SG kekal pusat maritim utama dunia untuk tahun ke 13 berturut-turut
Singapura terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab maritim utama dunia selepas mengekalkan tempat pertama dalam Indeks Pembangunan Pusat Perkapalan Antarabangsa Xinhua-Baltic (ISCD) 2026 buat tahun ke-13 berturut-turut.
Singapura mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Pembangunan Pusat Perkapalan Antarabangsa Xinhua-Baltic (ISCD) 2026 buat tahun ke-13 berturut-turut. (Gambar: MPA)
Menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), negara kota itu memperoleh 99.32 daripada 100 mata, mencerminkan kerjasama erat selama tiga dekad antara pihak berkuasa itu dengan masyarakat maritim dalam membangunkan ekosistem yang berdaya tahan dan berdaya saing.
Pengiktirafan itu disokong oleh keterhubungan global Singapura yang kukuh, perkhidmatan maritim yang komprehensif serta peranannya sebagai platform yang dipercayai bagi sektor perkapalan antarabangsa untuk berhubung dan bekerjasama.
Ketua Eksekutif MPA Ang Wee Keong berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen yang kukuh serta usaha kolektif rakan industri dan masyarakat maritim secara keseluruhan.
"Memandangkan industri ini terus berkembang, kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk memperkukuh daya saing 'Maritim Singapura' serta mencipta nilai kepada masyarakat maritim global," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat (10 Jul).
MPA memaklumkan, Pelabuhan Singapura mengendalikan rekod 44.66 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) bagi pengendalian kontena serta 3.22 bilion tanan kasar ketibaan kapal pada 2025.
Ia juga kekal sebagai pelabuhan pengisian bahan api kapal terbesar di dunia, membekalkan rekod 56.77 juta tan bahan api marin, termasuk peningkatan jumlah bekalan bahan api marin alternatif.
"Hari ini, Singapura dihubungkan dengan lebih 600 pelabuhan di seluruh dunia dan menempatkan lebih 200 kumpulan perkapalan antarabangsa," menurut MPA.
Menurut Indeks ISCD, Shanghai naik satu anak tangga ke kedudukan kedua, manakala London turun ke tempat ketiga.
Laporan Indeks ISCD menilai 43 pusat perkapalan antarabangsa berdasarkan rangka kerja komprehensif yang merangkumi prestasi pelabuhan, perkhidmatan maritim profesional serta persekitaran perniagaan secara keseluruhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.