SG-Kemboja meterai perjanjian perkukuh keterjaminan makanan
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu (kanan), dan Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Nimul, bergambar selepas memeterai memorandum kerjasama mengenai keterjaminan makanan pada 10 April 2026. (Gambar: MSE)
Memorandum kerjasama yang ditandatangani oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu dan Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh keterjaminan bekalan makanan serta perdagangan beras dengan memastikan perdagangan kekal terbuka dan mengelakkan sekatan yang tidak perlu.
Di bawah perjanjian tersebut, pemerintah Kemboja akan menyokong penjualan beras berdasarkan “terma-terma yang dipersetujui bersama” sekiranya pemerintah Singapura memerlukannya.
Ini merupakan perjanjian ketiga seumpamanya bagi Singapura, selepas perjanjian perdagangan beras yang serupa dimeterai tahun lalu dengan Vietnam dan Thailand.
Perjanjian ini juga dimeterai di tengah-tengah gangguan bekalan dan ketegangan geopolitik yang berkaitan dengan perang di Timur Tengah, yang menimbulkan kebimbangan mengenai harga bahan api dan bekalan makanan.
Dalam ucapannya di parlimen pada Selasa (7 Apr), Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam berkata gangguan bekalan gas akibat perang di Teluk akan meningkatkan kos baja, sekali gus menaikkan harga produk makanan import Singapura.
Beliau menambah bahawa rakyat Singapura harus bersiap sedia menghadapi kemungkinan beberapa barangan makanan dari negara tertentu tidak tersedia.
“Ketegangan geopolitik yang berterusan meningkatkan risiko berlaku gangguan terhadap bekalan makanan global,” kata Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.
Pemeteraian perjanjian itu “memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan mengesahkan kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam memperkukuh perdagangan dan keterjaminan bekalan makanan dua hala”, tambahnya.
“Perjanjian seperti ini merupakan inisiatif utama di bawah teras perkongsian global dalam 'Singapore Food Story 2' bagi memastikan bekalan makanan terus mengalir apabila berlaku gangguan,” menurut MSE.
“Singapura akan terus meneroka perjanjian yang saling menguntungkan dengan ekonomi yang sehaluan untuk mengukuhkan daya tahan bekalan makanan kita.”
Pendekatan terkini 'Food Story 2' Singapura dibina atas empat teras: meningkatkan pengeluaran tempatan, mempelbagaikan import, menyimpan stok, dan membina perkongsian global. Perjanjian dengan Thailand, Vietnam dan kini Kemboja termasuk dalam teras perkongsian global, yang membantu Singapura memberi respons dengan lebih berkesan terhadap landskap perdagangan agromakanan yang semakin saling berkait.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.