SG kemas kini makluman vaksin COVID-19; galak ambil suntikan baharu sekitar setahun selepas dos terakhir
Gambar: REUTERS/Eric Gaillard
SINGAPURA: Singapura telah mengemas kini saranan vaksin COVID-19 di negara ini, yang menggalak mereka berusia enam bulan ke atas untuk mendapatkan suntikan tambahan pada 2023 atau 2024.
Sebelum ini, saranan tersebut adalah bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas, penghuni kemudahan jagaan warga emas serta mereka yang mudah dijangkiti. Mereka disarankan supaya mendapatkan suntikan dos penggalak selama setahun.
"Menjangkaui kumpulan ini, EC19V (Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19) menggalak semua individu berusia enam bulan ke atas untuk turut mendapatkan suntikan tambahan bagi 2023/2024, terutama sekali pekerja jagaan kesihatan dan anggota isi rumah/penjaga individu yang mudah jatuh sakit," jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu (28 Okt).
Individu yang layak boleh mendapatkan suntikan tambahan kira-kira setahun - dan bukan lebih awal daripada lima bulan - selepas suntikan terakhir mereka.
"EC19V menggalak semua orang supaya memastikan status vaksinasi COVID-19 mereka dikemas kini dan berdasarkan saranan terkini bagi mereka," jelas jawatankuasa itu.
VAKSIN DIKEMAS KINI
Menyusuli kelulusan bagi vaksin COVID-19 yang dikemas kini baru-baru ini oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa ia akan melancarkan dos baharu secara bertahap-tahap mulai 30 Okt.
Formulasi yang dikemas kini itu, yang dibangunkan bagi menyasarkan varian COVID-19 terkini yang kian muncul, akan akhirnya menggantikan semua dos sedia ada menjelang 20 Nov.
Mereka yang berusia lima tahun ke atas, yang ingin mendapatkan vaksin monovalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty boleh melakukan demikian mulai 30 Okt. Vaksin yang sama juga akan disediakan bagi kanak-kanak, berusia enam bulan hingga empat tahun, dari 30 Nov.
Bagi vaksin monovalen Moderna/Spikevax yang dikemas kini, mereka yang berusia enam bulan dan ke atas boleh mendapatkan suntikan itu mulai 14 Nov.
WAKTU OPERASI PUSAT VAKSINASI DILANJUTKAN
Dengan permintaan bagi vaksin yang dikemas kini itu dijangka meningkat, waktu operasi bagi semua Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) akan dilanjutkan pada setiap Sabtu dari 4 Nov hingga 2 Dis.
Ia akan dibuka pada setiap Sabtu, dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam, di mana ia akan dilanjutkan berbanding pukul 1.00 tengah hari seperti biasanya.
MOH menambah bahawa masa menunggu yang lebih lama boleh dijangkakan pada setiap Jumaat dan Sabtu.
Maklumat lanjut berhubung waktu operasi bagi JTVC boleh didapatkan di sini.
Orang ramai juga boleh mendapatkan vaksin COVID-19 di klinik-klinik ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.