Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG kekalkan ramalan GDP 2023 antara 0.5 hingga 2.5% setelah ekonomi berkembang 3.6% tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Feb 2023 10:01AM Dikemas Kini : 13 Feb 2023 08:54PM

SINGAPURA: Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi 2023 pada julat antara 0.5 hingga 2.5 peratus.

Ini sedang data yang dikeluarkan pada Isnin (13 Feb) menunjukkan ekonomi berkembang pada rentak lebih perlahan daripada yang dijangkakan pada tahun lalu. 

Ekonomi berkembang 3.6 peratus pada 2022, rendah sedikit berbanding unjuran pemerintah sebanyak 3.8 peratus. Sebahagian besar pertumbuhan itu dipacu oleh perdagangan borong, pengilangan dan sektor-sektor perkhidmatan lain, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). 

Pada suku terakhir tahun lalu, ekonomi tumbuh 2.1 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu, rendah sedikit berbanding unjuran 2.2 peratus dan lebih sederhana daripada peningkatan sebanyak 4 peratus yang dicatatkan pada suku ketiga. 

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, ekonomi tumbuh sedikit sebanyak 0.1 peratus, dengan perangkaan itu rendah sedikit berbanding unjuran awal 0.2 peratus dan pertumbuhan 0.8 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya. 

Sekalipun unjuran awal dikekalkan, MTI menyatakan, ramalan permintaan luar Singapura bagi 2023 "pulih sedikit" sejak laporan suku tahunan terakhirnya pada November. 

Pertumbuhan China, khususnya, dijangka akan meningkat dengan lebih ketara setelah negara itu melonggarkan peraturan-peraturan COVID-19 yang ketat lebih awal daripada yang dijangkakan, sekali gus mendorong kepada ramalan  ekonomi yang positif di rantau ini. 

Pada masa yang sama, ramalan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) kekal lemah disebabkan oleh keadaan kewangan yang ketat, yang menjejas perbelanjaan pengguna dan pelaburan. 

Kementerian itu turut memberi amaran terhadap ketidakpastian yang masih membelenggu ekonomi global.

Ini termasuk kesan keadaan kewangan yang ketat terhadap pertumbuhan ekonomi global serta risiko berlaku ketegangan yang memuncak dalam peperangan di Ukraine dan ketegangan geopolitik antara kuasa-kuasa besar dunia. 

Dalam persekitaran tersebut, ekonomi Singapura dijangka akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang dan sama rata. 

Pemulihan sektor perjalanan udara antarabangsa dan pelancongan, dirangsang oleh pelonggaran sekatan sempadan China, dijangka akan merangsang pertumbuhan dalam sektor-sektor seperti pengangkutan udara, penginapan dan seni, serta hiburan dan riadah. 

Sektor aeroangkasa juga dijangka akan dirangsang oleh perjalanan udara yang semakin bertambah baik. 

Pada masa yang sama, pertumbuhan bagi sektor-sektor yang bergantung kepada persekitaran luaran kekal lemah di tengah-tengah kelembapan ekonomi global. 

Kelembapan ekonomi-ekonomi utama di luar Singapura juga akan menjejas pertumbuhan sektor perdagangan borong, pengangkutan air dan kewangan serta insurans. 

"Setelah mengambil kira persekitaran ekonomi sejagat dan tempatan, ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi 2023 dikekalkan antara 0.5 hingga 2.5 peratus," menurut MTI.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan