SG komited kerjasama dengan ASEAN, rakan dialog demi banteras penipuan
Singapura komited untuk bekerjasama dengan ASEAN dan rakan-rakan dialog lain termasuk China dalam usaha memerangi penipuan.

(Gambar: Kerajaan Diraja Thailand)
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo berkata kerjasama antarabangsa adalah penting demi menangani jenayah seumpamanya.
Ini selepas Menteri Luar China Wang Yi dilaporkan menggesa negara-negara Asia Tenggara supaya "memikul tanggungjawab sendiri" bagi mematahkan perbuatan penipuan.
"Hasrat untuk melindungi rakyat bermakna kami komited untuk bekerjasama lebih rapat untuk berkongsi maklumat mengenai apa yang kami perhatikan dalam bidang kuasa masing-masing, dan juga kaedah-kaedah yang digunakan untuk menangani penipuan," kata Cik Teo di Mesyuarat Menteri Digital ASEAN ke-5 di Bangkok.
Cik Teo berkata syarikat-syarikat seperti Grab telah meraih manfaat daripada usaha ASEAN dalam projek-projek lain seperti memastikan data dapat dihantar dengan lancar merentasi sempadan.
Dalam lawatannya ke Grab, syarikat itu menyeru agar ASEAN meneruskan dengan usaha sedemikian.
Grab menyatakan usahanya menebarkan sayap ke Thailand akan lebih sukar jika tiada keterhubungan sedemikian.
"Disebabkan kita mempunyai mekanisme baik untuk menggalakkan aliran data rentas sempadan antara negara-negara ASEAN dan juga bersama rantau lain, mereka juga dapat memperkenalkan inovasi ke dalam pasaran Thailand.
"Dan pekerja mereka juga bermanfaat kerana mereka kini juga sebahagian daripada ekosistem inovasi global Grab sendiri," kata Cik Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.