Skip to main content

Singapura

SG labur S$40.5 juta tingkat keselamatan, kemampanan & daya inovasi agromakanan

Anggaran Waktu Membaca:
SG labur S$40.5 juta tingkat keselamatan, kemampanan & daya inovasi agromakanan

Singapura mengimport lebih daripada 90 peratus keperluan makanannya, menjadikannya terdedah kepada kejutan luaran dan gangguan bekalan.

Diterbitkan : 07 Nov 2025 10:59AM Dikemas Kini : 07 Nov 2025 11:16AM
SINGAPURA: Singapura melabur S$40.5 juta dalam program penyelidikan dan inovasi untuk memperkukuh keselamatan makanan negara dan meningkatkan mutu makanan yang dihasilkan dalam negeri.

Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad berkata pada Rabu (5 Nov) bahawa usaha ini bertujuan untuk membantu Singapura menghasilkan lebih banyak makanan dengan sumber yang berkurangan.

“Sebagai sebuah negara kecil dengan ruang dan sumber yang terhad, cabaran untuk menjana pengeluaran makanan tempatan adalah produktiviti dan kos,” tambah Encik Zaqy.

“Oleh itu, untuk membolehkan industri menjadi lebih produktif dan berdaya saing di pasaran, Singapura perlu memanfaatkan sains dan teknologi untuk membangunkan huraian canggih.”

Beliau berkata demikian semasa berucap di Simposium Saintifik Pertanian-Makanan Global, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Minggu Pertanian-Makanan Antarabangsa Singapura.

Singapura mengimport lebih daripada 90 peratus keperluan makanannya, menyebabkannya terdedah kepada kejutan luaran dan gangguan pada rantaian bekalan.

Faktor-faktor seperti perubahan iklim dan wabak penyakit membentuk semula pengeluaran makanan global dan membebankan sistem yang telah lama menyokong keselamatan makanan, kata Encik Zaqy.

“Dengan realiti ini, kita mesti memastikan bekalan makanan yang selamat dan diyakini untuk Singapura.”

TANAMAN TAHAN IKLIM, IKAN SIAKAP TAHAN PENYAKIT

Di bawah program Hab Inovasi Benih, para petani akan disokong dalam menanam tanaman bernilai lebih tinggi dengan daya tarikan yang lebih luas dan daya maju komersial.

Program ini menerima rangsangan S$22 juta daripada pihak berkuasa untuk membangunkan benih unggul yang sesuai untuk iklim tropika dan pertanian dalam persekitaran terkawal, dengan ciri-ciri seperti pertumbuhan yang lebih pantas dan nilai pemakanan yang lebih tinggi.

Profesor Chew Fook Tim dari Jabatan Sains Biologi Universiti Nasional Singapura (NUS), yang menerajui projek itu berkata mengendalikan ladang tertutup adalah mahal, dan kemampanan bergantung kepada peningkatan hasil dan nilai tanaman.

Ini melibatkan pembangunan tumbuhan dengan ciri-ciri yang diingini seperti rasa yang lebih baik dan manfaat kesihatan tambahan yang menjadikannya lebih menarik kepada pengguna, tambahnya.

Ini boleh "mewujudkan pasaran baharu untuk petani kita", supaya mereka boleh bersaing secara berbeza daripada petani lain, katanya lagi.

"Kita perlu mencipta sesuatu yang baharu yang akan menjadi istimewa untuk Singapura."

Lagi sebanyak S$18.5 juta akan disalurkan kepada program akuakultur AquaPolis untuk mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan mutu ikan siakap Asia yang diternak secara tempatan.

Ini termasuk pembiakan ikan siakap yang tahan parasit melalui teknik pembiakan terpilih.

Dr Richard Le Boucher, pengarah perkongsian di AquaPolis, berkata para penternak ikan tempatan menghadapi cabaran seperti mendapatkan makanan yang berpatutan dan bermutu tinggi serta menangani isu berkaitan patogen.

Beliau menambah bahawa penyelidikan berterusan bertujuan untuk meningkatkan kadar kitar hidup ikan dan mutu.

“Mereka juga menghadapi persaingan dengan ladang lain atau negara lain,” kata Dr Le Boucher, yang juga merupakan pengarah penyelidikan di pertubuhan penyelidikan bukan untung Temasek Life Sciences Laboratory.

“Jadi kami cuba meningkatkan mutu, contohnya kandungan Omega-3 fillet, dengan memilih makanan yang baik dan menambah baik ikan.”
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita