SG-Kemboja akan perkukuh kerjasama dalam bidang seperti dagangan, tenaga bersih
SINGAPURA: Singapura dan Kemboja akan memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang seperti perdagangan pertanian dan tenaga bersih.
Kedua-dua negara juga kekal komited untuk menjunjung perpaduan dan pemusatan ASEAN.
Di samping itu, Singapura akan terus menyokong matlamat Kemboja untuk mencapai status pendapatan tinggi menjelang 2050.
Kesemua jaminan itu dibuat semasa lawatan negara Perdana Menteri Lawrence Wong ke Kemboja pada Rabu (2 Jul).
Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, tahun ini.
PM Wong melakukan lawatan negara ke Kemboja atas undangan Perdana Menteri Hun Manet, di mana beliau disambut dalam satu majlis di Istana Keamanan di Phnom Penh.
Beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan PM Hun Manet dan Presiden Senat Hun Sen.
Singapura adalah salah satu pelabur dan rakan dagang terbesar Kemboja.
PM Wong menarik perhatian bahawa hubungan dua hala bertambah kukuh sepanjang enam dekad lalu.
Semasa lawatannya itu, beliau menekankan betapa pentingnya perpaduan ASEAN di tengah-tengah sekitaran global yang tidak menentu.
PM Wong berkata: "Kini menjadi sangat penting lagi bagi ASEAN kekal bersatu padu, mendukung saluran terbuka untuk berdialog, dan bekerjasama bagi menghuraikan perbezaan kami secara aman.
"Hanya dengan itu, kami boleh memelihara kerelevanan kami dan meneruskan usaha memajukan kepentingan kolektif rantau ini.
"Saya yakin, dengan sokongan dan kepimpinan Perdana Menteri Manet, kami akan terus memperkukuh hubungan dua hala kami - memperluas kerjasama kami bagi hasil saling menguntungkan, dan mendatangkan manfaat bermakna kepada kedua-dua rakyat kami."
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam mesyuarat PM Wong dengan para pemimpin Kemboja, beliau menyuarakan rasa prihatin berhubung perkembangan di sempadan Kemboja-Thailand baru-baru ini.
Beliau menggalak kedua-dua pihak supaya menghuraikan perkara itu secara aman dan baik, sejajar dengan semangat perpaduan ASEAN.
PM Wong melahirkan harapan agar kedua-dua pihak meredakan ketegangan serta saling berhubungan secara membina, serta mencapai huraian secara persahabatan yang menegakkan undang-undang antarabangsa dan kestabilan lebih luas rantau ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.