SG, Jepun tingkatkan hubungan kepada perkongsian strategik, perluas kerjasama dalam 5 bidang
Singapura dan Jepun mengumumkan pada Rabu (18 Mac) hubungan dua hala antara kedua-dua negara tersebut ditingkatkan kepada perkongsian strategik, dengan kerjasama diperluas dalam lima bidang.
Peningkatan hubungan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Encik Wong berada di Jepun untuk lawatan rasmi pertama beliau sejak menyandang jawatan sebagai perdana menteri.
Semasa lawatan itu, beliau bertemu dengan Cik Takaichi yang turut menganjurkan jamuan makan malam kerja untuk beliau.
Ketika menyambut ketibaan Encik Wong, Cik Takaichi meluahkan harapan agar hubungan kedua-dua negara akan terus diperkukuhkan melalui pelbagai pertukaran dan program tahun ini.
"Kedua-dua negara kita, seperti negara yang sehaluan, bersama-sama mempertahankan dan menggalakkan aturan antarabangsa yang bebas dan terbuka serta perdagangan bebas berasaskan peraturan.
"Jepun dan Singapura bersatu teguh sebagai negara yang saling mempercayai satu sama lain," katanya.
Encik Wong berkata Jepun merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai dan bernilai bagi Singapura sepanjang 60 tahun lalu.
"Hari ini, hubungan kita lebih matang dan kita menjadi rakan kongsi dengan pandangan strategik yang sama dan kekuatan yang saling melengkapi, dan kerjasama kita adalah dalam pelbagai aspek, luas dan saling menguntungkan.
"Terdapat keperluan strategik untuk mengukuhkan lagi kerjasama kita, terutama ketika kita menghadapi perubahan besar dalam dunia kini, dengan lebih banyak ketidakpastian, perpecahan dan gangguan.
“Kedua-dua Jepun dan Singapura berkongsi prinsip strategik dan pandangan dunia yang serupa. Dan sebagai rakan kongsi yang sehaluan, saya percaya kita boleh bekerjasama untuk mempertahankan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan serta aturan serantau yang terbuka dan inklusif," kata Encik Wong.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menyatakan kedua-dua pemimpin tersebut mengesahkan semula perkongsian antara Singapura dengan Jepun sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.
“Mereka mengalu-alukan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh, sambil menyatakan bahawa Singapura dan Jepun merupakan pelabur utama masing-masing," tambah MFA.
“Mereka bersetuju untuk memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang seperti ekonomi hijau dan digital serta rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi.
“Ini akan membantu kedua-dua negara mengharungi sekitaran geopolitik yang tidak menentu serta memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan.”
Kedua-dua perdana menteri turut bersetuju mengenai peri penting bekerjasama untuk mengekalkan perdagangan bebas dan terbuka, aturan antarabangsa berasaskan peraturan serta aturan serantau yang terbuka dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai terasnya.
“Sebagai negara penyelaras bagi hubungan ASEAN-Jepun, Perdana Menteri Wong komited untuk bekerjasama rapat dengan Jepun untuk melaksanakan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) ASEAN-Jepun,” kata MFA.
“Ini termasuk memperdalamkan integrasi ekonomi serta bekerjasama dalam inisiatif digital dan hijau seperti Grid Tenaga ASEAN. Kedua-dua perdana menteri turut berkongsi pandangan berhubung perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Timur Tengah.”
Kementerian itu menyatakan Perkongsian Strategik tersebut menyediakan rangka kerja untuk “memperdalam dan memperluas kerjasama dua hala dalam bidang-bidang sedia ada dan masa depan, yang boleh menjadi perintis kepada kerjasama serantau dan kerjasama antarabangsa yang lebih luas”.
Encik Wong juga mengadakan pertemuan berasingan dengan beberapa mantan perdana menteri Jepun iaitu Shigeru Ishiba, Fumio Kishida dan Taro Aso.
“Beliau mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka dalam memperkukuh kerjasama dua hala dan memperdalam penglibatan Jepun di rantau ini. Mereka juga membincangkan hal ehwal serantau dan antarabangsa,” kata MFA.
Satu kenyataan bersama daripada kedua-dua negara menggariskan perincian Perkongsian Strategik tersebut.
Perkongsian itu akan memperkukuh asas hubungan dan memperluas kerjasama dalam beberapa bidang, termasuk:
- Menggalakkan perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi
- Pendigitalan dan teknologi
- Keselamatan dan pertahanan
- Peralihan hijau dan kerjasama tenaga
- Perkongsian dan pertukaran
Menteri luar kedua-dua negara akan memantau kemajuan pelaksanaan Perkongsian Strategik tersebut.
Ia akan dikaji secara berkala bagi memastikan kerjasama dua hala tersebut kekal relevan dan sedia untuk masa depan, menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua negara turut mengiktiraf bahawa sebagai rakan kongsi yang dipercayai ASEAN, Jepun menyumbang kepada keamanan, kestabilan, kemakmuran dan keutuhan rantau ini melalui penglibatannya.
Ini termasuk sokongan terhadap Kepusatan ASEAN dan Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP).
“Kami berkongsi pefahaman bahawa AOIP dan Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) mempunyai prinsip asas yang sama, dan pemerkasaan serta pelaksanaan AOIP juga akan menyumbang kepada usaha mempromosikan aturan antarabangsa berasaskan kedaulatan undang-undang serta Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” kata kedua-dua negara.
“Dalam hal ini, kami mengalu-alukan penerimaan Kenyataan Bersama Sidang Puncak ASEAN-Jepun ke-28 mengenai pemerkasaan dan pelaksanaan AOIP, yang mengesahkan keserasian antara AOIP dan FOIP, serta menegaskan komitmen kami untuk mempromosikan dan melaksanakan projek dan aktiviti AOIP yang konkrit.”
PERDAGANGAN BEBAS, KERJASAMA EKONOMI
Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua pihak turut menegaskan semula komitmen mereka terhadap perdagangan bebas dan terbuka, daya tahan ekonomi serta kemakmuran bersama.
Enterprise Singapore dan Japan External Trade Organisation akan memperbaharui Memorandum Kerjasama (MOC) untuk meningkatkan usaha dalam memudah cara aliran perdagangan dan pelaburan.
Kementerian Kemampanan dan Sekitaran Singapura (MSE) dan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun akan memperbaharui sebuah MOC bagi merancakkan perdagangan agri-makanan.
“Kami mengesahkan semula komitmen terhadap perdagangan bebas dan terbuka, daya tahan ekonomi dan kemakmuran bersama. Perjanjian Perkongsian Ekonomi Jepun-Singapura merupakan asas kepada hubungan ekonomi kami yang kukuh dan dinamik,” kata kedua-dua negara.
“Ia dilengkapi dengan Dialog Ekonomi Jepun-Singapura sebagai platform peringkat tinggi untuk membincangkan peningkatan kerjasama dalam bidang-bidang yang menjadi keutamaan.”
Kedua-dua negara akan mewujudkan dialog dasar teknologi maklumat dan komunikasi antara Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) Singapura dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun bagi meneroka kerjasama dalam bidang-bidang digital, termasuk pembangunan infrastruktur digital.
Satu MOC berhubung Sains Kuantum, Teknologi dan Inovasi sudah dimeterai antara MDDI dengan Pejabat Kabinet Jepun pada Januari lalu bagi memperdalam kerjasama lapan bidang utama, termasuk penyelidikan kuantum, dialog inovasi, interaksi akademia dan sektor swasta, pendidikan serta pertukaran bakat, dan dialog dasar keselamatan.
Satu MOC antara Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dengan Pejabat Keselamatan Siber Kebangsaan Jepun akan diperbaharui untuk memudahkan kerjasama keselamatan siber dalam bidang-bidang seperti kerjasama industri dan akademik, pembinaan keupayaan dan pertukaran operasi.
Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Singapura dan Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Jepun akan memeterai satu MOC pada 2026 bagi memudahkan kerjasama dalam perlindungan maklumat peribadi.
Agensi Angkasa Kebangsaan Singapura dan Japan Aerospace Exploration Agency akan memeterai satu MOC tahun ini bagi merasmikan kerjasama dua hala dalam bidang angkasa.
Pada Rabu, kedua-dua negara turut memeterai satu MOC untuk saling mengiktiraf skim pelabelan keselamatan siber bagi peranti-peranti bijak.
Di bawah pengaturan tersebut, peranti bijak yang memperoleh label keselamatan siber di bawah skim JC-STAR Jepun atau Skim Pelabelan Keselamatan Siber (CLS) Singapura akan diiktiraf oleh kedua-dua negara.
Pengeluar boleh memohon label negara lain melalui proses yang dipermudahkan.
Pengaturan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jun. Ia meliputi peranti-peranti bijak seperti pembantu rumah bijak, sistem automasi rumah serta sistem penggera dan hab yang menghubungkan pelbagai peranti.
Jepun merupakan negara kelima yang menubuhkan pengaturan sedemikian dengan Singapura, selepas Finland, Jerman, Korea Selatan dan Britain.
KESELAMATAN DAN PERTAHANAN
Kenyataan bersama itu menyatakan kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama dalam keamanan dan kestabilan serantau, sambil mengiktiraf persekitaran keselamatan yang semakin mencabar serta kepentingan laluan laut terbuka kepada kedua-dua negara.
Kedua-dua negara berhasrat memperkukuh kerjasama melalui pertukaran peringkat tinggi antara pihak berkuasa pertahanan, termasuk mengadakan sebuah mesyuarat di peringkat menteri secara berkala di Dialog Shangri-La.
Kedua-dua negara akan memperdalam kerjasama antara pihak operasi, termasuk melalui latihan dua hala dan pelbagai hala.
Mereka juga akan meningkatkan kerjasama dalam peralatan dan teknologi pertahanan melalui pertukaran profesional dalam industri dan teknologi pertahanan serta memupuk inovasi melalui kerjasama dengan syarikat pemula.
Dalam bidang tenaga pula, kedua-dua pihak menandatangani satu rangka kerja pada Ahad untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang seperti import elektrik rentas sempadan, hidrogen dan ammonia rendah karbon, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon, tenaga nuklear awam, gas asli cecair, pemangkin sistem grid maju serta angin luar pesisir.
Satu MOC berhubung ehwal alam sekitar akan diperbaharui antara MSE dan Kementerian Alam Sekitar Jepun bagi meningkatkan kerjasama dalam beberapa bidang termasuk perlindungan alam sekitar, pengurusan dan pembangunan mampan.
Satu lagi MOC antara MSE dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun akan diperluas bagi memperdalam kerjasama dalam sains iklim dan penyesuaian iklim.
PERKONGSIAN DAN PERTUKARAN
“Kami mengiktiraf bahawa kepercayaan dan persefahaman bersama perlu dikekalkan melalui penglibatan yang lebih kerap dan meluas di semua peringkat, termasuk melalui pertukaran institusi, sosial, seni dan budaya, belia serta akademik,” kata kedua-dua negara dalam kenyataan bersama.
Singapura dan Jepun akan meneruskan dialog tahunan antara kementerian luarnya bagi menilai hubungan dan meningkatkan kerjasama.
Mereka juga akan memupuk persefahaman bersama dalam kalangan para pegawai melalui program lawatan pegawai kanan Jepun ke Singapura atas undangan MFA.
Agensi Perkhidmatan Awam Jepun dan Divisyen Perkhidmatan Awam Singapura juga akan meningkatkan pertukaran.
Peluang pertukaran belia juga akan diperluas, begitu juga dengan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan.
Kedua-dua negara menyatakan mereka akan meningkatkan kerjasama bagi memperluas perjalanan dua hala serta memperdalam kerjasama dalam penerbangan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.