SG kembali ke Dorscon hijau, tarik balik peraturan COVID-19: Apa yang perlu anda tahu
SINGAPURA: Pemerintah mengumumkan pada Khamis (9 Feb) bahawa ia akan menarik balik langkah COVID-19 dan juga amaran Dorscon ke tahap paling rendah, sedang Singapura menetapkan norma endemik baru.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata keadaan di Singapura kekal "stabil" sejak beberapa bulan kebelakangan ini, walaupun perjalanan ke luar negara meningkat sepanjang tempoh akhir tahun, musim sejuk di Hemisfera Utara dan peralihan China daripada dasar sifar COVID.
Berikut ialah perubahan yang diumumkan pada Khamis:
KEMBALI KE DORSCON HIJAU, MTF DIBUBARKAN
Singapura menurunkan Keadaan Sistem Tindak Balas Wabak Penyakit (DORSCON) kepada Hijau mulai Isnin, meletakkan COVID-19 dalam kategori yang sama dengan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dan selesema burung H7N9.
Menurut MOH, ini disebabkan penyakit yang ringan, terutamanya dalam kalangan mereka yang telah diberi vaksin, manakala gangguan kepada kapasiti penjagaan kesihatan dan kehidupan seharian adalah minimum.
Selain itu, MOH juga mengumumkan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) COVID-19 yang ditubuhkan pada Januari 2020 akan dibubarkan.
MOH akan mengambil alih pengurusan COVID-19, tetapi jika keadaan bertukar menjadi lebih teruk, maka Pemerintah akan mengaktifkan semula struktur pengurusan krisis berbilang agensi.
TIDAK PERLU PAKAI PELITUP
Mulai Isnin (13 Feb), penumpang tidak perlu memakai pelitup apabila menaiki pengangkutan awam, begitu juga bagi beberapa keadaan tertentu di khidmat jagaan kesihatan dan pusat jagaan.
Bagaimanapun, pelawat, kakitangan dan pesakit masih perlu memakai pelitup apabila berinteraksi dengan pesakit termasuk di wad hospital, jabatan kecemasan, klinik, farmasi dan rumah jagaan.
LANGKAH SEMPADAN DIMANSUHKAN
Semua pelawat termasuk yang tidak divaksin tidak lagi perlu mengambil ujian sebelum berangkat untuk memasuki Singapura
Insurans perjalanan COVID-19 juga tidak lagi diperlukan untuk pelawat jangka pendek yang tidak diberi vaksin.
Semua pelawat, termasuk penduduk Singapura, masih perlu mengemukakan pengisytiharan kesihatan melalui e-perkhidmatan SG Arrival Card apabila memasuki negara ini.
TIDAK LAGI PERLU TRACETOGETHER, SAFEENTRY
Orang ramai boleh memadamkan aplikasi TraceTogether mereka mulai Isnin. Perusahaan juga boleh melakukan perkara sama untuk Aplikasi SafeEntry (Perniagaan).
Orang ramai juga boleh memulangkan token mereka ke kelab dan pusat masyarakat dari Isnin hingga 12 Mac.
Mereka juga boleh berbuat demikian bagi pihak ahli keluarga dan rakan.
PROTOKOL COVID-19 DIHENTIKAN
Protokol 1-2-3, yang menentukan apa yang perlu anda dilakukan jika tidak sihat atau disahkan positif COVID-19, akan dihentikan mulai Isnin, kata MOH.
Satu nasihat am baru akan dilaksanakan di mana mereka yang mempunyai simptom Jangkitan Pernafasan Akut (ARI), serta mereka yang mempunyai simptom ARI yang teruk, berpanjangan atau semakin teruk harus berjumpa doktor.
Mereka yang mempunyai simptom ARI ringan harus tinggal di rumah sehingga tidak lagi mengalami gejala.
RAWATAN, UJIAN COVID-19 TIDAK DIBERI SUBSIDI PENUH MULAI 1 APR
Semua pesakit COVID-19 yang mendapatkan rawatan di hospital atau kemudahan rawatan COVID-19 tidak lagi diberi subsidi penuh, tanpa mengira status vaksinasi pesakit.
Pesakit juga akan dikehendaki membayar ujian COVID-19 di klinik dan poliklinik.
Namun, suntikan COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan akan terus ditawarkan secara percuma kepada semua warga Singapura, penduduk tetap, pemegang pas jangka panjang dan pemegang pas jangka pendek tertentu.
PEKERJA MIGRAN TIDAK PERLU MOHON PAS UNTUK MASUK TEMPAT POPULAR
Mulai 13 Februari, pekerja migran akan dibenarkan melawat tempat awam tanpa perlu memohon Pas Tempat Popular.
Pas itu diperkenalkan pada Jun 2022 untuk menguruskan kesesakan di Chinatown, Geylang Serai, Jurong East dan Little India pada Ahad dan cuti umum.
Juga mulai 1 Mac, mereka yang mengalami simptom jangkitan pernafasan ringan boleh pulih di dormitori mereka atau berjumpa doktor di mana-mana pusat perubatan untuk pekerja migran di bawah Pelan Penjagaan Utama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.