SG kaji tenaga nuklear dengan fikiran terbuka, sedar kekangannya: Grace Fu
Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu menyampaikan Kenyataan Pemerintah Singapura pada 14 Sep 2026 di Sidang Agung ke-70 IAEA di Vienna, Austria. (Gambar: Kementerian Kemampanan dan Sekitaran)
- Singapura, diwakili Menteri Grace Fu, terbuka terhadap tenaga nuklear tetapi sedar akan kekangan sebagai negara kecil dan padat.
- Negara itu sedang menilai teknologi nuklear, termasuk reaktor modular kecil, dengan pendekatan teliti dan menyeluruh.
- Singapura akan memulakan kajian kesiapsiagaan nuklear bersama IAEA pada 2027, tanpa komitmen untuk menggunakan tenaga nuklear.
- Kerjasama dengan ASEAN dan IAEA diperkukuh untuk keselamatan, kesiapsiagaan kecemasan, serta menangani isu nuklear serantau dan global.
Sebagai wakil Singapura di Sidang Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, Cik Fu berkata Singapura sedang mengkaji sama ada tenaga nuklear boleh menjadi pilihan yang berdaya maju dalam usaha mencapai matlamat jangka panjangnya berkaitan iklim dan tenaga. Singapura juga sedang membina keupayaan untuk menilai teknologi nuklear berdaya maju, termasuk reaktor modular kecil.
"Kami meneliti perkara ini dengan fikiran terbuka, tetapi juga dengan kesedaran jelas tentang keadaan kami sebagai sebuah negara kota yang kecil, padat penduduk dan mempunyai pilihan tenaga alternatif yang terhad," katanya.
Cik Fu berkata pendekatan Singapura akan dilaksanakan secara "teliti, tersusun dan menyeluruh", dengan menilai keselamatan serta langkah perlindungan nuklear, kelestarian alam sekitar, daya maju ekonomi, keyakinan awam dan tanggungjawab antarabangsa negara.
Singapura akan memulakan fasa pertama daripada tiga fasa kajian kesiapsiagaan nuklear bersama IAEA pada 2027.
Semakan Prasarana Nuklear Bersepadu, atau INIR, akan menilai kesediaan Singapura untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai penggunaan tenaga nuklear, selain mengenal pasti bidang yang memerlukan pembangunan lanjut.
"Misi INIR bukan satu komitmen untuk menggunakan tenaga nuklear. Sebaliknya, ia merupakan cara untuk membantu menentukan sama ada Singapura mempunyai kepakaran, institusi dan rangka kerja yang diperlukan untuk membuat keputusan berhemah," kata Cik Fu.
Beliau menambah bahawa kerjasama serantau akan menjadi semakin penting apabila minat terhadap tenaga nuklear dan penggunaan nuklear lain semakin meningkat di seluruh Asia Tenggara.
Justeru, Singapura akan bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN dan IAEA untuk memperkukuh kesiapsiagaan menangani kecemasan, melaksanakan protokol serantau, memperluas rangkaian pemantauan radiasi dan perkongsian maklumat, serta mengadakan latihan kesiapsiagaan.
Cik Fu turut berkata Singapura masih "amat prihatin" terhadap isu keselamatan nuklear di tengah-tengah konflik di Ukraine dan Timur Tengah.
"Sebarang serangan terhadap loji kuasa nuklear akan menimbulkan risiko besar dan tidak dapat dinafikan terhadap keselamatan nuklear," katanya.
Singapura juga kekal prihatin terhadap "isu yang belum diselesaikan berhubung pematuhan Iran" terhadap kewajipan perlindungan nuklear yang mengikat di sisi undang-undang, kata Cik Fu, sambil menambah bahawa sebarang bahan nuklear yang tidak dapat dipertanggungjawabkan menimbulkan risiko penularan senjata nuklear.
Beliau berkata Singapura juga masih prihatin tentang "usaha berterusan Korea Utara membangunkan program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya", memandangkan ia menimbulkan risiko besar terhadap keamanan, keselamatan serta kestabilan serantau dan global.
Cik Fu juga berkata apabila Singapura mengambil alih sebagai pengerusi ASEAN pada Januari 2027, ia akan bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN dan IAEA untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam penggunaan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.