SG komited percepat permohonan ekstradisi Indonesia bagi ahli perniagaan dalam buruan
Pemerintah Singapura komited sepenuhnya untuk mempercepatkan permohonan ekstradisi pertama dari Indonesia bagi seorang ahli perniagaan dalam senarai buruan kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah melibatkan beberapa bilion dolar.
Menteri Undang-Undang merangkap Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam (kiri) memberi jaminan bahawa Singapura akan mempercepatkan proses permohonan ekstradisi dari Indonesia. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)
Menteri Undang-Undang merangkap Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam memberi jaminan bahawa Singapura akan mempercepatkan proses permohonan itu, selepas satu perjanjian ekstradisi dimeterai antara kedua-dua negara pada 2022.
Perjanjian itu berkuat kuasa pada Mac tahun lalu.
Ahli perniagaan Paulus Tannos disyaki terbabit dalam satu kes skandal rasuah yang menyebabkan Indonesia kerugian lebih AS$140 juta (S$186.3 juta).
Syarikatnya terlibat dalam satu projek kad pengenalan elektronik di Indonesia yang dilaksanakan lebih sedekad lalu, namun dihambat oleh beberapa tuduhan rasuah.
Pada lewat tahun lalu, Singapura menerima permohonan dari Indonesia untuk memberkas Tannos.
Menerusi mahkamah, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) mendapatkan waran untuk menangkapnya.
Dia berada dalam tahanan polis sejak 17 Januari lalu selepas direman tanpa ikat jamin.
Dua minggu lalu, Indonesia membuat permohonan rasmi untuk mengekstradisikan lelaki itu yang telah membuat beberapa percubaan untuk membatalkan kerakyatannnya di Indonesia.
Encik Tannos kini di Singapura dengan pasport yang sah dan akan mencabar permohonan ekstradisi itu.
Melalui perjanjian itu, beberapa siri prosiding mahkamah perlu dijalankan.
"Ia semuanya bergantung kepada dokumen yang kita perolehi, sejauh mana ia jelas dari Indonesia, apakah jenis hujah yang dikemukakan oleh Tannos dan bagaimana pihak mahkamah menanganinya.
"Dari perspektif pemerintah Singapura, kita akan lakukan sedaya upaya untuk mempercepatkannya namun ia terserah kepada mahkamah.
"Dan ia bukan seperti, anda tahu, kita boleh masukkannya ke dalam pesawat lalu hantarnya pulang. Ada proses rasmi yang perlu dilalui," kata Encik Shanmugam.
Menteri Shanmugam berkata Singapura memandang serius perjanjian itu dengan Indonesia dan penyelarasan dengan pihak berkuasa Indonesia sejauh ini berjalan lancar.
"Kami dapat bekerjasama dengan baik bersama rakan-rakan sejawatan kami di Indonesia, dan sudah beberapa tahun kami tidak lakukan sedemikian, bukan sekadar dalam konteks kes dan ekstradisi ini, tetapi juga dalam kes bantuan undang-undang bersama, di mana kami juga bekerja rapat bersama mereka," kata Timbalan Peguam Negara di Pejabat Pejuam Negara, Lionel Yee Woon Chin.
Pihak berkuasa Indonesia menegaskan Thanos adalah seorang rakyat Indonesia dan dia merupakan suspek kes bersama beberapa pegawai kanan yang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.