Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG komited sokong orang awam di Gaza; RLAF anjur lagi kempen kumpul dana kemanusiaan pada Ramadan: Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menekankan komitmen Singapura untuk menyokong orang awam di Gaza melalui bantuan kemanusiaan.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menekankan komitmen Singapura untuk menyokong orang awam di Gaza melalui bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata demikian semasa menggulung ucapannya di Perbahasan Jawatankuasa Peruntukan di Parlimen pada Rabu (6 Mac).

"Dalam banyak sesi perbincangan mengenai krisis ini bersama masyarakat, saya dan rakan-rakan Anggota Parlimen akur rasa sedih, kecewa dan tidak berdaya yang ramai luahkan. Kami mendengar curahan hati masyarakat dan memahami sentimen ini.

"Dengan lebih 30,000 jiwa terkorban dan angka korban dijangka terus meningkat, tindak balas tentera Israel telah melampaui batas," tegasnya.

Beliau juga mengulangi lagi gesaan Singapura agar gencatan senjata dilakukan dengan segera supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secepatnya kepada mereka yang amat memerlukan.

"Kami komited untuk menyokong orang awam di Gaza, dan Singapura komited untuk menyokong orang awam di Gaza, dan Singapura bakal menghantar bekalan ketiga bantuan kemanusiaan melalui Jordan, seperti yang dikongsi oleh Menteri Vivian minggu lalu," kata Encik Masagos.

Selain itu, beliau juga berkongsi bahawa Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan menjalankan satu lagi kempen pengumpulan dana kemanusiaan untuk Gaza pada bulan Ramadan ini.

"Kami mengalu-alukan rakyat Singapura tampil ke hadapan dan menderma. Krisis ini mungkin berlarutan, dan kita tidak tahu apa yang bakal terjadi dalam hari-hari mendatang," ujarnya.

Encik Masagos turut memuji semangat kewarganegaraan yang ditonjolkan masyarakat Melayu/Islam Singapura di tengah-tengah waktu mencabar sekarang ini.

"Saya terharu kerana walaupun dalam masa yang begitu sukar sekarang ini, masyarakat kita terus menunjukkan semangat kewarganegaraan – menyumbang kepada sesi dialog, menghulurkan bantuan kemanusiaan, dan sekali gus memperkukuh perpaduan antara satu sama lain," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan