SG kerjasama dengan Indonesia bantu warga terjejas akibat letusan Gunung Dukono
Singapura sedang bekerjasama dengan Indonesia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada warga Singapura yang terjejas akibat letusan Gunung Dukono di Indonesia, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Jumaat (8 Mei).
Asap menjulang akibat letusan Gunung Dukono seperti yang dilihat dari Tobelo, Maluku Utara, pada 8 Mei 2026. (Gambar: AFP/Agensi Geologi Indonesia)
“Kementerian Ehwal Luar dan Kedutaan Singapura di Jakarta sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan maklumat berkaitan serta memberikan bantuan dan sokongan konsular kepada warga Singapura yang terjejas dan keluarga mereka,” menurut MFA.
Tiga pendaki, termasuk dua warga Singapura, dilaporkan maut selepas Gunung Dukono di pulau Halmahera timur, Indonesia, meletus.
Gunung berapi yang terletak di wilayah Maluku Utara itu meletus pada 7.41 pagi waktu tempatan (6.41 pagi waktu Singapura) pada Jumaat, dengan kepulan asap menjulang 10 kilometer ke udara.
“Terdapat tiga mangsa yang maut, dua warga asing dan seorang penduduk pulau Ternate” di timur Indonesia, kata Ketua Polis Halmahera Utara Erlichson Pasaribu kepada Kompas TV.
Jumlah warga Singapura yang terjejas tidak didedahkan MFA, namun pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa 20 individu terperangkap dalam letusan tersebut, dengan tiga orang masih lagi hilang.
Gunung Dukono kini berada pada tahap kedua dalam sistem amaran empat peringkat Indonesia.
Kawasan itu ditutup kepada para pengunjung sejak 17 April selepas saintis mengesan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Sejak Disember, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) mengesyorkan supaya para pelancong dan pendaki tidak menghampiri jarak empat kilometer dari Kawah Malupang Warirang gunung berapi tersebut.
Bukan seperti gunung berapi Indonesia lain yang lebih mesra pelancong, Gunung Dukono terletak jauh dari laluan utama perjalanan negara itu. Untuk sampai ke sana dari Jakarta biasanya memerlukan penerbangan ke Ternate, diikuti dengan perjalanan bot ke Halmahera dan perjalanan darat yang lama ke Tobelo di Halmahera Utara sebelum memulakan pendakian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.