Skip to main content

Singapura

SG, Korea Selatan rai persahabatan 50 tahun dengan pelbagai kegiatan

Kedutaan Korea Selatan di Singapura sudah merancang pelbagai kegiatan di sini sedang kedua-dua negara meraikan ulang tahun lima dekad hubungan diplomatik tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Korea Selatan rai persahabatan 50 tahun dengan pelbagai kegiatan

Persembahan Jongmyo Jeryeak di Esplanade bagi meraikan persahabatan antara Singapura dan Korea Selatan. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 05 Apr 2025 05:26AM Dikemas Kini : 05 Apr 2025 05:48AM
SINGAPURA: Kedutaan Korea Selatan di Singapura sudah merancang pelbagai kegiatan di sini sedang kedua-dua negara meraikan ulang tahun lima dekad hubungan diplomatik tahun ini.

Dari seni dan budaya hingga makanan dan hiburan, baki 2025 ini akan menyaksikan jadual yang dimeriahkan dengan 30 acara Korea di merata lokasi di Singapura.

Acara-acara itu bertujuan menyatukan rakyat kedua-dua negara untuk memupuk persefahaman dan penghargaan yang lebih mendalam, menurut kedutaan itu.

Sambutan itu bermula di Esplanade pada Jumaat (4 Apr) dengan persembahan Jongmyo Jeryeak - muzik diraja Korea yang dipersembahkan menerusi upacara ritual nenek moyang.

Para wakil dari kementerian kebudayaan kedua-dua negara turut hadir di acara itu, yang diadakan dengan kerjasama siri muzik kudus Esplanade.

Dari 16 Mei hingga 18 Mei, Pertubuhan Pelancongan Korea akan mengadakan festival melancong di Plaza Singapura yang menampilkan makanan-makanan Korea Selatan, produk kecantikan serta persembahan.

Minggu Bahasa Korea yang bermula 19 Mei akan termasuk peraduan berucap, kuiz dan kelas-kelas sehari.

Pusingan awal Festival K-pop World Changwon akan diadakan pada 19 Julai di *SCAPE, di mana peserta yang dipilih akan bersaing dalam pusingan akhir Korea Selatan.

Para pelawat ke Minggu Seni dan Budaya Tradisi Korea bermula 18 Ogos pula akan menikmati seni rakyat, kraf tali pintal dan muzik tradisi.

Pada hujung September, para artis visual muda dari Korea Selatan akan mengadakan pameran khas.

Semasa Festival Pertengahan Musim Luruh, tanglung kertas Korea akan menghiasi Taman di Pesisiran.

Pada 6 Oktober akan ada festival makanan di Tanjong Pagar Road, yang mempunyai deretan restoran Korea di Singapura. Satu mural juga akan didedahkan.

Ini disusuli Minggu Makanan Korea di mana para pelawat boleh mencuba membuat hidangan tradisi Korea.

Festival Filem Korea tahunan diadakan pada hujung Oktober dan akan memaparkan karya-karya filem yang lebih rencam daripada biasa.

Satu konsert simfoni juga akan diadakan pada 31 Oktober.

PERDALAM HUBUNGAN, PERSEFAHAMAN

Akan ada juga kegiatan untuk kanak-kanak dan pelajar dari kedua-dua negara untuk "memperdalam hubungan persahabatan antara generasi masa depan menerusi pertukaran budaya, bahan bacaan dan akademik", menurut kedutaan itu.

Semua acara yang sudah dijadualkan itu bertujuan mencerminkan pencapaian hubungan Korea-Singapura, meraikan kemajuan hubungan dua hala, dan melangkah ke masa hadapan bersama-sama.

Pada Januari, kedua-dua negara melancarkan logo di Seoul untuk meraikan ulang tahun ke-50. Logo itu termasuk elemen-elemen simbolik dan warna yang diilhamkan daripada bendera kedua-dua negara.

Muzium-muzium negara di Singapura dan Korea Selatan juga akan memeterai perjanjian tiga tahun di tengah-tengah usaha untuk memperkukuh hubungan dalam seni dan kebudayaan.

Perjanjian itu, antara Muzium Negara Singapura dengan Muzium Rakyat Negara Korea, termasuk penggunaan teknologi dalam seni dan warisan.

DIPLOMASI 50 TAHUN

Singapura dan Korea Selatan menjalin hubungan diplomatik pada 8 Ogos 1975. Sejak itu, kedua-dua negara mengekalkan kerjasama dalam perdagangan, budaya dan teknologi, menurut kedutaan itu.

Di Korea Selatan, Kedutaan Singapura di Seoul juga sudah menyusun kegiatan yang mempamerkan budaya dan gastronomi meriah Singapura.

Ini termasuk "50 Flavours of Singapore Food Carnival" di Gangnam minggu depan. Ia akan memaparkan makanan tempatan, termasuk Chilli crab, kaya toast, milo ais dan Singapore Sling.

Selain itu, terdapat juga persembahan pada 24 April yang dipanggil "Infinitely Closer" oleh Syarikat Tarian The Human Expression di Pusat Sejong bagi Seni Persembahan di Seoul.
Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita