Skip to main content

Singapura

SG kekal dengan pendirian, vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak, remaja meski WHO semak semula saranan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pendirian Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak dan remaja tidak berubah di tengah-tengah saranan yang disemak semula oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam kemas kini terbarunya, WHO menyenaraikan tiga kumpulan yang diutamakan bagi vaksinasi COVID-19, dan menganggap kanak-kanak serta remaja sihat yang berusia 6 bulan hingga 17 tahun sebagai tidak diberi keutamaan. Ia juga menyarankan agar golongan itu tidak perlu mendapatkan suntikan COVID-19.

Namun demikian, WHO juga menggesa negara-negara agar mempertimbangkan vaksinasi bagi kumpulan usia tersebut apabila membuat keputusan berdasarkan "faktor-faktor mengikut keadaan".

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, MOH pada Khamis (30 Mac) menyatakan: "Dengan menyenaraikan kanak-kanak dan golongan remaja berusia 6 bulan hingga 17 tahun sebagai kumpulan keutamaan rendah bagi vaksinasi COVID-19, WHO menasihatkan negara-negara supaya membuat keputusan mengikut keadaan masing-masing, termasuk faktor seperti keutamaan serta kos kesihatan."

MOH menambah meskipun data tempatan menunjukkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk dalam kalangan kanak-kanak lebih kecil adalah rendah secara amnya, kanak-kanak yang tidak divaksin dan dijangkiti COVID-19 mempunyai risiko lebih tinggi dimasukkan ke hospital berbanding mereka yang sudah divaksin.

"Penyakit teruk masih boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak, termasuk radang paru-paru, MIS-C (sindrom radang berbilang sistem pada kanak-kanak), dan juga kematian," nyata MOH.

MOH menambah bahawa saranan WHO dalam menyenaraikan kumpulan-kumpulan keutamaan bagi suntikan penggalak adalah selaras dengan pendekatan Singapura.

"Kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 4 tahun disaran melengkapkan dua suntikan Moderna/SpikeVax atau tiga suntikan Pfizer-BioNTech/Comirnaty.

"WHO juga menekankan bahawa suntikan utama dan penggalak adalah selamat dan berkesan dalam kalangan kanak-kanak dan golongan remaja."

Dalam satu kenyataan media pada Selasa (28 Mac), WHO menyatakan ia telah menyemak semula peta hala tuju bagi mengutamakan vaksin COVID-19 untuk memberikan gambaran kesan Omicron dan tahap imuniti dalam penduduk yang tinggi.
MOH menyatakan bahawa bersama dengan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19, ia akan terus memantau keadaan COVID-19 dan pembangunan vaksin, dan di mana perlu, mengemaskini saranan vaksinasi di negara ini.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita