Skip to main content

Singapura

SG kekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 pada 2-4%

Meskipun prospek ekonomi bagi bulan-bulan mendatang semakin lemah dan risiko kemerosotan "ketara" timbul daripada konflik di Timur Tengah, Singapura akan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 pada dua hingga empat peratus menyusuli prestasi suku pertama yang lebih baik daripada jangkaan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 May 2026 08:43AM Dikemas Kini : 19 Jun 2026 01:10PM
SINGAPURA: Meskipun prospek ekonomi bagi bulan-bulan mendatang semakin lemah dan risiko kemerosotan "ketara" timbul daripada konflik di Timur Tengah, Singapura akan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 pada dua hingga empat peratus menyusuli prestasi suku pertama yang lebih baik daripada jangkaan.

Ekonomi berkembang sebanyak enam peratus dari tahun ke tahun antara Januari hingga Mac, sekali gus melanjutkan pertumbuhan 5.7 peratus pada suku sebelumnya, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (25 Mei).

“Namun begitu, risiko kemerosotan terhadap prospek ekonomi Singapura telah meningkat dengan ketara dan MTI akan terus memantau perkembangan dengan rapat dan menyesuaikan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (GDP) sepanjang tahun ini jika perlu,” menurut kementerian itu.

Ini mewakili pertumbuhan satu peratus dari suku ke suku, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 1.3 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut didorong prestasi kukuh sektor perdagangan borong, pengilangan serta kewangan dan insurans.

“Khususnya, permintaan kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI) mendorong pertumbuhan dalam segmen jentera, peralatan dan bekalan dalam sektor perdagangan borong, selain kelompok elektronik dan kejuruteraan ketepatan dalam sektor pengilangan,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, pertumbuhan dalam sektor kewangan dan insurans bersifat meluas, dengan prestasi stabil dalam segmen perbankan, pengurusan dana dan urus niaga sekuriti.

Sebaliknya, harga minyak mentah dan derivatifnya yang lebih tinggi serta kekurangan bekalan akibat perang Iran menyumbang kepada penguncupan dalam segmen bahan api dan kimia sektor perdagangan borong serta kelompok kimia sektor pengilangan, menurut kementerian itu dalam tinjauan ekonomi terbarunya.

Pada Februari, MTI menaik taraf unjuran pertumbuhan Singapura bagi 2026 kepada dua hingga empat peratus daripada satu hingga tiga peratus, selepas menjangkakan momentum pertumbuhan yang kukuh pada suku keempat 2025 “sebahagian besarnya disebabkan oleh ledakan pelaburan AI yang akan berterusan hingga 2026”.

Pada ketika itu, keadaan kewangan global dijangka menyokong pertumbuhan global, namun sejak itu prospek ekonomi dunia semakin merosot selepas tercetusnya konflik tersebut.

Gangguan terhadap bekalan tenaga dan input utama lain seperti baja serta aluminium akibat sekatan di Selat Hormuz menyebabkan lonjakan kos tenaga global dan input lain. Ini sekali gus meningkatkan tekanan inflasi, menurut MTI.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita