SG lakar rangka kerja permudah penggunaan AI dalam jagaan kesihatan awam
Huraian kecerdasan buatan (AI) yang dihasilkan oleh sebuah hospital awam di Singapura mungkin akan digunakan dalam seluruh sistem jagaan kesihatan awam negara tidak lama lagi.
Persidangan teknologi sulung anjuran agensi teknologi kesihatan nasional, Synapxe pada 16 Jun 2025. (Gambar: Mediacorp)
Ini selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan rangka kerja kawal selia yang akan memudahkan penggunaan AI dalam sektor tersebut.
"Kami sedang menyiapkan tapak ujian kawal selia bagi sofwe AI sebagai peralatan perubatan (AI-SaMDs), di mana institusi jagaan kesihatan awam yang berlesen boleh menggunakan peralatan yang dihasilkan sendiri tanpa memerlukan lesen pengeluar atau pendaftaran produk.
"Kami akan terus memastikan tadbir urus klinikal, langkah-langkah keselamatan awam dan pasca pemantauan pemasaran yang kukuh selepas memperkenalkan huraian AI itu. Jika berjaya, kami akan meneroka kemungkinan memperluaskan tapak ujian itu ke dalam sektor jagaan kesihatan privet," kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Pengumuman itu dibuat di persidangan teknologi sulung anjuran agensi teknologi kesihatan nasional, Synapxe pada Isnin (16 Jun).
Acara itu bertujuan menghimpunkan masyarakat jagaan kesihatan awam dan teknologi bagi meningkatkan bakat serta keupayaan sektor jagaan kesihatan.
Di persidangan itu, Synapxe juga memeterai perjanjian dengan syarikat-syarikat seperti OpenAI dan Google untuk melatih para kakitangan dan memanfaatkan teknologi AI.
Encik Ong bagaimanapun memberi amaran bahawa penggunaan AI perlu diimbangi dengan sekatannya.
"AI bagaimanapun bukan manusia. Ia tidak berfikir, merasa, berharap, berasa takut atau menunjukkan empati. Oleh itu, walaupun kapal terbang boleh terbang sendiri sekarang, kami tidak akan menerima berada di dalam pesawat tanpa juruterbang," kata beliau.
"Begitu juga, walaupun terdapat dapatan yang mencadangkan bahawa AI menyediakan diagnosis perubatan dan pelan rawatan yang lebih baik daripada doktor yang dilengkapi dengan AI, saya fikir ramai daripada kita masih cenderung kepada pilihan kedua kerana kita mempercayai doktor manusia yang boleh menunjukkan empati terhadap kebimbangan dan keprihatinan kita," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.