.

"Kita pun mahu membantu mereka untuk saling berhubung ataupun bekerjasama dengan lebih dekat lagi dengan pihak-pihak negara, agensi di negara asing di Mesir, di Jordan supaya mereka dapat mendapat bantuan daripada badan-badan yang bertauliah dan jalan-jalan yang rasmi ataupun yang telus supaya semua derma-derma ini dapat diagihkan dengan secara telus," kongsi Encik Zhulkarnain. 

Encik Baey Yam Keng berharap usaha 'SG for Humanity' dapat memperluas jangkauan usaha kemanusiaan kepada lebih ramai rakyat Singapura.

“Usaha ini akan membantu memperluas jangkauan usaha bersama kepada lebih ramai rakyat Singapura dengan memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan rangkaian kerjasama yang dimiliki setiap pertubuhan.

“Pada masa yang sama, ia juga dapat mendekati masyarakat yang mungkin kurang mengenali tujuan dan usaha yang diperjuangkan oleh pertubuhan-pertubuhan ini. Kami berharap inisiatif ini dapat memberi lebih ramai rakyat Singapura peluang untuk memahami, melibatkan diri dengan lebih aktif dan seterusnya menyumbang dalam pelbagai cara bagi membantu mereka yang memerlukan," kata Encik Baey.

LEBIH S$25 JUTA BANTUAN DISUMBANG SEJAK OKTOBER 2023

Sejak Oktober 2023, pemerintah, pertubuhan kemanusiaan dan masyarakat Singapura telah menyumbang lebih S$25 juta bagi membantu penduduk yang terjejas akibat krisis di Gaza.

Bantuan tersebut merangkumi makanan, rawatan kesihatan, bekalan air bersih, tempat perlindungan dan pendidikan.

Humanity Matters telah melaksanakan 10 misi kemanusiaan menerusi Mesir dan Jordan, sekali gus membantu menyalurkan lebih 100 tan barangan bantuan ke Gaza.

Mercy Relief pula telah membantu sekitar 326,370 penerima, manakala RLAF membantu sekurang-kurangnya 260,000 orang menerusi kerjasama dengan pertubuhan antarabangsa.

Palang Merah Singapura turut membantu sekitar 158,900 penduduk Gaza melalui empat kempen kutipan dana.

Pada 2025, pemerintah memperuntukkan S$1 juta sebagai dana permulaan kepada empat pertubuhan tersebut bagi menyokong usaha kutipan derma dan bantuan kemanusiaan.

Related article image
Sebuah lori membawa khemah bantuan untuk sekitar 6,500 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, sumbangan Palang Merah Singapura dan Bulan Sabit Merah Mesir, memasuki Gaza pada Oktober 2025. (Gambar: Palang Merah Singapura)

PERANAN RLAF DALAM 'SG FOR HUMANITY'

RLAF menyatakan ia akan terus menyumbang pengalaman dan keupayaannya dalam menggerakkan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat yang terjejas.

"Dengan adanya kerjasama ini, kita dapat saling menyokong dengan kepakaran kita juga untuk memastikan usaha yang lebih terlaras dan bersepadu. 

"Dengan wadah ini, kita juga dapat memperkukuhkan dan menampakkan impak yang menyeluruh ke atas usaha-usaha masing-masing dan juga kami mempunyai rakan kongsi luar negara masing-masing. Dengan adanya jaringan ini bermakna mencari jangkauan yang lebih luas untuk membantu Gaza," kongsi Pegawai Eksekutif RLAF, Adnan Abdul Hamid. 

Antara perancangan RLAF pada masa hadapan termasuk melaksanakan kempen pengumpulan dana bagi tempoh lebih panjang berbanding kempen terdahulu, selain memperluas kerjasama dengan badan-badan setempat.

"Kita juga akan bekerjasama dengan badan-badan setempat seperti M³+, pertubuhan India Islam dan juga organisasi-organisasi agama yang telahpun dan sentiasa memberi bantuan kewangan kepada mereka untuk disalurkan kepada usaha-usaha di Gaza ini. 

Selain itu, RLAF juga sedang menyelaraskan usaha-usaha bersama keempat-empat NGO dalam pelbagai kempen mereka seperti kempen Ramadan dan korban. 

ZAQY DIJANGKA LAWAT MESIR DALAM BEBERAPA MINGGU

Encik Zaqy dijangka mengadakan lawatan kerja ke Mesir dalam beberapa minggu akan datang bagi meneroka cara memperkukuh kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Mesir, Bulan Sabit Merah Palestin dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata bantuan kemanusiaan masih berdepan cabaran, termasuk sekatan akses ke Gaza dan keadaan keselamatan di Timur Tengah.

Namun, usaha bantuan masih boleh dipertingkatkan menerusi negara-negara berhampiran Gaza.

Antara inisiatif yang mungkin dilaksanakan termasuk kempen bantuan musim sejuk, kutipan derma Ramadan serta kerjasama dengan syarikat yang menawarkan sokongan logistik.

Encik Zhulkarnain turut berkata rangkaian itu berpotensi diperluas kepada lebih banyak pertubuhan dan digunakan bagi usaha kemanusiaan di kawasan lain pada masa depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita