Skip to main content

Singapura

SG, Korea Selatan tingkat hubungan ke Perkongsian Strategik; meterai perjanjian baharu dalam perkongsian budaya, perkapalan

Singapura dan Korea Selatan mempertingkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik pada Ahad (2 Nov), sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Anggaran Waktu Membaca:
SG, Korea Selatan tingkat hubungan ke Perkongsian Strategik; meterai perjanjian baharu dalam perkongsian budaya, perkapalan
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung semasa Sidang Puncak APEC pada 31 Oktober 2025. (Gambar: Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital)
SEOUL: Singapura dan Korea Selatan mempertingkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik pada Ahad (2 Nov), sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Kerjasama antara Singapura dengan Korea Selatan akan diperkukuh dan diperluas dalam beberapa bidang utama dan lapan Memorandum Persefahaman (MOU) akan dimeterai sebagai sebahagian daripada hubungan yang dipertingkatkan itu.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung mengumumkan hubungan diplomatik berperingkat tinggi yang baharu itu semasa sidang media bersama semasa lawatan rasmi pertama Encik Wong ke ibu kota Korea Selatan sebagai perdana menteri.

Bercakap selepas sebuah majlis pemeteraian MOU di pejabat presiden Yongsan, Encik Wong berkata kedua-dua pihak bekerjasama rapat sambil melakarkan hala tuju masing-masing, dan perkongsian tersebut kini lebih kukuh berbanding sebelumnya.

Singapura dan Korea Selatan merupakan antara 10 rakan dagang utama masing-masing, dengan aliran pelaburan yang terus meningkat.

Semakin ramai warga Singapura juga belajar, bekerja dan melancong ke Korea, dan sebaliknya.

“Presiden Lee dan saya baru sahaja mengesahkan semula keadaanmempertingkatkan hubungan dua hala kami yang cemerlang, serta potensi lebih besar untuk kita melakukan lebih banyak perkara bersama-sama,” kata Encik Wong, menjelaskan rasional di sebalik penubuhan Perkongsian Strategik baharu itu.

BIDANG-BIDANG KERJASAMA

Encik Wong berkata kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama dalam teknologi pertahanan dan keselamatan siber, serta saling berkongsi pengalaman untuk meningkatkan mutu dan penyampaian perkhidmatan awam.

Singapura dan Korea Selatan juga akan mempertingkatkan hubungan ekonomi dan keterhubungan bagi membuka peluang baharu kepada perniagaan-perniagaan dan pekerja-pekerja, serta bekerjasama ke arah pertumbuhan hijau dan lebih mampan.

Kedua-dua negara akan memanfaatkan “kekuatan saling melengkapi” dalam bidang penyelidikan, inovasi dan teknologi, selain memperluaskan perkongsian rakyat dalam bidang pendidikan, seni, budaya dan sukan.

“Kami akan bekerjasama untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, serta mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang memanfaatkan oleh kedua-dua negara,” kata Encik Wong.

Beliau turut mengumumkan bahawa Singapura dan Korea Selatan akan melancarkan sebuah projek bersama di bawah Program Kerjasama Singapura dan Dana Kerjasama ASEAN-Korea bagi menyokong transformasi digital di Asia Tenggara.

“Singapura juga mengalu-alukan untuk memulakan rundingan bagi menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea pada awal tahun depan,” tambah beliau.

PERKONGSIAN 'SEMAKIN PENTING'

Di tengah-tengah ketidaktentuan dalam ekonomi global, perkongsian antara negara yang sealiran kini bertambah "semakin penting", kata Encik Wong.

Dalam temu bual bersama media Singapura, beliau berkata peningkatan hubungan dengan pelbagai negara adalah "sebahagian" daripada respons kepada penghakisan sistem perdagangan global.

“Kita perlu meningkatkan lagi kerjasama kita dengan rakan-rakan kongsi,” katanya, sambil menegaskan Singapura memastikan setiap hubungan mempunyai nilai dan hasil yang nyata.

