Skip to main content

Singapura

SG lancar pameran imersif papar reka bentuk, inovasi Terminal 5 Changi

Anggaran Waktu Membaca:
SG lancar pameran imersif papar reka bentuk, inovasi Terminal 5 Changi

Para pengunjung menyaksikan pameran T5 In the Making di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Changi Airport Group)

Diterbitkan : 05 Jan 2026 07:29PM Dikemas Kini : 05 Jan 2026 07:30PM
SINGAPURA: Pameran imersif yang memaparkan reka bentuk dan inovasi di Terminal 5 Lapangan Terbang Changi akan dibuka kepada orang ramai pada Selasa (6 Jan).

Pameran percuma berjudul 'T5 In the Making' itu akan dibuka sehingga Mac di Dewan Ketibaan Terminal 3.

Dilancarkan Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow pada Isnin (5 Jan), pameran itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG).

Pameran itu dibahagikan kepada lima zon, di mana pengunjung boleh menelusuri sejarah dan visi Lapangan Terbang Changi untuk masa hadapan.

"Pengunjung dapat menyaksikan teknologi-teknologi diteroka bagi menangani cabaran tenaga manusia, penduduk menua dan perubahan iklim, serta menamatkan lawatan mereka dengan menggambarkan masa depan melalui pengalaman interaktif kecerdasan buatan (AI) dan melihat model berskala terperinci T5 dan pembangunan Changi East," menurut MOT, CAAS dan CAG dalam kenyataan media bersama.
Related article image
Pengunjung menyaksikan model Terminal 5 Lapangan Terbang Changi di pameran 'T5 In the Making'. (Gambar: Changi Airport Group)
Mereka yang berminat menyaksikan pameran 'T5 In the Making' boleh mendaftarkan slot lawatan di laman Lapangan Terbang Changi.

Pendaftaran awal akan didahulukan, dan setiap tempahan boleh menampung sehingga lima orang.

Pengunjung boleh menempah slot lawatan seawal 30 hari sebelumnya.

Mereka juga boleh kunjung sahaja ke pameran itu walaupun ia tertakluk kepada kapasiti yang tersedia.

Pameran itu dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari, dengan waktu kemasukan terakhir pada pukul 7.15 malam.

Ia dijangka mengambil masa kira-kira 60 minit untuk menyaksikan keseluruhan pameran itu.

Sejak pendaftaran dibuka kepada orang ramai pada 15 Disember lalu, kira-kira 15,000 pengunjung sudah pun mendaftar bagi tiket ke pameran itu.

Pemegang tiket boleh menikmati tawaran makanan dan beli-belah di Lapangan Terbang Changi serta tawaran khas dari iShopChangi, Changi Experience Studio, Gift by Changi Airport dan Changi Travel Services sebagai antara cawangan-cawangan yang mengambil bahagian.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita