SG, India bincang kerjasama semikonduktor, jaminan makanan semasa mesyuarat menteri
Menteri-menteri dari Singapura dan India pada Khamis (20 Ogos) membincangkan kerjasama dalam bidang semikonduktor, jaminan makanan dan pembangunan kemahiran dalam Mesyuarat Menteri India-Singapura (ISMR) keempat, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.
- Menteri-menteri Singapura dan India mengadakan Mesyuarat Menteri India-Singapura keempat di Hotel Shangri-La Singapore pada 20 Ogos 2024.
- Mereka membincangkan kerjasama dalam bidang semikonduktor, jaminan makanan, pembangunan kemahiran, perdagangan, warisan maritim, dan pendigitalan.
- Dua MOU dimeterai melibatkan keselamatan makanan dan warisan maritim, serta surat hasrat dalam telekomunikasi dan penyiaran.
- Kerjasama ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan perdagangan, pelaburan, dan menangani isu bersama melalui perbincangan terbuka dan pertukaran maklumat.
Beliau berkata demikian kepada wartawan di hotel Shangri-La Singapore selepas pertemuan dengan para pemimpin India. Kedua-dua negara turut memeterai perjanjian untuk memperluas kerjasama dalam bidang-bidang seperti perdagangan agromakanan dan warisan maritim.
Menyifatkan pertemuan dengan rakan sejawatannya sebagai bermanfaat dan produktif, Encik Gan berkata kedua-dua pihak dapat berbincang secara "terus terang dan terbuka", sekali gus membantu memajukan kerjasama dua hala.
Delegasi India terdiri daripada Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat Nirmala Sitharaman, Menteri Ehwal Luar S Jaishankar, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Piyush Goyal serta Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Elektronik dan Teknologi Maklumat Jitin Prasada.
Delegasi Singapura dipimpin Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan).
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital serta Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow turut menyertai delegasi tersebut.
Delegasi India turut mengadakan kunjungan ke atas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong pada sebelah petang.
Singapura dan India meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), iaitu hubungan diplomatik peringkat tinggi, pada September 2024.
Mesyuarat Menteri India-Singapura yang pertama diadakan di New Delhi pada September 2022.
PERKEMBANGAN KERJASAMA
Pada Khamis, Encik Gan berkongsi perkembangan terkini berhubung perbincangan berkaitan enam tunggak utama kerjasama: kemampanan, pendigitalan, pembangunan kemahiran, jagaan kesihatan dan perubatan, pengilangan maju serta keterhubungan.
Bagi pengilangan maju, Encik Gan berkata beberapa pengilang semikonduktor sudah melabur di India sejak Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai pada 2024.
Pengilang tersebut sedang menimbangkan untuk membawa masuk pembekal mereka, termasuk syarikat-syarikat Singapura. Ia membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan.
Menteri-menteri turut membincangkan cara untuk memudahkan syarikat-syarikat memasuki pasaran India, kata Encik Gan.
Beliau turut berkongsi terdapat minat terhadap peningkatan kemahiran dan latihan bagi tenaga kerja India agar ia dapat menyokong sektor pengilangan maju.
"Kami berharap untuk menubuhkan pusat-pusat latihan, khususnya bagi sektor semikonduktor," kata beliau, sambil menambah bahawa latihan tersebut perlu diterajui industri.
Dengan peningkatan pelaburan dan perdagangan antara Singapura dengan India, menteri-menteri turut membincangkan keperluan untuk meningkatkan keterhubungan udara.
Namun, pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara perlu meneruskan perbincangan berhubung perkara tersebut, kata beliau.
Dari segi pendigitalan, Encik Gan berkata kerjasama antara PayNow Singapura dengan Unified Payments Interface (UPI) India menunjukkan kemajuan yang baik.
Beliau berharap Project Nexus - yang bertujuan menghubungkan sistem pembayaran digital beberapa negara - dapat dilaksanakan secepat mungkin. India dan Singapura merupakan antara anggota pengasas projek tersebut.
Bursa Singapura (SGX) juga berminat untuk bekerjasama dengan Bursa Saham Nasional India.
Kedua-dua pihak sedang meneroka kemungkinan memperkenalkan produk derivatif dan penyenaraian dua bursa supaya perniagaan di India mendapat akses lebih luas kepada modal di rantau ini, kata Encik Gan. Beliau menambah bahawa kerjasama dengan India akan mengukuhkan kedudukan SGX.
Dalam bidang kemampanan, Singapura dan India membincangkan cara untuk memastikan bekalan tidak terjejas ketika krisis seperti pandemik COVID-19 berlaku.
Singapura sudah memeterai perjanjian sedemikian dengan negara-negara seperti Australia dan New Zealand, dan kini sedang membincangkan perkara tersebut dengan India.
"Kami bersetuju bahawa kami harus meneroka bagaimana India dan Singapura boleh bekerjasama dengan lebih rapat bagi memastikan bekalan makanan dari India ke Singapura dapat diteruskan," kata Encik Gan.
Singapura juga sangat berminat untuk bekerjasama dengan India dalam teknologi angkasa lepas dan bidang-bidang lain yang menjadi kepentingan bersama seperti teknologi nuklear, kata beliau.
"Walaupun kami belum membuat keputusan sama ada untuk menggunakan tenaga nuklear atau sebaliknya, penting bagi kami untuk mengikuti perkembangan teknologi dalam bidang ini. Sebab itu kami membincangkan kemungkinan untuk bekerjasama, meneroka dan berkongsi pengetahuan berhubung teknologi ini," tambah beliau.
Dalam Mesyuarat Menteri India-Singapura ketiga tahun lalu, kedua-dua pihak membincangkan kemungkinan membina sebuah pusat latihan bagi kerja-kerja penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk industri penerbangan.
Apabila ditanya berhubung perkembangan terkini melibatkan perkara tersebut, Encik Gan berkata ia merupakan satu bidang yang penting kerana Singapore Airlines mempunyai pelaburan dalam Air India dan keupayaan MRO perlu dipertingkatkan.
"Kami sedang mengusahakan satu MOU yang akan dimeterai antara kedua-dua pihak. Kami berharap untuk melakukannya tidak lama lagi dan ia akan menyediakan rangka kerja serta asas bagi kerjasama MRO antara kedua-dua negara," kata beliau.
PERJANJIAN BAHARU BERHUBUNG KESELAMATAN MAKANAN, WARISAN MARITIM
Singapura dan India turut memeterai dua MOU pada Khamis.
Memorandum antara Agensi Makanan Singapura (SFA) dengan Penguasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India bertujuan memperkukuh kerjasama teknikal dua hala dan memudahkan perdagangan agromakanan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak akan bertukar maklumat teknikal berhubung keselamatan makanan, termasuk perkara berkaitan pelabelan, prosedur import, penarikan balik produk, pemberitahuan kecemasan serta kiriman barangan yang ditahan atau ditolak ketika diimport.
Di bawah MOU tersebut, seminar, bengkel, lawatan, ceramah dan program-program latihan akan membantu memudahkan penyelarasan antara Singapura dengan India.
MOU itu juga akan membantu kedua-dua agensi keselamatan makanan memperkukuh hubungan dan saluran komunikasi, di samping menyediakan asas bagi kerjasama dua hala yang lebih erat.
Bagi warisan maritim, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Singapura dan Kementerian Pelabuhan, Perkapalan dan Laluan Air India memeterai MOU untuk memudahkan pertukaran maklumat dan latihan serta menggalakkan penyertaan dalam kegiatan antarabangsa.
MOU itu mengesahkan semula hubungan dua hala Singapura-India yang kukuh dan meluas serta komitmen untuk meneruskan usaha perkongsian dan kerjasama kebudayaan, menurut lembaran fakta MCCY.
Singapura dan India turut menandatangani surat hasrat berhubung kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan penyiaran, yang bertujuan menggalakkan pertukaran maklumat, pengalaman dan amalan terbaik.
Bidang kerjasama merangkumi perlindungan pengguna dan peraturan penyiaran.
PERTEMUAN ANTARA MENTERI
Bercakap kepada para wartawan sebelum jamuan tengah hari bersama delegasi India dan wakil perniagaan dari kedua-dua negara, Encik Gan berkata kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang "mendalam".
Beliau menambah bahawa format pertemuan tersebut juga unik kerana perbincangan berlangsung tanpa kehadiran pegawai.
Encik Gan berkata kemajuan yang baik dicapai dalam mesyuarat menteri tersebut meskipun terdapat beberapa "masalah kecil". Namun, beliau tidak menjelaskan isu-isu yang dimaksudkan itu.
"Saya rasa dengan adanya platform ini, ia sangat mudah untuk kami menghubungi satu sama lain. Saya mengenali keempat-empat menteri secara peribadi, jadi tidak begitu sukar bagi saya untuk menghubungi rakan sejawatan saya dan berkata, kami menghadapi isu ini, bolehkah anda membantu kami menelitinya," kata beliau.
Nilai terpenting platform tersebut ialah kedua-dua pihak dapat membina kepercayaan dan hubungan, yang akan membantu memperkukuh kerjasama dua hala, kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.