Skip to main content

Singapura

SG jatuh dalam ranking daya saing dunia tapi masih unggul di Asia

Anggaran Waktu Membaca:
SG jatuh dalam ranking daya saing dunia tapi masih unggul di Asia

Pemandangan latar langit bandar Singapura pada 23 September 2022. (Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

SINGAPURA: Singapura jatuh satu kedudukan untuk menduduki tempat keempat dalam indeks daya saing global 64 ekonomi tahun ini.

Singapura kini berada satu tangga di bawah Denmark, Ireland dan Switzerland dalam laporan tahunan tersebut, namun masih berdaya saing di Asia, di hadapan Taiwan dan Hong Kong.

Kedudukan oleh Pusat Daya Saing Dunia Pembangunan Pengurusan Dunia (IMD) itu berdasarkan 336 kriteria yang menilai prestasi ekonomi, kecekapan pemerintah dan perniagaan serta prasarana.

Laporan tersebut menyatakan bahawa kemerosotan ranking Singapura itu terutamanya disebabkan penurunan faktor-faktor kecekapan pemerintah, seperti perundangan dan keupayaan untuk menyesuaikan dasar pemerintah.

Namun, Singapura menunjukkan prestasi yang baik merentasi kategori lain, termasuk menduduki tempat kedua dari segi pengambilan pekerja, tempat keempat dari segi pelaburan antarabangsa, dan tempat keenam dari segi penghasilan dan kecekapan.

Pengarah institut tersebut, Profesor Arturo Bris menarik perhatian bahawa sementara Singapura menangani pandemik COVID-19 dengan baik, waktu pembukaan semula negara itu yang lebih lewat daripada kebanyakan negara-negara Eropah, menjejas beberapa daya saingnya.

Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa penurunan itu "tidak ketara", dan menambah bahawa Singapura "kekal sebagai ekonomi berdaya saing yang kukuh."

KECIL TAPI HEBAT

Ekonomi yang mempunyai pemerintahan yang tangkas dan hubungan perdaganagan yang kuat merupakan negara paling berjaya dalam indeks daya saing terkini itu.

Ekonomi dalam ranking tinggi - termasuk Singapura - adalah negara kecil yang memanfaatkan akses kepada pasaran dan rakan dagangan dengan baik, menurut kajian tersebut.

Profesor Bris berkata negara kecil memudahkan perjanjian antara sektor privet dengan awam.

Beliau menambah bahawa kekuatan Singapura terletak pada prasarana fizikal dan tidak fizikal, terutama sekali dalam bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan.

KETANGKASAN DAN KEUPAYAAN MENYESUAIKAN DIRI

Walaupun saiz yang kecil merupakan kekuatan, saiz juga boleh menjadi kelemahan buat Singapura kerana negara kecil lebih mudah terjejas oleh isu-isu geopolitik, kata Profesor Bris. Beliau menyebut tentang ketegangan di Laut Cina Selatan dan kesan dari pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Satu lagi kelemahan bagi daya saing Singapura adalah tanda harganya, tidak seperti ekonomi kecil seperti Hong Kong dan Switzerland, kata Profesor Bris.

KEKAL BERSAING

Laporan itu menyatakan ekonomi-ekonomi perlu mendakapi ketangkasan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri supaya dapat mengharungi dunia yang semakin berpecah-belah.

Oleh itu, Singapura harus menumpukan kepada dua bidang tambahan untuk kekal bersaing, selain meneruskan pelaburan dalam bidang kesihatan, pendidikan dan prasarana digital, kata Profesor Bris.

Pertama, adalah untuk meningkatkan penghasilan tempatan dan pengeluaran bagi pasaran domestik supaya dapat membina daya tahan dan berusaha ke arah menjadi negara berdikari.

Kedua, adalah untuk memberi lebih banyak tumpuan kepada kerjasama dan perdagangan serantau.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita