SG kesan 12 kes baharu sakit campak
Sebanyak 12 kes baharu sakit campak dikesan di Singapura.
Jumlah kes sakit campak di Singapura setakat tahun ini adalah 23. (Foto fail: iStock/Natalya Maisheva)
Ini termasuk empat kes yang merupakan sebahagian daripada kelompok yang diketahui.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sakit campak di Singapura sebanyak 23 kes setakat ini.
Sebanyak 27 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) menyatakan 12 kes baharu sakit campak dilaporkan antara 1 Februari hingga 24 Mac.
Kesemua kes menetap di Singapura, dengan enam daripadanya melakukan perjalanan ke luar negara baru-baru ini.
Dalam kalangan 12 kes itu, 11 kes belum menerima suntikan vaksin lengkap.
Ini termasuk dua bayi bawah 12 bulan yang belum lagi layak mendapatkan vaksin sakit campak, beguk dan rubela (MMR).
"Dalam kalangan 12 kes tersebut, lapan kes tidak mempunyai persamaan genetik antara satu sama lain, manakala lagi empat kes adalah sebahagian daripada kelompok yang diketahui," menurut CDA.
"Tiada bukti berlaku penularan lebih luas dalam masyarakat. Siasatan epidemiologi sedang dijalankan."
Pada Februari lalu, Singapura memperkenalkan langkah-langkah lebih ketat seperti pengasingan wajib bagi kes-kes sakit campak, pengesanan kontak (contact tracing) dan kuarantin bagi kontak-kontak rapat, selepas mengesan kenaikan dalam jangkitan.
"Singapura kekal berisiko mendapat jangkitan import dengan kadar sakit campak yang tinggi di luar negara.
"Justeru, CDA akan melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam yang dipertingkat bagi sakit campak sebagai garis dasar baharu mulai 1 April 2026," menurut agensi tersebut.
Ujian wajib terhadap kes-kes disyaki sakit campak akan diteruskan.
Mereka yang berada dalam sekitaran berisiko tinggi akan diberi peruntukan tambahan, yang menghalang mereka daripada kembali ke sekolah atau ke tempat kerja sehingga mereka diuji negatif bagi sakit campak.
Pengasingan wajib bagi kes-kes disahkan makmal dan penjejakan kontak akan diteruskan, menurut CDA.
Kontak rapat bagi mereka yang mudah terdedah kepada jangkitan, khususnya mereka yang belum menerima suntikan vaksin atau tiada bukti mempunyai daya ketahanan imun, tidak lagi perlu menjalani kuarantin mulai 1 April.
Mereka akan ditawarkan penjagaan kesihatan pencegahan (profilaksis) selepas pendedahan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan mengelakkan penularan lanjut.
Mereka yang bekerja atau mengambil pengajian di sekitaran berisiko tinggi tertakluk kepada langkah-langkah tambahan, termasuk cuti rehat dari pusat jagaan kanak-kanak dan penempatan semula kepada peranan yang tidak berurusan secara langsung dengan pesakit di kemudahan jagaan kesihatan, sehingga tempoh 21 hari sejak kali terakhir mereka mendapat pendedahan.
"Walaupun kadangkala kita mungkin mengesan kelompok kecil dengan penularan terhad disebabkan oleh peningkatan global kes sakit campak, risiko berlaku wabak besar dalam masyarakat kekal rendah disebabkan liputan vaksin yang tinggi dan imuniti kelompok dalam kalangan penduduk Singapura," menurut agensi tersebut.
"CDA akan memantau dengan teliti situasi sakit campak di Singapura dan menyesuaikan langkah-langkah kesihatan awam mengikut perkembangannya, bagi mencegah penularan dalam masyarakat dan mengekalkan imuniti kelompok."
Pada Januari lalu, tiga kes sakit campak yang terkait secara genetik, tanpa kontak diketahui antara satu sama lain, dikesan.
"Berikutan siasatan, CDA tidak menemui sebarang bukti kes yang berkaitan, atau penularan kepada masyarakat.
"Sungguhpun begitu, kita harus terus berwaspada kerana Singapura tetap berisiko mendapat jangkitan import dengan kadar tinggi kes sakit campak di luar negara," tambahnya.
VAKSINASI
Sakit campak sangat mudah berjangkit dalam kalangan individu yang tidak menerima suntikan vaksin, dengan tempoh berjangkit lazimnya bermula sehingga empat hari sebelum dan selepas ruam muncul.
Vaksinasi adalah cara terbaik untuk mencegah jangkitan sakit campak, menurut CDA.
"Vaksin MMR sangat berkesan dan selamat, dan menawarkan imuniti jangka panjang selepas dos disarankan selesai diambil," menurut CDA.
"Perlindungan vaksinasi yang tinggi bukan sahaja melindungi individu tetapi mewujudkan imuniti kelompok dalam penduduk Singapura yang melindungi mereka yang tidak boleh mendapatkan vaksinasi, seperti bayi bawah usia 12 bulan dan individu dengan daya imun lemah."
Di bawah Akta Penyakit Berjangkit, vaksin sakit campak diwajibkan terhadap kanak-kanak bawah usia 12 tahun yang menetap di Singapura.
Dua dos pertama vaksinasi MMR disarankan pada usia 12 bulan dan 15 bulan.
Ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan anak-anak mereka mendapatkan dua dos pertama vaksin MMR tepat pada masanya.
Vaksin MMR disediakan di poliklinik, klinik GP dan klinik paediatrik swasta.
Rakyat Singapura yang memenuhi kriteria bagi vaksinasi akan menerima subsidi di klinik GP CHAS dan poliklinik.
Penduduk Tetap Singapura (PR) yang memenuhi kriteria bagi vaksinasi juga boleh mendapatkan subsidi di poliklinik.
Para pelawat perlu memastikan mereka sudah mendapatkan vaksin lengkap sakit campak sebelum melakukan perjalanan, menurut CDA.
"Mereka yang kurang pasti mengenai status imuniti mereka disarankan untuk mendapatkan penilaian perubatan sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu sebelum melakukan perjalanan bagi mengesahkan status imun terhadap sakit campak atau mendapatkan vaksin MMR."
Disebabkan kenaikan dalam kes jangkitan di seluruh dunia, ibu bapa yang membawa bayi berusia antara enam hingga 11 bulan ke luar negara dinasihatkan supaya mendapatkan penilaian perubatan.
Mereka disarankan memastikan bayi mereka mendapatkan vaksin MMR sekurang-kurangnya dua bulan sebelum melakukan perjalanan, bagi mengurangkan risiko jangkitan semasa perjalanan.
Walaupun seorang bayi sudah pun menerima satu dos vaksin MMR sebelum usia 12 bulan, mereka tetap perlu mendapatkan dua dos tambahan demi perlindungan jangka panjang, menurut CDA.
Penjagaan kebersihan peribadi perlu diteruskan, termasuk membasuh tangan secara kerap dan menggunakan pembasmi kuman berasaskan alkohol pada tangan jika tiada sabun dan air.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.