Skip to main content

Singapura

SG kutuk serangan trak New Orleans, gesa rakyat berwaspada di Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
SG kutuk serangan trak New Orleans, gesa rakyat berwaspada di Amerika

Gambar: Gerald Herbert/AP

Diterbitkan : 04 Jan 2025 11:42AM Dikemas Kini : 04 Jan 2025 11:43AM
SINGAPURA: Singapura mengutuk serangan trak New Orleans itu yang berlaku pada 1 Jan, sekali gus menyifatkannya sebagai satu peringatan jelas terhadap ancaman pengganasan.

Veteran tentera Amerika Syarikat Shamsud-Din Jabbar mengibarkan bendera hitam kumpulan ISIS dalam sebuah trak, yang digunakan untuk merempuh orang ramai ketika mereka sedang meraikan sambutan Tahun Bahru.

Insiden itu sekali gus meragut nyawa sekurang-kurangnya 15 orang.

"Singapura mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas itu di New Orleans, Louisiana di Amerika Syarikat pada 1 Jan 2025," menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (4 Jan).

"Kami menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa serta mereka yang tersayang, dan mendoakan agar mereka cepat sembuh. Serangan ini merupakan satu peringatan jelas bahawa (ancaman) pengganasan terus menyelubungi semua negara."

MFA menambah bahawa Kedutaan Singapura di Washington D.C. sedang berhubungan dengan pihak berkuasa tempatan.

Tiada sebarang laporan mengenai mana-mana rakyat Singapura yang terjejas ekoran serangan berkenaan.

Jabbar merempuh kenderaannya, lalu melepaskan tembakan, sebelum dia sendiri ditembak mati oleh polis.

Pihak polis menyatakan bahawa dia telah memandu dengan niat untuk membunuh seramai orang yang mungkin.

Rakyat Amerika itu telah berikrar taat setia kepada ISIS dan bertindak sendirian dalam serangan berkenaan, jelas FBI, manakala Presiden Amerika Joe Biden mengutuk apa yang disifatkannya sebagai tindakan "kejam".

Rakyat Singapura di Amerika Syarikat dan mereka yang akan melakukan perjalanan ke sana, diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, memantau perkembangan berita dan mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan.

Mereka juga dinasihati untuk e-daftar dengan MFA jika mereka belum melakukannya, dan digalakkan untuk membeli insurans perjalanan yang menyeluruh, serta mengetahui benar-benar terma dan syarat dasar mereka.

Warga Singapura di Amerika yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi:

Kedutaan Singapura di Washington D.C

Telefon: +1 202 537 3100
Talian Kecemasan (selepas waktu pejabat): +1 202 537 3100 (Ext 14)
Emel: singemb_was [at] mfa.sg

Pejabat Petugas Kementerian Ehwal Luar di Amerika

Telefon: +65 6379 8800/8855 Emel: mfa_duty_officer [at] mfa.gov.sg
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita