Skip to main content

Singapura

SG kutuk pelancaran satelit pengintip Korea Utara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Nov 2023 10:31PM Dikemas Kini : 26 Nov 2023 12:11AM
SINGAPURA: Singapura mengutuk tindakan Korea Utara melancarkan sebuah satelit pengintip pada 21 Nov lalu.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (25 Nov).

Pada Selasa, Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) melancarkan roket, yang dipercayai membawa apa yang dipanggil sebagai sebuah satelit pengintip dari kemudahan Sohaenya yang terletak di pantai barat.

Satelit pengintip Malligyong-1 Korea Utara dipercayai telah memasuki orbit kira-kira 12 minit selepas ia berlepas, dengan tentera Korea Selatan akur kejayaan pelancaran itu pada keesokan harinya.

MFA menekankan bahawa pelancaran tersebut "mencabuli ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang melarang DPRK daripada melancarkan sebarang satelit menggunakan teknologi peluru berpandu balistik".

MFA menambah provokasi terbaharu itu meningkatkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea dan menggugat keamanan, keselamatan serta kestabilan di rantau tersebut.

Agensi perisikan Korea Selatan telah menentukan bahawa satelit tersebut tidak mungkin berfungsi selepas agensi tersebut memeriksa serpihan daripada roket yang digunakan dalam dua pelancaran gagal oleh Korea Utara pada Mei dan Ogos lalu.

Pyongyang dipercayai akan melancarkan beberapa lagi satelit untuk memantau Korea Selatan dan kawasan-kawasan yang menjadi kepentingannya, demi membantu Korea Utara bersiap siaga berdepan dengan langkah-langkah tentera "yang berbahaya" oleh "musuhnya".

"Singapura amat menggesa Korea Utara supaya tidak meneruskan sebarang rancangan untuk melancarkan lebih banyak satelit," nyata MFA.

Ia sekali lagi menyeru Pyongyang menghentikan semua provokasi dengan serta-merta dan mematuhi tanggungjawab serta komitmen antarabangsanya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita