Skip to main content

Singapura

SG lancar garis panduan baharu berhubung pemakanan kanak-kanak

Ibu bapa kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun bakal mempunyai idea lebih jelas berkenaan apa dan bila untuk memberi makan anak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
SG lancar garis panduan baharu berhubung pemakanan kanak-kanak

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 23 Feb 2024 07:25PM Dikemas Kini : 23 Feb 2024 07:43PM
SINGAPURA: Ibu bapa kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun bakal mempunyai idea lebih jelas berkenaan apa dan bila untuk memberi makan anak mereka.

Sebuah garis panduan nasional kini tersedia berkaitan pemakanan kanak-kanak.

Ini sedang kadar obesiti di kalangan kanak-kanak di Singapura terus meningkat.

Menurut para doktor, ia boleh dicegah dengan mengamalkan cara pemakanan yang lebih sihat dari sejak usia muda.

Satu tinjauan melibatkan lebih 1,000 penjaga kanak-kanak mendapati wujud beberapa kelemahan dalam pemakanan kanak-kanak yang diamalkan para ibu bapa di Singapura.

"Terdapat pengambilan minuman manis yang tidak sesuai pada usia sangat muda, serta perasa yang dicampur ke dalam makanan anak-anak kita.

"Dan tinjauan kami juga menunjukkan bahawa sebilangan besar ibu bapa menggunakan alat-alat peranti, buku dan mainan untuk mengalihkan perhatian kanak-kanak ketika memberi makan, dan amalan ini tidak diingini," kata Prof Madya Chua Mei Chien, Ketua dan Perunding Kanan di Jabatan Neonatologi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Maka, panduan yang diberi termasuk saranan untuk mengelakkan jus buah-buahan dan minuman manis lain sebelum kanak-kanak berusia dua tahun.

Peranti dan alat permainan juga perlu dielakkan ketika waktu makan.

Tumpuan turut diberi untuk kenal tanda-tanda kelaparan dan kekenyangan untuk mengelak makan dengan berlebihan.

Ini sedang kadar obesiti bagi mereka yang berusia di bawah 18 tahun mencecah 16 peratus pada 2021.

"Tabiat pemakanan kanak-kanak seperti persepsi mengenai saiz bahagian, kelajuan memakan, jenis pilihan dan gizi makanan, adalah faktor risiko utama untuk obesiti kanak-kanak.

"Kita perlu lebih memahami serta tangani faktor-faktor ini untuk mengatasi isu obesiti kanak-kanak. Bagi kanak-kanak, pemakanan sihat secara semula jadi bermula di rumah," kata Dr Janil Puthucheary, Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan.

Garis panduan itu juga akan disediakan untuk karyawan jagaan kesihatan dan membantu pakar pediatrik membuat saranan diet.
Sumber : CNA/AT/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita