Skip to main content

Singapura

SG lancar 2 inisiatif baharu pada 2026 perluas sokongan kepada rakyat Palestin

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Jul 2025 09:58PM Dikemas Kini : 11 Jul 2025 11:36PM
SINGAPURA: Singapura akan melancarkan dua inisiatif pada tahun 2026 untuk meluaskan sokongan kepada rakyat Palestin.

Demikian diumumkan oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan pada Jumaat (11 Jul) semasa berucap di Persidangan Keempat Kerjasama Dalam Kalangan Negara-Negara Asia Timur (CEAPAD) mesyuarat peringkat menteri pada Jumaat (11 Jul).

Menurut Dr Balakrishnan, bersama dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Singapura akan menjalankan program latihan mengenai kepolisan masyarakat untuk Pasukan Polis Awam Palestin.

Singapura juga akan menganjurkan program pemimpin muda untuk berkongsi pengalaman Singapura dalam tadbir urus dan pentadbiran awam dengan pemimpin-pemimpin Palestin yang baharu muncul.

"Singapura berharap usaha kolektif kita pada mesyuarat CEAPAD ini akan mengukuhkan Pihak Berkuasa Palestin dan membantu mempersiapkan rakyat Palestin untuk negara mereka sendiri," katanya.

Israel melancarkan kempennya di Gaza sebagai tindak balas kepada serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023. Lebih 1,000 orang terbunuh pada hari itu, menurut angka Israel.

"Kami mengulangi gesaan kami dengan segera untuk gencatan senjata serta-merta, pembebasan semua tebusan tanpa syarat, dan penghantaran bantuan kemanusiaan yang pantas dan tidak terhalang serta sokongan untuk UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin). Kami perlu meringankan, segera, penderitaan orang awam di Gaza," kata Dr Balakrishnan.

"Selepas itu, gencatan senjata kekal diperlukan supaya pembinaan semula dapat dimulakan. Keperluan Gaza akan sangat besar," tambahnya.

Apabila ditanya oleh media sama ada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan menghantar bantuan perubatan selanjutnya untuk membantu situasi di Gaza, Dr Balakrishnan berkata SAF sudah melakukan beberapa "kajian skop awal" untuk melihat bagaimana bantuan perubatan dapat diberikan secara langsung.

"Masih terlalu awal untuk masuk ke butiran mengenai penempatan yang tepat atau sebenar, tetapi yakinlah bahawa kami berhasrat untuk menyediakan sokongan kemanusiaan dan perubatan untuk orang awam di Palestin."
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita