Skip to main content

Singapura

SG ketatkan penguatkuasaan terhadap vape di Changi, pusat pemeriksaan lain

Anggaran Waktu Membaca:
SG ketatkan penguatkuasaan terhadap vape di Changi, pusat pemeriksaan lain

Gambar: AP/Rebecca Blackwell

Diterbitkan : 19 Dec 2023 07:48PM Dikemas Kini : 19 Dec 2023 08:19PM

SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada usaha berbilang agensi untuk membendung vape, pihak berkuasa Singapura akan mempertingkatkan dan mengetatkan lagi pemeriksaan di pusat-pusat pemeriksaan udara, darat dan laut dalam masa beberapa bulan akan datang, bermula dengan Lapangan Terbang Changi.

"Penumpang yang masuk mungkin akan disaring untuk vape dan komponennya di dewan ketibaan, dan mereka yang didapati dengan vape atau komponennya akan didenda," umum Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataan media pada Selasa (19 Dis).

Penumpang yang membawa vape mesti melalui Lorong Merah, iaitu untuk para individu yang mempunyai barang untuk diisytiharkan supaya mereka boleh membuang barang terlarang itu.

"Pelawat yang mengisytiharkan dan menyerahkan barang-barang ini di Lorong Merah tidak akan dikenakan denda," menurut MOH dan HSA.

MOH dan HSA menambah bahawa Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan untuk mengesan dan mencegah percubaan penyeludupan.

Vape diharamkan di Singapura dan pesalah boleh didenda sehingga S$2,000. Sesiapa yang mengimport, mengedar atau menjual produk sedemikian menghadapi hukuman yang lebih berat, termasuk boleh dihukum penjara.

Bilangan individu yang ditangkap menggunakan dan memiliki vape bagaimanapun telah meningkat, dengan sesetengah kanak-kanak sekolah turut terjerat dengan tabiat itu.

Sesetengah pengguna mendapatkan bekalan mereka secara online daripada aplikasi seperti Telegram, atau apabila mereka ke luar negara.

"Oleh itu kami mengambil langkah-langkah untuk melindungi penduduk kita dan mencegah vape daripada menjejas masyarakat kita," tegas MOH dan HSA.

PENGUATKUASAAN DAN PENDIDIKAN

Selain daripada pusat-pusat pemeriksaan sempadan, pemeriksaan juga akan dipertingkatkan di tempat-tempat seperti daerah pusat perniagaan, pusat beli-belah, taman, kawasan merokok, serta pusat hiburan awam seperti bar dan kelab-kelab.

Pihak berkuasa menyifatkan tempat-tempat tersebut sebagai "titik panas awam", sambil menambah bahawa pesalah akan dikenakan denda serta-merta.

MOH dan HSA menyatakan bahawa sejak 1 Dis, para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah diberikan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap para individu yang menggunakan atau memiliki vape.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita