Skip to main content

Singapura

SG, IAEA perbaharui perjanjian bantu negara membangun bina kepakaran nuklear

Anggaran Waktu Membaca:
SG, IAEA perbaharui perjanjian bantu negara membangun bina kepakaran nuklear

Rafael Mariano Grossi, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berucap di NUS pada 25 Julai 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 25 Jul 2025 09:17PM Dikemas Kini : 25 Jul 2025 09:18PM
SINGAPURA: Singapura pada Jumaat (25 Jul) memperbaharui perjanjian dengan badan pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), untuk membantu melatih pakar-pakar dari negara-negara membangun dalam penyelidikan nuklear.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu dan ketua pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi menandatangani perjanjian yang diperbaharui, dikenali sebagai Program Latihan Negara Ketiga, di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Di bawah perjanjian itu, Singapura akan membangunkan program-program latihan dengan IAEA untuk menyokong negara-negara membangun di dalam dan luar rantau Asia Pasifik, melalui program zamil, lawatan saintifik dan kursus-kursus latihan, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam kenyataan akhbar berasingan pada Jumaat.

"Ia merangkumi perkara-perkara seperti kesihatan manusia, radiografi perindustrian, pemantauan dan analisis radiografi alam sekitar, dan sains pemecut partikel," menurut MSE.

Perjanjian itu tidak akan meliputi penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan ketenteraan atau pertahanan, menurut kementerian itu sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Apabila ditanya tentang sejauh mana kerjasama tersebut berkembang dan apa lagi yang boleh dilakukan Singapura untuk membina persekitaran teknologi nuklear yang selamat dan aman di rantau ini, Encik Grossi berkata kerjasama antara Singapura dengan IAEA merangkumi "pelbagai aspek" berkaitan kegunaan teknologi nuklear.

Agensi tersebut sudah bekerjasama dengan pelbagai institusi Singapura "dengan sangat berjaya", tambahnya.

"Sekarang, sudah tentu, terdapat unsur baharu ini kerana ada minat untuk beralih kepada tenaga nuklear, dan ini mungkin akan menambah kekerapan dan tahap interaksi hubungan sedia ada."

Perjanjian pertama ditandatangani pada tahun 2000 dan kemudian diperbaharui pada tahun 2015. Di bawah perjanjian itu, Singapura bekerjasama dengan IAEA untuk melatih negara-negara lain dalam membina kepakaran nuklear mereka.

Lebih 140 peserta dari 27 negara dilatih melalui 17 program zamil dan tujuh program membina keupayaan, kata MSE.

"Ia termasuk bengkel dan program zamil jangka panjang, meliputi perkara-perkara seperti perubatan nuklear, undang-undang nuklear, keselamatan makanan dan kawalan serangga perosak," menurut MSE dalam kenyataan tersebut.

Singapura "menyokong kuat" tumpuan IAEA dalam membina keupayaan masyarakat antarabangsa untuk kegunaan teknologi nuklear yang selamat, terjamin dan aman, kata Cik Fu.

"Sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, Singapura secara aktif mengambil bahagian dalam tugas IAEA untuk menggalak dan menegakkan piawai tinggi keselamatan serta kawalannya di peringkat serantau dan global," tambahnya.

Sebagai negara tuan rumah untuk aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung di bawah perjanjian itu, peserta dari Singapura akan mendapat lebih besar akses kepada IAEA dan pakar antarabangsa yang menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut, menurut MSE.

Menangani cabaran bersama seperti kesihatan manusia, perubahan iklim dan keselamatan makanan juga memanfaatkan semua negara, tambahnya.

Pada masa ini tiada reaktor nuklear beroperasi di Asia Tenggara, walaupun beberapa negara, termasuk negara-negara anggota ASEAN, meneroka penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih yang berpotensi.

Singapura dan beberapa negara jiran lain menekankan bahawa belum ada keputusan dibuat tentang penggunaan tenaga nuklear, tetapi idea tersebut sedang dikaji di samping pilihan tenaga mampan yang lain.

Selain perjanjian baharu dengan IAEA, Singapura juga memeterai perjanjian kerjasama nuklear dengan negara dan bidang kuasa lain.

Ini termasuk Perjanjian 123 yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat pada tahun 2024, iaitu satu perjanjian dengan tempoh 30 tahun yang memajukan kerjasama dalam teknologi tenaga nuklear antara kedua-dua negara.

Encik Grossi berada di Singapura sebagai sebahagian daripada program zamil S R Nathan, iaitu program peringkat tinggi yang membolehkan pemimpin asing dan individu terkemuka melawat negara ini.

Pada pagi Jumaat, Encik Grossi juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong.

Beliau kemudian menyampaikan ceramah yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura yang baru dilancarkan di NUS dan melawat Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) serta kemudahan institut tersebut.

PM Wong berkata bahawa Singapura menjadi anggota IAEA sejak 1967 dan memberi sokongan kukuh kepada agensi itu.

"Agensi-agensi pemerintah Singapura menyumbang kepada beberapa jawatankuasa teknikal, dan kami meraih banyak manfaat daripada kepakaran IAEA dalam bidang perubatan nuklear, pengimejan, dan onkologi," tulis PM Wong dalam catatan di Facebook.

"Sedang kami meneroka pilihan kami untuk memperoleh tenaga rendah karbon, kami akan terus bekerjasama dengan IAEA untuk membina keupayaan kami dan mengekalkan piawai keselamatan yang tinggi."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita