Skip to main content

Singapura

SG kaji keberkesanan sekatan media sosial Australia bagi kanak-kanak bawah 16 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SG kaji keberkesanan sekatan media sosial Australia bagi kanak-kanak bawah 16 tahun
Aplikasi-aplikasi media sosial pada sebuah telefon bijak. (Gambar fail: iStock)
Diterbitkan : 13 Jan 2026 06:58PM Dikemas Kini : 13 Jan 2026 07:47PM
SINGAPURA: Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam berkata apabila berbincang tentang perlindungan media sosial, tiada pendekatan atau huraian tunggal yang boleh menangani segala masalah.

Berucap di Parlimen pada Selasa (13 Jan), beliau berkata Singapura sedang menilai keberkesanan sekatan media sosial yang dikenakan oleh Australia baru-baru ini bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun.

Cik Rahayu menarik perhatian, negara itu kini berdepan cabaran dalam melaksanakan langkah tersebut.

Beliau berkata: "Terdapat pemerhatian bahawa berlakunya pemindahan kanak-kanak atau pengguna kepada platform yang tidak termasuk dalam lingkungan undang-undang itu.

"Kita juga menyaksikan pengguna mengelak sekatan.

"Jadi anda perlu pastikan bahawa langkah-langkah penguatkuasaan jelas, kerana kanak-kanak boleh menggunakan ID ibu bapa mereka, jadi strukturnya harus ditetapkan di situ.

"Terdapat juga peningkatan dalam penggunaan VPN yang kemudian melemahkan (sekatan ini). Jadi kami ingin pastikan bahawa kami dapat menangani kebimbangan-kebimbangan itu dengan bermakna."

Menurut Cik Rahayu, Singapura sudah pun ada langkah-langkah peraturan yang kukuh, seperti Kod Amalan bagi khidmat media sosial dan syarat jaminan umur untuk penggunaan aplikasi.

Beliau menambah, Singapura akan mengambil pendekatan serampang berbilang mata bagi meningkatkan prasarana peraturan media sosial.

Ini termasuk meningkatkan usaha-usaha masyarakat menerusi sokongan bagi ibu bapa dan membina tabiat penggunaan digital yang sihat.
Sumber : CNA/QA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita