Skip to main content

Singapura

SG kekal tangga teratas Indeks Pemerintah Baik Chandler 4 tahun beruntun

Singapura berjaya mengekalkan kedudukan tertinggi dalam tinjauan Indeks Pemerintah Baik Chandler (CGGI), buat tahun keempat berturut-turut - sekali gus mendahului 132 negara lain.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 May 2026 07:51PM Dikemas Kini : 23 May 2026 11:11PM
SINGAPURA: Singapura berjaya mengekalkan kedudukan tertinggi dalam tinjauan Indeks Pemerintah Baik Chandler (CGGI), buat tahun keempat berturut-turut - sekali gus mendahului 132 negara lain.

Prestasi tersebut dipacu oleh hasil usaha sosial yang kukuh serta sekitaran perniagaan yang menarik.

Singapura adalah satu-satunya negara Asia dalam kalangan lapan negara teratas.

Tempat kedua hingga kelima diduduki Norway, Denmark, Finland dan Sweden.

Indeks tadbir urus global itu menilai negara-negara berdasarkan tujuh tunggak utama, menggunakan 35 penunjuk.

Singapura mendahului kedudukan dalam bidang kepimpinan dan wawasan, hasil keupayaan pemerintah yang kukuh serta kepercayaan yang teguh kepada institusi negara.

Menurut CGGI, perkara tersebut menunjukkan bahawa Singapura boleh menyesuaikan diri dan memastikan institusinya kukuh meskipun sekitaran global semakin rumit.

Singapura turut menduduki tempat pertama dalam bidang pengurusan kewangan serta institusi negara yang mantap.

Dalam bidang pengawasan kewangan, Singapura berjaya merampas semula tempat pertama dengan lebihan belanjawan yang lebih baik daripada jangkaan.

"Semasa pandemik COVID-19, banyak pemerintah perlu mengambil lebih banyak pinjaman, meningkatkan defisit negara, meningkatkan perbelanjaan, dan akibatnya kewangan negara-negara itu terjejas dan ia bergelut dengan kesukaran.

"Jadi pengawasan kewangan adalah satu bidang di mana banyak negara mengalami masalah, dan satu bidang di mana Singapura kembali tahun ini, ke tempat teratas, dan menunjukkan kepakaran dalam bidang tadbir urus khusus ini," kata Pengarah (Ilmu), Institut Tadbir Urus Chandler, Dinesh Naidu.

Sejak CGGI dimulakan lima tahun lalu, Singapura mencatatkan salah satu peningkatan terbesar dalam bidang kekuatan institusinya.

Singapura naik sembilan tangga sejak 2021, dan kini berada di tangga pertama di peringkat global.

Namun, Singapura masih ketinggalan dalam menggubal undang-undang serta dasar-dasar yang konsisten, berprinsip dan mudah diakses.

Lagi satu bidang kelemahannya adalah reputasi dan pengaruh global, yang menilai pertukaran antarabangsa, selain menjadi suara yang diyakini di peringkat global.

Dalam bidang taburan pendapatan pula, Singapura menduduki tempat ke-58, lantas mencerminkan jurang antara golongan berpendapatan tinggi dengan pekerja berpendapatan rendah.
Sumber : CNA/QA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita