Skip to main content

Singapura

SG lancar kajian terhadap alahan makanan dalam kalangan kanak-kanak

Ketika anak lelaki Cik Amanda Chan, Corey berusia empat bulan, beliau baru mendapat tahu bahawa anaknya mengalami alahan makanan, dan tahun pertama kehidupan anaknya 'sangat mencabar".

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jun 2025 02:33PM Dikemas Kini : 27 Jun 2025 12:52AM
SINGAPURA: Ketika anak lelaki Cik Amanda Chan, Corey berusia empat bulan, beliau baru mendapat tahu bahawa anaknya mengalami alahan makanan, dan tahun pertama kehidupan anaknya 'sangat mencabar".

"Tiga hidangan sehari menjadi satu pengalaman penuh trauma kerana pada ketika itu beliau belum tahu bercakap. Jadi apa-apa yang beliau masukkan ke dalam mulutnya, saya tidak tahu jika ia akan memudaratkan dirinya," kata Cik Chan.

Corey, kini berusia 10 tahun, mengalami alahan jika memakan telur, bahan tenusu, kacang tanah dan hama debu (dust mites) sejak bayi lagi.

Kekurangan kesedaran dan maklumat mengenai alahan makanan dalam konteks tempatan menjadi satu cabaran kepada Cik Chan.

"Kami tidak memahami bagaimana alahan makanan boleh dibawa ke udara. Dan walaupun dia tidak memakan makanan pepejal, dia tetap mengalami tindak balas alahan," katanya.

Satu kajian klinikal baharu yang diumumkan pada Khamis (26 Jun) bermatlamat untuk menjawab soalan mengenai kelaziman dan kesan alahan makanan dalam kalangan kanak-kanak di Singapura.

Ini menyusuli peningkatan pada jumlah kes alahan makanan dalam kalangan kanak-kanak di klinik-klinik di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Kajian empat tahun itu diterajui oleh NUH dan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan kerjasama KKH, Poliklinik Universiti Nasional (NUP) dan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS.

Diberi nama 'Singapore Food Allergy Story', ia adalah kajian pertama dan terbesar yang memberikan gambaran keseluruhan secara holistik mengenai kesan alahan makanan di Singapura, menurut kenyataan media oleh institusi-institusi kesihatan tersebut.

Antara alahan makanan biasa yang dilihat pada kes-kes di klinik NUH dan KKH termasuk telur, susu dan kacang tanah bagi kanak-kanak kecil dan makanan laut bagi golongan remaja dan dewasa.

Tiada penawar mutlak bagi alahan makanan selain mengatasinya secara semula jadi, dan mereka yang menjaga kanak-kanak yang mengalami alahan makanan mungkin berdepan cabaran seperti kebimbangan, kewaspadaan berlebihan dan tekanan, menurut kenyataan media itu.

Sementara itu, NUH dan KKH melaporkan lebih banyak kes dilaporkan oleh jabatan kecemasan bagi kes-kes anafilaksis kanak-kanak antara 2015 denga 2022, sebahagian besar dipacu oleh kenaikan pada bilangan kes di hospital bagi anafilaksis berkaitan makanan.

Anafilaksis merujuk kepada tindak balas alahan teruk dan segera, di mana simptom yang dialami boleh menjejas pernafasan dan peredaran darah.

Sungguhpun terdapat kenaikan pada jumlah kes di jabatan kecemasan, tiada kenaikan dalam jumlah kes anafilaksis serius, kejutan atau kemasukan ke wad kebergantungan tinggi, kata ketua penyiasat utama kajian, Penolong Profesor Elizabeth Tham.

Di NUH dan KKH, jumlah penilaian alahan makanan yang dijalankan terhadap kanak-kanak meningkat sebanyak 60 peratus antara 2022 hingga 2024.

Walaupun ini mungkin mencerminkan tahap kesedaran dan keprihatinan yang meningkat dalam kalangan ibu bapa, ia berpotensi menonjolkan alahan makanan sebagai salah satu kondisi kesihatan baharu di Singapura, kata institusi-institusi kesihatan itu.

Tiada data rasmi yang menunjukkan peningkatan pada kelaziman alahan makanan kanak-kanak di Singapura buat masa ini, maka itu kajian tersebut perlu dijalankan, kata Penolong Profesor Tham, yang merupakan seorang konsultan kanan paediatrik di NUH.

Kelaziman alahan makanan juga meningkat di seluruh dunia di negara-negara maju, dan walaupun dari sudut sejarah ia jarang berlaku di Asia, berdasarkan data lama dari 10 hingga 15 tahun lalu, katanya.

Salah satu puncanya mungkin disebabkan oleh gaya hidup dan diet yang lebih condong kepada Barat.

Perubahan pada diet dan persekitaran boleh meningkatkan risiko mengalami alahan, kata Penolong Profesor Tham.

Faktor-faktor lain termasuk lebih banyak kesedaran mengenai alahan makanan dan kemudaratannya, sekali gus mendorong ibu bapa mendapatkan intervensi perubatan, katanya.

Terdapat juga bukti saintifik yang menunjukkan bahawa kurang pendedahan kepada bakteria dan kuman juga merupakan satu faktor penyumbang, kata Dr Chong Kok Wee, penyiasat bersama kajian dan perunding kanan perubatan paediatrik di KKH.

Selain kelaziman, kajian itu juga bermatlamat untuk menentukan kesan alahan makanan dalam kalangan kanak-kanak terhadap pemakanan, pertumbuhan, metabolisme dan kesihatan mental serta mendapatkan pandangan mengenai kesan sosial dan ekonomi alahan makanan.

"Matlamat kami adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk kanak-kanak yang mengalami alahan makanan, membolehkan mereka mencapai potensi sepenuhnya di sekolah dan di tempat kerja.

"Selain itu, kami berhasrat untuk meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan keseluruhan, terutama sekali bagi kanak-kanak dan remaja," kata Penolong Profesor Tham.

Dalam fasa pertama kajian itu, yang bermula Februari lalu, sekurang-kurangnya 2,000 ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun diberikan soal selidik semasa lawatan rutin mereka ke poliklinik NUP.

Mereka yang melaporkan kemungkinan tindak balas alahan terhadap makanan akan dirujuk kepada NUH atau KKH bagi penilaian lanjut.

Fasa kedua yang bermula pada Julai, akan melibatkan sekitar 400 kanak-kanak dan remaja berusia sehingga 18 tahun yang didiagnos menghidap alahan susu, telur, kacang tanah dan makanan laut.

Kajian yang dijalankan di tempat-tempat lain mendapati kes alahan makanan meningkat dalam kalangan kanak-kanak.

Di Asia, data dari Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong menunjukkan kes anafilaksis dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita