Skip to main content

Singapura

SG kirimkan bekalan bantuan ke-4 ke Gaza; teliti nasihat ICJ berkenaan penempatan Israel

Anggaran Waktu Membaca:
SG kirimkan bekalan bantuan ke-4 ke Gaza; teliti nasihat ICJ berkenaan penempatan Israel

(Gambar: MFA)

Diterbitkan : 22 Jul 2024 05:18PM Dikemas Kini : 22 Jul 2024 05:36PM
SINGAPURA: Dengan bekalan bantuan kemanusiaan keempat yang bakal dikirimkan ke Gaza, sumbangan Singapura ke wilayah Palestin kini melebihi S$17 juta.

Bekalan terbaru itu, yang mengandungi lebih 300 tan tin sardin yang halal dan 1000 tan beras putih, akan dihantarkan daripada Singapura ke Larnaca, Cyprus dan kemudian ke Gaza, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (22 Jul).

Penghantaran bekalan yang diperlukan ini dijalankan dengan kerjasama Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus.

Awal bulan ini, sebuah kumpulan pakar hak asasi manusia yang bebas yang diamanatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kebuluran kini merebak ke seluruh Carikan Gaza sedang peperangan antara Israel dengan Hamas berterusan.

"Kami menyedari bahawa ketidakpastian terhadap makanan kekal sebagai satu keprihatinan di Gaza," kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di acara penyerahan bantuan pada Isnin.

"Bekalan bantuan yang terbaru ini menunjukkan komitmen kami yang teguh dan berterusan untuk meringankan penderitaan di Gaza."

Singapura menghantarkan bekalan bantuan yang ketiga ke Gaza pada Mac lalu. Ia merupakan penghantaran bantuan pertama Singapura yang dijalankan menerusi udara ke Gaza, yang diselaraskan bersama dengan Tentera Udara Jordan.

Pakej kemanusiaan yang dihantarkan termasuk pek makanan, bekalan dan peralatan perubatan.
NASIHAT ICJ KE ATAS PENEMPATAN ISRAEL

Singapura juga akan memantau nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas penempatan Israel di wilayah Palestin "dengan teliti", kata Dr Balakrishnan.

Keputusan itu, yang diterbitkan pada Jumaat (19 Jul), memutuskan bahawa penempatan Israel di wilayah Palestin adalah haram dan semua negeri harus bekerjasama untuk menghentikan konflik antara Israel dengan Palestin.

Ini termasuk penempatannya di Tebing Barat dan Timur Baitulmakdis, serta rejim yang berkaitan dengan mereka, menurut Presiden ICJ Nawaf Salam.

Walaupun dapatan oleh para hakim ICJ tidak terikat, ia tetap dipertimbangkan di bawah undang-undang antarabangsa dan boleh mengurangkan sokongan terhadap Israel.

Dr Balakrishnan berkata pendirian sekian lama Singapura berkenaan penempatan Israel adalah "jelas dan konsisten".

"Kami memandang penempatan di Tebing Barat sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa," katanya.

"Penempatan ini, ternyata, membuatnya lebih sukar untuk mencapai perjanjian penyelesaian dua negara."

Dr Balakrishnan menekankan bahawa konflik Israel-Palestin' adalah sesuatu yang "lama dan rumit".

“Pendirian prinsip Singapura ialah kedua-dua pihak perlu mencari penyelesaian politik untuk meneruskan semula rundingan dengan sokongan masyarakat antarabangsa untuk mencapai kemajuan ke arah penyelesaian dua negara yang konsisten dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB,” katanya.

Dalam pada itu, Singapura tetap komited untuk menyokong Pihak Berkuasa Palestin melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat yang bernilai S$10 juta (AS$7.4 juta) dan akan terus mencari cara praktikal untuk membantu rakyat Palestin dalam masa sukar ini, tambahnya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita