Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG, India tingkatkan hubungan kepada kerjasama strategik menyeluruh sedang PM India gulung lawatan

Anggaran Waktu Membaca:
SG, India tingkatkan hubungan kepada kerjasama strategik menyeluruh sedang PM India gulung lawatan

Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam pada 5 Sep 2024. (Gambar: MDDI)

SINGAPURA: Singapura dan India bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala ke peringkat lebih tinggi "Kerjasama Strategik Menyeluruh" demi memperdalamkan selain meluaskan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.

Ini ketika Perdana Menteri India Narendra Modi menggulung lawatan rasmi dua hari ke Singapura.

PM Modi dijangka meninggalkan Singapura pada lewat Khamis (5 Sep), menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan.

Dalam catatan Facebooknya pula,Perdana Menteri Lawrence Wong berkata mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari India itu "produktif" dan mereka telah melakarkan satu "agenda berwawasan" bagi fasa hubungan dua hala selanjutnya.

"Kami juga akan mempertingkatkan Kerjasama Strategik Singapura-India kepada satu Kerjasama Strategik Menyeluruh," kata PM Wong.

"Ini langkah yang tepat pada masanya sedang kita meluaskan kerjasama dalam bidang-bidang baharu dan saling menguntungkan, di samping meraikan 60 tahun hubungan diplomatik mahupun ulang tahun ke-10 Kerjasama Strategik dua hala pada tahun hadapan.

"Kami mengalu-alukan langkah mengukuhkan hubungan dan mewujudkan pelbagai peluang baharu buat rakyat kita."
Pada Khamis, Encik Modi disambut dalam satu upacara di bangunan Parlimen di mana beliau diberikan sambutan penuh istiadat.

Beliau juga bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam, Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.

Encik Modi dan Encik Tharman mengesahkan lagi hubungan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara, dan membincangkan soal potensi India sebagai "pusat utama pertumbuhan sepanjang dekad selanjutnya, dipacu kedua-dua pelaburan sosial dan digital dalam pelbagai aspek penduduk, mahupun pelbagai kerjasama ekonomi baharunya".

"Mereka turut membincangkan potensi India dan ASEAN untuk saling merangsang pertumbuhan satu sama lain serta membina hubungan rantaian bekalan lebih kukuh," menurut MFA.
Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam pada 5 Sep 2024. (Gambar: MDDI)
Dalam satu kenyataan bersama, PM Wong mengucapkan tahniah kepada Encik Modi atas kemenangannya untuk berkhidmat buat penggal ketiga.

Beliau turut melahirkan kepercayaan India akan terus berada dalam "trajektori pembangunan yang lebih tinggi".

PM Wong juga percaya India mempunyai "peranan serta kedudukan semakin besar dalam arena antarabangsa" di bawah kepimpinan Encik Modi.

Encik Modi turut mengucapkan tahniah kepada PM Wong atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Singapura.

Beliau turut melahirkan keyakinan Singapura akan terus maju dan "kekal sebagai model pembangunan ekonomi buat orang lain" di bawah kepimpinan PM Wong.

Encik Modi dan PM Wong juga bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala mahupun perkembangan serantau dan antarabangsa.

Mereka mengalu-alukan kemajuan baik dalam kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang seperti kemampanan, teknologi digital, pengilangan canggih dan ketersambungan.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan