SG kaji langkah lebih luas bantu individu hilang kerja akibat AI, rombakan struktur: DPM Gan
Dengan ketidaktentuan ekonomi yang dijangka lebih buruk pada masa hadapan, pemerintah sedang mengkaji peri perlunya disediakan “sokongan lebih meluas pada peringkat sistem” untuk membantu mereka yang diberhentikan kerja bangkit semula, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Isnin (25 Ogos).
“Kita mesti beri perhatian kepada golongan masyarakat yang berisiko tinggi untuk tercicir,” kata Encik Gan.
“Ini termasuk peranan PME (profesional, pengurus dan eksekutif) yang mungkin diganti oleh AI (kecerdasan buatan), serta pekerja berpangkat rendah dalam sektor yang sedang melalui proses rombakan struktur.”
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, menarik perhatian bahawa Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture yang diperkenalkan awal tahun ini menyediakan sokongan kewangan sementara bagi mereka yang diberhentikan kerja.
Di bawah skim tersebut, individu yang layak boleh menerima bantuan sehingga S$6,000 bagi tempoh enam bulan untuk membantu mereka mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan pengalaman mereka.
“Kami sedang mengkaji keperluan bagi sokongan lebih menyeluruh pada tahap sistem untuk membantu mereka kembali bekerja,” kata beliau dalam ucapan pembukaan Dialog Ekonomi 2025 anjuran Kementerian Perdagangan dan Perusahaan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Dalam ucapannya, Encik Gan menegaskan bahawa kemajuan ekonomi boleh memecahbelahkan rakyat sekiranya manfaat dan peluang tidak dikongsi bersama.
“Ini lebih ketara sekiranya masyarakat menjadi semakin berlapis-lapis dan kurang mobiliti sosial, yang bukan sahaja boleh mengukuhkan kelemahan golongan kurang bernasib baik tetapi juga mengukuhkan kelebihan golongan berada,” kata beliau.
Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura yang dibentuk pada April lalu perlu melangkaui keadaan tidak menentu sekarang dan meletakkan Singapura pada kedudukan baik, kata Encik Gan yang mengetuai pasukan itu sebagai pengerusinya.
Sejak awal lagi, pasukan itu memberi tumpuan kepada isu mendesak berikutan pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat bahawa ia akan mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas semua barangan yang memasuki negara itu serta tarif timbal balik bagi barangan dari negara tertentu.
Ini termasuk membantu sektor perniagaan memahami perubahan tersebut secara bersama serta menangani kesan awal tarif yang diumumkan Presiden Donald Trump itu.
“Walaupun kita menangani keadaan tidak menentu sekarang, kita juga perlu meletakkan Singapura pada kedudukan yang baik bagi landskap ekonomi baharu,” kata Encik Gan.
Bagi tujuan itu, pasukan tersebut baru-baru ini memulakan Kajian Strategi Ekonomi bagi membangunkan pelan ekonomi masa depan untuk Singapura.
Ia juga mengumumkan rancangan untuk melancarkan Geran Penyesuaian Perniagaan serta latihan amali untuk graduan baharu, yang masing-masing akan dilaksanakan pada September dan Oktober.
Singapura dikenakan kadar tarif asas 10 peratus oleh Amerika Syarikat.
Washington turut memberi bayangan bahawa ia akan mengenakan tarif tambahan bagi farmaseutikal dan semikonduktor, yang akan memberi kesan terhadap Singapura, kata Encik Gan.
Beliau berkata: “Kesan tarif ini lambat laun akan mempengaruhi rantaian bekalan kita, dan kita boleh menjangkakan kos ini memberi tekanan terhadap keuntungan yang boleh diraih dan harga pada masa hadapan.
“Ia akan menjejas perbelanjaan pengguna dan korporat, serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi global."
DIALOG BERSAMA PARA PELAJAR
Encik Gan turut mengambil bahagian dalam sesi dialog yang dikendalikan Profesor Ekonomi SMU, Hoon Hian Teck, dan menjawab soalan daripada para pelajar maktab rendah dan universiti yang hadir di acara tersebut.
Seorang pelajar bertanya sama ada AI boleh menghuraikan masalah yang timbul daripada kadar kelahiran Singapura yang semakin merosot.
Menjawab soalan itu, Encik Gan berkata bentuk pekerjaan akan terus berkembang dan para pekerja mungkin tidak memiliki kemahiran yang sesuai untuk mengisi peranan tersebut. Oleh itu, peningkatan dan latihan kemahiran dapat membantu merapatkan jurang dan mengurangkan gangguan.
“Jika anda tidak berjaya melakukannya, maka anda akan menghadapi masalah pengangguran.
“Jadi, ia bukan huraian yang sempurna, bukan padanan yang sempurna, tetapi kita perlu terus berusaha gigih untuk memadankannya demi mengurangkan gangguan terhadap pekerjaan,” kata beliau.
Dalam dialog itu juga, Encik Gan menggalakkan para hadirin agar bersikap tangkas dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Kita mahu ... para pekerja menguasai AI supaya anda tidak takut digantikan, malah anda boleh menjadi lebih produktif, lebih relevan, dan lebih berdaya tahan,” kata beliau.
Encik Gan turut menekankan bahawa tarif boleh memberi kesan sampingan dan susulan kepada Singapura.
“Salah satu negara jiran kita sudah pun memutuskan untuk membeli lebih banyak minyak dari Amerika Syarikat dan oleh itu kurang dari Singapura, secara terang-terangan,” katanya.
Negara-negara yang tertakluk kepada tarif lebih tinggi dari Amerika Syarikat juga mungkin mengurangkan eksport mereka, dan oleh itu mengurangkan import dari Singapura, tambahnya.
“Tetapi keadaan bukanlah suram sahaja, kerana Singapura berada pada kedudukan kukuh untuk mencari peluang walaupun di tengah-tengah cabaran ini,” kata beliau, sambil menekankan bahawa Singapura adalah sebuah negara yang tangkas, memiliki asas yang kukuh sejak 60 tahun lalu dan mempunyai banyak perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara lain.
“Kita mempunyai tenaga kerja yang sangat berkemahiran, sangat mudah menyesuaikan diri, yang menurut banyak negara adalah kelebihan kita yang paling besar,” kata Encik Gan, sambil mengulangi sebab mengapa Singapura banyak melabur dalam pendidikan dan peningkatan kemahiran.
“Kita bukan melatih anda untuk kemahiran... masa lampau. Kita bahkan bukan melatih anda untuk kemahiran hari ini. Kita sedang mempersiapkan anda untuk kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan,” tegas beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.