Perkongsian itu menyediakan rangka kerja yang stabil dan dapat dijangkakan bagi syarikat-syarikat untuk beroperasi di luar negara, tanpa perlu bimbang tentang sekatan eksport atau perpecahan pasaran selepas pelaburan dibuat.

“Dengan rangkaian rakan kongsi yang diyakini, kita dapat mewujudkan platform di mana rantaian bekalan baharu boleh dibentuk, hubungan baharu diwujudkan oleh perniagaan sendiri, dan seterusnya kita boleh memastikan keadaan makroekonomi yang membolehkan perniagaan kita berkembang,” jelas beliau.

Beliau menambah, manfaat langsung dirasai oleh perniagaan, namun kesannya akan diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan dan peluang bagi para pekerja.

Apabila ditanya sama ada Singapura melihat dirinya sebagai pusat utama dalam rangkaian tersebut, Encik Wong berkata negara tersebut bercita-cita untuk menjadi salah satu pusat sedemikian, namun ekonomi lain turut memegang hasrat yang sama.

“Pada akhirnya, akan ada pelbagai nadi. Bukan hanya satu sahaja,” kata beliau.

“Tetapi selagi kita kekal relevan dan terus memberi nilai tambah, kita akan menjadi salah satu nadi penting dalam rangkaian yang sedang berkembang ini, dan itulah caranya kita dapat terus mencari rezeki dalam dunia yang sentiasa berubah-ubah.”

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN

Empat MOU yang dimeterai semasa lawatan Encik Wong ke Korea Selatan adalah:
 
  • MOU mengenai pentadbiran kakitangan bagi memudahkan perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, termasuk dalam bidang pengurusan modal insan perkhidmatan awam.
  • MOU mengenai Koridor Perkapalan Hijau dan Digital bagi menyokong inisiatif peralihan sektor maritim daripada bahan api berasaskan karbon.\
  • MOU mengenai kerjasama digital meliputi kecerdasan buatan (AI), komunikasi selamat kuantum dan keselamatan siber.
  • MOU mengenai kerjasama budaya dan sukan untuk menggalakkan dialog serta perkongsian lebih erat melalui pertukaran dan lawatan.
     
Empat lagi MOU akan menjadi sebahagian daripada Perkongsian Strategik baharu tersebut:
 
  • Perjanjian Pertukaran Maklumat mengenai pengesahan agen peperangan kimia dan biologi bagi membolehkan perbincangan terbuka.
  • MOU mengenai kerjasama kesihatan, termasuk jaminan kesihatan, dasar penjagaan warga tua dan peraturan penjagaan kesihatan.
  • MOU antara Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura dan Perkhidmatan Forensik Nasional Korea Selatan, termasuk perkongsian maklumat sains forensik dan penyelidikan bersama.
  • MOU mengenai keselamatan AI bagi perkongsian amalan terbaik dalam menilai sistem AI generatif dan berkongsi pandangan mengenai trend serta pembangunan teknologi masa depan.

Sebelum ini pada Ahad, Encik Wong meletakkan kalungan bunga di Taman Peringatan Nasional Seoul dan mengadakan mesyuarat delegasi dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan.

Pada Sabtu, selepas tiba di Seoul, beliau menghadiri sebuah majlis bersama rakyat Singapura di luar negara di Hotel The Shilla Seoul.

Sekitar 200 pelajar, pekerja dan ahli keluarga menghadiri acara tersebut.

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Wong menulis bahawa peluang berjumpa dengan rakyat Singapura di luar negara sentiasa menjadi detik istimewa baginya.

“Ia terasa seperti menemukan 'tanah air sendiri’ di tanah asing,” tulis beliau, sambil menambah bahawa beliau mendapat inspirasi dengan mendengarkan kisah-kisah warga Singapura yang mengukir laluan masing-masing dan menjadi “duta hebat” bagi negara.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita