Skip to main content

Singapura

SG lakar pelan tindakan sedang risiko jerebu meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
SG lakar pelan tindakan sedang risiko jerebu meningkat

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 30 May 2023 04:41PM
SINGAPURA: Pasukan Bertindak Jerebu Antara-Agensi (HTF) sedang melakar pelan tindakan bagi persiapan terhadap kemungkinan berlakunya jerebu.

Demikian menurut Khidmat Meteorologi Singapura (Met Service) pada Selasa (30 Mei).

Ini sedang Singapura menjangkakan cuaca lebih kering dan panas, dengan Met Service meramalkan keadaan El Nino berlarutan pada separuh kedua 2023.

Selain keadaan El Nino, Dipole Lautan India (IOD) juga dijangkakan berlaku dalam tempoh tersebut.

Kedua-dua fenomena iklim itu dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di Singapura dan serantau dari Jun hingga Oktober tahun ini, menurut Met Service, sambil menambah bahawa ini akan meningkatkan risiko berlakunya jerebu rentas sempadan sekaligus menjejas Singapura dan rantau ini.

"Orang awam juga dinasihatkan supaya membuat persiapan seperti memastikan mereka mempunyai pelitup muka N95 yang cukup dan pembersih udara yang berfungsi," tambah pihak cuaca dan iklim negara.
Met Service menyatakan bahawa terdapat kemungkinan 70 hingga 80 peratus El Nino akan berlaku tahun ini.

Fenomena El Nino pada kebanyakan masa mempunyai pengaruh besar terhadap curahan hujan ketika musim monsun barat daya dari Jun hingga September, dengan curahan hujan di bawah purata 45 peratus.

Musim monsun barat daya antara Jun dengan September adalah musim kemarau yang biasa berlaku bagi Singapura dan kawasan serantau.

Dengan jangkaan El Nino dan IOD positif, Met Service menyatakan bahawa musim kemarau tahun ini mungkin lebih "dahsyat dan berpanjangan" dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini, dan akan berlarutan hingga Oktober.

"Cuasa yang kering dan panas adalah keadaan yang sesuai untuk menyebabkan kebakaran pada tanah gambut dan tumbuh-tumbuhan. Oleh itu, tompok panas boleh bertambah mulai Jun 2023 disebabkan tempoh cuaca lebih kering yang berpanjangan, terutama pada kawasan yang mudah terbakar."

"Ini akan meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan yang akan menjejas Singapura jika berlakunya kebakaran di negara berdekatan dan angin tenggara hingga barat daya yang meniup angin jerebu dari kawasan kebakaran ke arah Singapura," tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita