Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG ibarat gerbang tembusi ASEAN sedang Pakistan berusaha pelbagaikan perdagangan

Anggaran Waktu Membaca:
SG ibarat gerbang tembusi ASEAN sedang Pakistan berusaha pelbagaikan perdagangan

Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari. (Gambar: AP/Andrew Harnik)

SINGAPURA: Sedang Pakistan berusaha untuk mempelbagaikan ekonominya, Singapura merupakan lokasi utama bagi negara itu untuk melibatkan diri dengan para anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Demikian kata Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari.

"Singapura mempunyai ekonomi yang sangat maju. Anda terlibat dengan semua pemain besar di peringkat antarabangsa," kata Encik Bhutto Zardari kepada Mediacorp semasa lawatan rasminya ke Singapura untuk mengesahkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Terdapat banyak bidang ekonomi kami yang saling melengkapi. Kami boleh meraih manfaat daripada lokasi anda untuk menjangkaui ASEAN. Singapura boleh meraih manfaat daripada lokasi Pakistan untuk mencapai lebih banyak kemajuan dan berkembang dengan pesat," tambah beliau.

Kedua-dua negara bukan sahaja ada potensi untuk pertumbuhan perdagangan dalam jangka masa panjang, terdapat juga bidang lain yang boleh saling menguntungkan kedua-dua negara dalam jangka masa pendek," kata Encik Bhutto Zardari.

Beliau mencadangkan salah satu kerjasama sedemikian adalah perdagangan memandangkan Pakistan adalah pengeksport daging yang besar, manakala Singapura adalah negara import yang banyak bergantung kepada sumber luar untuk makanan.

Semasa lawatannya ke Singapura, Encik Bhutto Zardari bertemu dengan Presiden Halimah Yacob di Istana dan membincangkan isu-isu perdagangan, ekonomi digital serta serantau dengan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.

MASALAH EKONOMI

Seperti kebanyakan negara lain, Pakistan juga menyaksikan kadar inflasi dan kos yang semakin meningkat dalam kejatuhan ekonomi yang berpunca daripada perang Rusia-Ukraine serta pandemik COVID-19.

Perdagangan Pakistan dengan Rusia meningkat dengan pesat pada tahun-tahun sebelum tercetusnya perang tersebut. Negara itu mengimport gandum, arang batu dan gas asli dari Rusia.

Sekatan ke atas Rusia serta gangguan pada rantaian bekalan tenaga dan komoditi menjejas perdagangan serta menyebabkan harga melambung tinggi.

Banjir yang melanda Pakistan baru-baru ini, dicetuskan oleh hujan musim tengkujuh yang memusnahkan rumah dan ladang tanaman, menambah kepada beban ekonomi. Ia turut menjejaskan sekurang-kurangnya 33 juta penduduk dan menyebabkan kemusnahan berjumlah lebih AS$30 bilion (S$40 bilion).

Encik Bhutto Zardari berkata bahawa masalah yang dihadapi baru-baru ini memaksa Pakistan untuk mencari alternatif lain untuk lebih banyak pilihan perdagangan, terutamanya bagi import makanan.

PENGLIBATAN DENGAN ASEAN

Encik Bhutto Zardari menggesa dunia untuk melihat negaranya dalam sudut pandangan yang baru sebagai sebuah "pasaran baru dengan masa depan yang cerah" yang penuh dengan peluang sedang Pakistan menuju ke arah pemulihan ekonomi dan pasca bencana.

Penglibatan ekonomi dengan ASEAN untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama adalah keutamaan bagi pemerintahnya, kata beliau, kerana membina hubungan perniagaan yang kukuh adalah terbaik untuk hubungan dua hala.

Beliau berkata bahawa Pakistan merancang untuk mengadakan ekspo perdagangan yang melibatkan ASEAN tidak lama lagi.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan